Mencipta Atau Menunggu Peluang ?

Kegagalan atau kejayaan seseorang itu bergantung sejauh mana ia menggunakan peluang yang ada. Peluang merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu bagi sesetengah orang. Ada yang menggunakan kesempatan yang ada dengan merebut serta melaksanakan semaksima yang mungkin. Dan ada juga yang hanya menantikan peluang itu tiba di depan mata. Bila peluang itu tiba, malangnya ia tak nampak. Lebih teruk buat-buat tak nampak.

Orang gagal.

Peluang adalah sesuatu yang mereka harapkan setiap hari. Jika tidak ada peluang, maka tidak ada harapan bagi mereka. Itu cuma alasan sebenarnya. Apa yang mereka perlukan hanyalah menggunakan apa yang ada pada diri sendiri untuk memulakan sesuatu. Bukan sekadar menanti peluang. Hanya dengan memulakan sesuatu, bila tiba masanya peluang itu akan datang dengan sendirinya.

Orang seperti ini samalah seperti orang yang memakai kacamata hitam di tengah malam yang gelap gelita. Tidak dapat membezakan warna di depan mata. Biarpun di depan warna yang terang, jika salah cara melihat tetap menjadi  gelap gelita. No point.

Apa yang perlu dilakukan hanyalah menanggalkan kacamata hitam itu & mula nyalakan lilin. Walaupun cahayanya kecil & malap, tapi sudah cukup untuk menerangi jalan. Tahu hujung pangkal mana tempat nak dituju. Mana tempat nak berpaut.

Orang gagal juga suka mensia-siakan peluang. Kemudian ia akan menyalahkan semua yang ada bila gagal menggunakan peluang tersebut. Semua tak betul. Semua tak kena. Kecuali diri sendiri. Mereka akan mengulang proses ini berulang kali. Menunggu peluang datang di depan mata. Kemudian mensia-siakannya. Dan menyalahkan orang di sekeliling jika gagal. Mereka juga kadang kala mengambil masa untuk berfikir terlalu lama, sehingga sering kali peluang itu pergi begitu sahaja.

Orang berjaya.

Setiap  perkara adalah peluang bagi mereka. Jika tidak mendapat peluang, mereka sendiri akan mencipta peluang tersebut. Orang seperti ini adalah orang yang menentukan nasib mereka sendiri tanpa mengharapkan keajaiban berlaku. Mereka mencipta tuah mereka sendiri. Dengan cara yang tersendiri. Apa yang terlintas di fikiran mereka ialah bagaimana atau macam mana mereka nak buat supaya sesuatu yang mustahil itu kelihatan tidak buat mereka.

Orang seperti ini juga samalah seperti melihat sesuatu dengan teropong yang mampu mengetahui apa yang ada di seberang sana. Mereka tahu apa di depan mereka, malah jauh dari tempat mereka berdiri. Jelas & terang penglihatan mereka. Bila kita dapat melihat sesuatu dengan jelas, maka jelaslah apa yang kita patut buat. Mengatur strategi. Apa yang patut didahulukan, apa yang patut dikemudiankan. Mereka selalunya melihat sesuatu itu dari sudut yang pelbagai.

Kebiasaannya orang seperti ini mempunyai pengalaman luas dalam hidup. Mereka mungkin sudah melalui jatuh bangun sebelum ini. Pengalaman membuatkan mereka tahu bila peluang itu tiba & bila peluang itu harus direbut. Mereka juga boleh membezakan antara peluang atau pun tidak sesuatu perkara. Memberikan manfaat atau bala jika diambil. Melihat pelbagai pertimbangan sebelum melakukan sesuatu. Tapi pantas dalam membuat keputusan.

Jadi, terpulanglah kepada kita.

Nak jadi orang yang bagaimana. Gagal atau berjaya?