Awan Yang Berketul-ketul

Saya tahu yang saya mempunyai masalah mata. Seingat saya  dari sekolah menengah lagi. Setiap kali menonton TV, saya tak boleh lihat dengan jelas. Tapi tak pernah saya hiraukan.

Baru-baru ini saya ada mengikuti satu kelas tentang pelaburan. Sebagai kru. Setelah selesai kerja yang dipertanggungjawabkan, saya bersama kru yang lain duduk di belakang. Melepaskan lelah sambil mendengar celoteh guru kami. Dari jarak yang agak jauh, satu perkataan pun tak dapat saya lihat dengan jelas. Kebetulan rakan saya seorang yang berkacamata. Terlintas untuk melihat dengan kacamata dia.

Satu yang memeranjatkan bila tulisan yang jauh saya boleh lihat satu persatu. Jelas  & terang warnanya. Wow.

Akhirnya saya ambil keputusan untuk buat satu kacamata untuk saya. Sekadar senang bila memandu. Keluar dari kedai, saya bergegas pulang.

Sepanjang perjalanan pulang, saya melihat suasana di sekeliling dengan jelas & terang. Yang paling memeranjatkan saya, saya melihat awan di langit berketul-ketul. Jelas bentuk & warnanya. Seketul-seketul. Walaupun hari-hari melihat awan, tapi awan hari ini lain sungguh. Saya sendiri tak menyangka yang awan secantik itu.

Rupanya, selama ini saya hanya dapat melihat sesuatu dalam keadaan samar.

Sekarang semua disekeliling saya jelas warnanya. Papan tanda, jalan raya, jambatan yang hari-hari saya lalui. Semuanya.

Terfikir saya sejenak. Selama ini saya terlepas untuk melihat semua ini dalam keadaan yang sempurna. Cantik, terang & sempurna. Satu kerugian besar buat saya. Saya seolah-olah diberi balik nikmat penglihatan.

Terlintas di hati saya. Ini agaknya perasaan orang yang hilang satu nikmat buat sekian lama, akhirnya beroleh kembali apa yang hilang. Seperti orang yang lumpuh, beroleh kekuatan untuk kembali berjalan dengan kekuatan sendiri. Lurus & betul.

Saya bersyukur kerana masih boleh melihat dengan jelas walaupun dengan bantuan kacamata. Tapi bagaimana dengan orang yang buta warna. Nikmat warna ciptaan tuhan tidak dapat dirasai oleh mereka. Tambahan mereka yang buta secara total. Gelap & gelita.

Sayangnya kita hanya melihat semua itu sebagai hanya satu perkara yang biasa. Nothing. Sehinggalah kita sendiri mengalaminya. Kita hanya menghargai sesuatu bila kita kehilangannya. Dan melupakan saat bila ada di tangan kita. Apa sahaja.

Saya melihat pada diri saya. Sesuatu yang lebih luas. Jauh. Saya rugi terlalu banyak dalam melihat keindahan tuhan selama ini. Melihat dalam keadaan samar & kurang jelas. Dan tiada apa yang  saya keluhkan.

Setelah lama, baru saya tersedar. Nikmat ini kalau ditarik. Satu kerugian buat saya. Bukan hanya nikmat mata. Bahkan nikmat lain yang masih saya belum hilang & saya masih lagi belum bersyukur atas semua kurniaanya. Belum bersyukur dari sudut saya mengucapkan tahmid kepada tuhan. Dari gerak laku saya yang masih alpa & lalai. Dari tutur kata saya yang sombong & menjelikkan.

Saya belajar sesuatu dari kacamata. Kacamata yang membuka sudut pandang yang baru. Jelas & terang. Yang selama ini dalam zon selesa. Walaupun kabur & samar. Tapi masih belum insaf. Semoga jadi peringatan buat saya. Bukan sekadar kacamata untuk melihat dengan mata kepala. Tapi kacamata untuk melihat dari mata hati seorang hamba. Supaya jelas apa yang harus dilakukan.

Sebagai hamba kepada tuhannya…