Melihat Dari Perspektif Berbeza
Seorang pemimpin yang bijaksana biasanya berpandangan jauh. Melihat sesuatu dengan lebih teliti. Antara pro & kontra. Memiliki pemimpin yang begitu, menguntungkan pengikutnya. Tahu apa yang ingin dilaksanakan. Dalam masa yang dekat & masa yang akan datang. Mana yang mahu diselesaikan dahulu & mana yang boleh dikemudiankan. Namun, untuk seseorang itu mempunyai pandangan yang sebegitu memerlukan pengalaman yang sudah pasti bukan sedikit. Jika tidak semua orang layak menjadi ketua.
Tetapi bukan bermakna hanya mereka yang tua atau berusia sahaja layak menjadi pemimpin. Hanya dengan pengalaman sahaja tidak memadai. Jika berfikiran kolot, payah juga. Tidak mahu menambah ilmu, selesa di takuk yang sama. Hari ini ramai orang muda yang berpandangan jauh. Kadang kala terlau “advance”. Hingga tak terfikir dek akal. Namun bagaimana mereka boleh mempunyai akal atau idea untuk berfikir sebegitu jauh?
Pengalaman.
Memang harus diakui, orang muda tidaklah mempunyai pengalaman seperti orang yang tua dalam kehidupan. Tapi pengalaman yang sedikit itu berguna jika dioptimakan sebaik mungkin. Harus difahami juga pengalaman bukan hanya boleh diperolehi dengan mengalaminya sendiri. Ia boleh datang dari pembacaan. Malah berkongsi cerita & idea. Ini juga cara untuk meraih pengalaman. Pengalaman merupakan sesuatu yang amat berharga. Kadang kala ia lebih mahal dari emas permata. Pengalaman juga guru yang paling ampuh untuk kita mempelajari sesuatu.
Membaca.
Dengan membaca sahaja sudah membuka perspektif yang luas untuk kita. Tak perlu melalui semua perkara untuk kaya dengan pengalaman. Bukan sahaja menjimatkan masa. Malah tenaga. Kita boleh melakukan sesuatu yang berlainan berdasarkan pengamatan kita melalui pembacaan. Pengalaman orang lain jika dihadam dengan sepenuhnya, kita beroleh manfaat yang besar. Seolah-olah kita merasainya sendiri. Sudah tentu hasilnya berbeza. Namun sekurang-kurangnya kita mempunyai idea untuk menambah baik sesuatu & jika ditambah sedikit inovasi, ia boleh menjadi sesuatu yang “spectacular”.
Berkongsi.
Berkongsi juga salah satu cara paling pantas untuk membantu kita untuk memiliki pandangan yang lebih jauh. Harus diingat. Semakin banyak kita berkongsi, semakin banyak yang kita perolehi. Ia hukum alam. Memang sifirnya begitu. Jadi kalau kita mahu meluaskan pandangan & cara kita berfikir, banyakkanlah berkongsi. Berkongsi menambah kenalan & rezeki kita. Bila semakin banyak pengetahuan kita semakin banyaklah pengalaman kita. Jadi, mulalah berkongsi. Berkongsi apa sahaja yang memberi manfaat pada orang di sekeliling kita. Malah, sesetengah itu tak perlu keluarkan modal pun. Kita boleh berkongsi cerita & bertukar pendapat antara satu sama lain. Mudah kan?.
Duduk di tempat lebih tinggi.
Ini salah satu cara paling pantas untuk kita melatih diri supaya berpandangan jauh. Kedengaran agak pelik kan. Tapi cubalah kalau tak percaya. Orang biasa hanya akan menilai sesuatu itu dengan apa yang ada di depan mata mereka sahaja. Penilaian mereka hanya berkisar di sekitar itu sahaja. Tidak lebih daripada itu. Mengapa begitu, kerana memang itu yang mereka lihat. Kita menilai apa yang kita lihat. Mudah kan. Dengan melihat dari tempat yang lebih tinggi, kita membuka sudut pandang kita lebih jauh. Kita mampu melihat apa yang berada jauh dari jangkauan penglihatan orang di bawah. Kerana itulah kalau diperhatikan, mereka yang memimpin selalunya memberi ucapan di tempat yang tinggi sedikit dari pengikutnya. Mereka melihat dari perspektif yang jauh. Kerana itulah mereka menjadi pemimpin.
Untuk mempunyai pandangan yang jauh memerlukan latihan. Ia mengambil masa. Hanya mereka yang melakukan latihan ini layak menjadi pemimpin. Jadi terpulang pada kita untuk memilih memiliki mentaliti seorang pemimpin atau cukup sekadar menjadi pengikut sahaja. Namun ingat satu perkara, setiap individu dilahirkan sebagai pemimpin. Khalifah. Ia nilai yang ada di dalam setiap orang. Sekurang-kurangnya kita harus menjadi pemimpin kepada keluarga kita, atau setidaknya kepada diri sendiri.
Pemimpin harus berpandangan jauh. Noktah.