Dari Kacamata Seorang Muslim

Pengalaman mematangkan manusia. Segala yang terjadi sama ada kehendak kita ataupun tidak. Semua menjadi proses buat manusia belajar tentang nilai sebuah kehidupan. Ada antara kita yang belajar dengan pantas. Ada juga yang seolah-olah tidak mempelajari langsung setiap yang berlaku ke atas dirinya. Lumrah manusia yang beragam warna.

Mereka yang mempunyai pengalaman dalam sesuatu biasanya lebih tenang jika berhadapan perkara yang sama dalam hidup. Sekurang-kurangnya mempunyai idea & akal untuk menghadapinya. Apa yang patut didahulukan. Apa yang patut dikemudiankan.

Mengembara di bumi Tuhan dengan melihat indahnya ciptaan yang maha kuasa. Pengalaman ke tempat-tempat yang di luar kepompong kebiasaan kita, salah satu cara belajar tentang hidup yang menarik. Harus diakui, berjalan membuka mata & minda kita. Melihat sesuatu dari sudut di luar kebiasaan kita. Budaya & bahasa. Wajah & sikap. Sesuatu yang berlawanan dengan kebiasaan  memberi pengalaman yang tak ternilai harganya.

Mengembara bukan sahaja menambah pengetahuan & pengalaman. Malah kenalan. Bukankah kita disuruh untuk melihat keajaiban ciptaan tuhan dengan berjalan di atas muka bumi yang luas terbentang?.

Melihat ragam manusia yang pelbagai-bagai jenis. Warna kulit yang pelbagai warna. Bahasa yang jarang-jarang kita dengar. Keindahan gunung-gunung, lautan luas. Semuanya bukti kekuasaan Tuhan yang maha Esa. Kekadang, dengan melihat & mendengar sahaja membuatkan kita terpinga-pinga. Tak tercapai dek akal. Indahnya dunia ini.

Namun, berjalannya seorang muslim berbeza dengan berjalannya seorang yang bukan muslim. Walaupun melalui jalan yang sama, tapi cara melihat berbeza.

Muslim yang  berjalan sambil melihat bukti kebesaran apa yang tercatat di kitab suci Al-Quran,  mengukuhkan lagi keimanan. Di samping mematuhi segala aturan, tak kira di mana & bila kita berada. Mendidik jiwa untuk memahami rahsia & keindahan Tuhan. Saat itu kita merasakan dekatnya diri seorang hamba dengan Tuhannya.

Berbeza dengan mereka. Mata melihat benda yang sama. Makan makanan yang sama. Telinga mendengar bunyi yang sama. Namun penghayatan yang berbeza. Ditambah tanpa ada peraturan yang harus dipatuhi. Semuanya boleh dilanggar. Asalkan puas kata akal & nafsu.Keseronokkan semata-mata. Secara zahiriah.

Alangkah rugi rasanya. Jika kita yang mengembara, bergelar pula muslim mengambil sikap yang sama. Seolah-olah tiada sempadan yang membezakan antara kita. Bukankah setiap jejak langkah kita dicatat satu persatu. Detail. Tanpa ada satu pun yang tertinggal.

Perbezaannya simple. Jika mereka melihat indahnya matahari terbenam di waktu senja, Wow & Amazing. Itu yang mungkin terucap di mulut & hati mereka.

Bagi muslim,setiap yang indahnya ciptaan tuhan menguatkan lagi iman & kepercayaan kita padanya. Subhanallah. Ucapan yang sudah cukup mengambarkan kebesarannya. Walaupun melihat keindahan yang sama, namun ganjaranya sudah tentu berbeza.

Berjalanlah untuk melihat kebesaran Tuhan..