Sepanjang Musafir  2

Ada yang sudah saya tahu dan ada yang baru saya tahu. Jamak dan qasar ini saya sendiri sudah faham dan mengamalkan sejak dari bangku sekolah lagi. Sedikit sebanyak ada dalam kepala. Selama ini kebanyakkan dari kita berpegang dengan apa yang diajar di sekolah tentang rukhsah. Dari bilangan harinya,cara niatnya, praktikalnya bagaimana mengikut kefahaman kita.

Kata pak cik ini, seorang yang selalu musafir seharusnya tahu ilmu tentang rukhsah dengan luas dan terbuka. Saya sedikit keliru tapi selepas mendengar penerangannya saya faham dan jelas apa yang ingin dia sampaikan. Dia menjelaskan hukum dan pendapat imam besar dalam dunia islam tentang musafir dan rukhsah solat. Disebabkan ini khilaf, katanya kita harus berlapang dada dan mendengar pendapat para ulama yang masing-masing punya hujah dan pendapat tersendiri berdasarkan ketinggian ilmu mereka.

Menarik bila beliau menceritakan pendapat imam bukhari & muslim, imam 4 mazhab dan beberapa imam-imam besar yang mana pendapat mereka diguna pakai dan diakui oleh begitu ramai umat islam di dunia hari ini.

Katanya lagi dalam perkara khilaf, kita empunya diri lebih tahu yang mana sesuai untuk kita faham dan amal. Kerana semuanya adalah betul berdasarkan hujah dan nas masing-masing. Walaupun ianya kedengaran sedikit janggal kerana kita tidak dibiasakan dengan keterbukaan itu sendiri.

Sebenarnya dengan faham dan lebih terbuka dalam sesuatu perkara itu sahaja sudah menunjukkan betapa luasnya islam itu sendiri. Apatah lagi mungkin dengan pendapat yang lain membuatkan kita lebih selesa dan tenang dalam perjalanan kita.

Pendek kata kita yang lebih memahami diri kita. Saya sedikit tercengang dan kagum dengan ketinggian ilmunya walaupun nampak biasa sahaja. Walaupun dalam bas, masih sempat berkongsi cerita dan menadah ilmu dari seorang pak tua.

Akhir cerita, ilmu ini kalau ditulis yang mana dakwatnya diambil dari semua air di lautan, takkan cukup dan nescaya kering sebelum sempat sebahagian ilmu itu habis ditulis.