Rutin Yang Membosankan
Rutin seharian kita sering membuatkan kita terlepas banyak perkara dalam hidup. Kesibukkan melalui hari-hari dengan sama saban hari membuatkan kita hilang motivasi & menumpulkan daya kreatif kita. Terutama bagi mereka yang terpaksa bekerja membanting tulang, memerah keringat untuk mencari rezeki. Persekitaran yang begitu membuatkan kita seolah-olah tidak ada peluang untuk bernafas dengan udara yang kita mahukan. Suasana yang kita cipta sendiri. Macam mana nak cipta udara sendiri, kalau hari-hari menghirup asap yang dilepaskan oleh boss masing-masing.
Memang bukan mudah membuat keputusan untuk mengubah haluan hidup. Terutama bila kita terikat dengan pelbagai komitmen yang memerlukan ‘fulus’. Kalau tak kerja, tak adalah fulusnya. Namun takkan kita nak sentiasa dalam ‘comfort zone’ yang sebenarnya tak ‘comfort’ pun. Bukan sesuatu yang mustahil, pokok pangkalnya kemahuan kita. Sejauh mana kemahuan kita mengatasi alasan yang kita cipta.
Katak Oh Katak
Bagi saya, semuanya bermula dari kita. Dari dalam diri kita sendiri, jika kita tahu takat mana keadaan kita & mahu mengubahnya, perkara pertama harus dicari ialah ilmu. Dan disusuli dengan tindakan. Masalahnya orang kita sudah biasa dengan budaya mencipta alasan. Bukan mencipta jalan & membuka ruang baru dalam hidup.
Saya suka berkongsi tentang psikologi katak dengan keadaan sekelilingnya. Ramai yang tak tahu satu kelebihan si katak ialah ia mampu mengawal suhu badannya mengikut keadaan sekeliling. Sebab itu kot ia mampu hidup dalam 2 alam yang berbeza. Masalah timbul bila kelebihan itu tidak digunakan pada tempat yang betul.
Satu eksperimen dijalankan dengan katak diletakkan di dalam bekas yang mengandungi air & api dinyalakan perlahan-lahan. Apa yang katak akan buat bila suhu air meningkat sedikit demi sedikit?
Adakah ia akan lari?
Tidak, sebaliknya ia akan terus menyesuaikan dirinya dengan suhu air. Hinggalah ia mati kepanasan & menjadi katak rebus. Itu namanya mati katak. Katak rebus.
Apa yang membunuh katak sebenarnya?
Air yang mendidih atau katak itu sendiri?
Kalau diikut dengan logik, mesti kita kata si katak yang bodoh sebab tak mahu keluar dari periuk. Tapi sedarkah kita yang sebenarnya kita sama sahaja dengan si katak itu. Kita akan sentiasa mencari alasan untuk tidak keluar dari kepompong kebiasaan kita yang kadang kala kita sendiri bosan berada di dalamnya. Namun kerana malas mahu mencuba atau mencari jalan kita hanya membiarkan diri kita terus lemas dalam suhu yang semakin meningkat. Sampai ke tahap yang kritikal kita akhirnya mati kelemasan & kepanasan.
Tapi apa yang kita nampak ?
Yang pasti kesalahan bukan di pihak kita. Kita akan mencari sejuta alasan untuk menenangkan hati kita. Padahal jelas-jelas kita yang salah..
Syndrome Katak
Ini dipanggil ‘boiling frog syndrome’. Ia memakan diri kita jika kita tidak berusaha untuk merubah cara kita. Cara kita berfikir & cara kita bertindak. Sama ada kita berani ataupun kita akan mati seperti si katak akibat terus selesa dengan sikap lama. Ia bukan sesuatu yang mudah tapi kalau tak mulakan inisiatif, mana nak tahu sejauh mana kesukarannya. Mana tahu boleh jadi ia bukanlah sesukar yang kita fikirkan. Jika tidak pun sekurang-kurangnya kita berani mencuba di kala keadaan menuntut kita berubah. Yang penting mahu mencuba, soal gagal atau pun tidak itu perkara yang kemudian. Ingat, cari ilmu & take action. Jalan terus..