Cabaran Hidup
Kegagalan masa lalu kadang-kala melelahkan semangat juang dalam diri seseorang. Walaupun berbagai cara & ikhtiar, terasa seolah-olah Tuhan tidak menyebelahi kita. Tapi selepas berhenti & mengambil nafas, kita sering tersedar yang kita lupa sudah jauh rupanya kita berjalan. Bila ditoleh ke belakang, nampak sayup jauh denai & ranjau yang sudah kita berjaya lalui.
Adat dalam berjalan, kita akan merasai letih. Lalu kita berhenti seketika. Hilangkan lelah & mengambil nafas. Sekali lagi melihat ke belakang, jauh sudah perjalanan.
Cuba renungkan, dari awal sesuatu yang nampak sukar jika melangkah walau sedikit demi sedikit, tentu sampai juga. Pasti tidak akan berada di tempat yang sama.
Perkara biasa bila berjalan.
Hidup di dunia seumpama berjalan di sebuah padang yang luas. Terlalu banyak ruang yang boleh diterokai & dijelajahi. Sayangnya, ramai orang hanya berlegar di lingkungan ruang lingkup yang sama. Dalam lingkungan selamat yang mereka ciptakan sendiri. Takut untuk keluar dari zon selesa. Yang sebenarnya tak selesa mana pun.
Kita tahu yang banyak keindahan yang akan kita perolehi jika kita keluar dari ruang sekarang. Tapi kita juga tahu yang bila berjalan keluar, pasti ada cabarannya. Kita mungkin jatuh sekali sekala, sesat dalam mencari arah, haus & dahaga sepanjang perjalanan. Itu perkara wajib yang harus ditempuhi. Mungkin ini yang menakutkan sesetengah orang agaknya.
Penat kita berjalan, kita berhenti untuk minum & mengumpul tenaga. Merenung jarak & masa yang sudah berlalu.
Tiba malam, masa untuk merehatkan fizikal yang letih. Muhasabah diri. Masih jauh tempat yang dituju. Namun cuba renungkan sekali lagi, kalau kita tak mulakan langkah pertama pasti tidak akan sampai ke tempat sekarang.
Sedar tak sedar, banyak bunga kemuncup yang terlekat di seluar. Lalu kita ambil masa untuk membuangnya. Satu persatu. Perlahan-lahan. Walaupun kadang-kala menyusahkan & membosankan, tetap kita lakukan juga. Kemuncup ibarat cabaran yang kita lalui sepanjang perjalanan. Setiap kali ada masa kita berhenti, itu ruang untuk kita menginsafi diri dengan semua cabaran yang ada. Menilai kekuatan & kelemahan diri. Dari situ datangnya pengalaman yang tak ternilai harganya. Ilham & idea. Semakin banyak pengalaman, semakin pertambahlah pengetahuan. Mematangkan fikiran.
Asam Garam Kehidupan.
Akhirnya kita sedar, kemuncup yang terlekat sepanjang masa itulah guru kita. Asam garam buat orang yang berjalan. Perkara ini berulang lagi & lagi. Selagi mana kita tidak berhenti berjalan. Letih kita berhenti, & tiba malam kita membuang kembali kemuncup-kemuncup itu. Ia fitrah mereka yang memlih untuk terus berjalan..