Lumrah Buat Manusia

Selagi kita bernafas, selagi itu kita tidak dapat lari dari masalah. Buatlah macam mana sekalipun. Ianya takkan terjadi. Ia sudah menjadi sunnatullah. Hukum alam. Cuma yang membezakan antara kita ialah bagaimana kita menghadapinya. Sama ada melarikan diri atau menghadapinya?

Larikan diri?

Melarikan diri juga kadang-kala cara untuk kita bertindak balas dengan masalah. Cuma ia hanya penyelesaian jangka masa pendek. Kadang kala ia hanya memburukkan lagi keadaan. Tidak dinafikan bukan semua orang mampu menangani sesuatu dengan cermat. Ia memerlukan pengalaman. Dengan pengalaman kita lebih tenang dalam menghadapinya. Dengan pengalaman juga membuatkan kita lebih banyak akal untuk menyelesaikan sesuatu yang terjadi.

Namun pengalaman bukan datang dengan serta merta. Boleh jadi sesuatu yang remeh bagi seseorang itu dipandang  ujian yang berat buat orang lain. Ia bergantung kepada siapa yang menghadapinya. Mahu ataupun tidak untuk meraih pengalaman kita terpaksa menempuh juga apa yang datang kepada kita. Memang perit. Kadang-kadang menakutkan.

Hadapi dengan tenang.

Untuk bertenang apabila ditimpa musibah atau sesuatu yang di luar jangkaan kita bukanlah sesuatu yang mudah. Tapi tidak bermaksud ianya mustahil. Orang yang menghadapi sesuatu perkara dan bila perkara itu berulang kembali, ia sudah mempunyai idea bagaimana untuk menghadapinya. Sekurang-kurangnya tahu hujung pangkal. Mana yang harus didahulukan  & mana yang harus dikemudiankan.

Ujian sebagai satu rahmat.

Setiap yang datang sama ada baik atau buruk sudah tertulis untuk kita. Jadi terpulang pada kita untuk menghadapinya. Setiap daripadanya ada hikmah yang tersembunyi. Jika kita mengambil iktibar atas segala yang berlaku, beruntunglah. Namun kalau setiap yang datang kita buat tak tahu atau melarikan diri, ianya tidak berguna. Malah menjadi satu beban. Harus diingat yang setiap ujian Tuhan berikan, sudah ditentukan hadnya. Tidak melebihi kadar kemampuan kita.