Jangan Sekerat Jalan
Ramai antara kita mempunyai impian & malah ramai juga yang berusaha untuk mengapainya. Tidak kurang ada yang hangat-hangat tahi ayam. Hanya bersemangat pada permulaan sahaja. Saya pun kadang-kala selalu begitu. Semangat membara dalam jiwa untuk memulakan sesuatu. Perasaan teruja melebihi segalanya. Tapi lama kelamaan setelah setengah jalan, semangat mula luntur. Ditambah dengan dugaan yang bertimpa-timpa. Akhirnya kerja hanya ditinggal terbengkalai. Hanyut begitu sahaja.
Sebenarnya ini masalah biasa bagi semua orang. Tak kira siapapun, akan bersemangat pada awalnya. Tapi tak ramai yang berjaya untuk menghabiskannya.
Beza orang berjaya & gagal
Perbezaan antara kedua-duanya mudah sahaja. Orang yang berjaya mampu istiqamah untuk menghabisi apa yang dia mulakan. Sebaliknya orang yang gagal pula selalunya hanya sekerat jalan. Yang paling mudah untuk menutup kegagalan mereka sendiri ialah dengan mencipta alasan. Bukan mencipta jalan.
Tips untuk menghabiskan apa yang dimulakan
Salah satu cara yang saya selalu guna untuk memastikan semangat & motivasi sentiasa di tahap optimum, saya akan sentiasa bersama dengan orang-orang yang berfikiran positif. Sentiasa memberi sokongan untuk meneruskan apa yang sedang diusahakan. Sudah tentu ada cabaran sepanjang jalan untuk menyelesaikan tugasan. Tapi dengan adanya “support” & dorongan semuanya pasti lebih mudah. Lebih lancar.
Jadi jika kita ingin memenuhi impian & menyelesaikan apa yang kita mulakan, langkah terbaik, bergaul dengan mereka yang mempunyai minda yang positif. Jika mereka mempunyai impian yang sama, ia lebih baik. Kawan menentukan siapa kita. Jangan sampai tersalah pilih kawan sudahlah.