Cari Pasangan Untuk Berjalan
Dalam menempuh ranjau untuk menuju kejayaan, daya tahan serta ketabahan individu sering menentukan sejauh mana dia mampu pergi. Berkeseorangan berjalan, walaupun bebas & belajar tentang berdikari lebih cepat, tapi kita pasti ada masa lelah.
Penat.
Lalu kita berehat.
Ramai antara kita bila berehat, sudah hilang motivasi untuk meneruskan perjalanan. Ditambah melihat jalan dihadapan masih jauh. Letih dicampur rasa malas. Tak terdaya rasanya untuk terus maju ke hadapan.
Hanya mereka yang mempunyai semangat & daya tahan yang tinggi sahaja mampu meneruskan perjalanan menuju puncak impian. Namun semakin jauh melangkah, cabaran semakin kuat. Silap gaya, langkah yang dulunya laju semakin lama semakin perlahan. Hilang momentum. Kata orang, kalau nak cepat sampai ke destinasi berjalanlah seorang. Cuma dibimbangi, cabaran yang mendatang semakin hari semakin sukar & hebat. Tapi kalau nak selamat sampai, jalanlah bersama teman. Mungkin lambat sedikit.
Samalah dengan hidup berjuang. Yang berat & sukar menjadi ringan & mudah jika mengharungi bersama. Berdamping dengan mereka yang sama matlamat, banyak lebihnya. Setiap ranjau & denai ditempuh bersama.
Bila lelah berjalan, ada teman untuk berbicara. Berkongsi makan & minum. Fizikal & mental jadi lebih kuat. Bila salah ada yang menegur. Bila lambat ada yang menunggu. Paling penting mengajar kita berkongsi ilmu & pengalaman bersama. Lebih banyak berkongsi, lebih luas kita melihat sesuatu.
Yang takut menjadi berani. Berat menjadi ringan.
Cuma jangan salah memilih teman berjalan. Teman yang salah, bukannya membantu . Malah menjadi beban. Beban bila makin lama ditanggung, makin berat bahu memikul. Berat. Mudah kita jatuh. Kadang lebih baik berjalan berseorangan.
Hidup berteman biarlah yang memahami & sama matlamat. Kalau rebah, salah seorang menjadi tongkat. Begitulah sebaliknya. Bila semakin banyak berjalan, semakin bertambah ilmu pengetahuan.
Berjalan dengan berteman, hidup lebih bererti. Berdua lebih baik dari berseorangan..