Cuba Bangkit Setelah Jatuh
Lama dahulu setelah perniagaan yang saya & mak bina gagal, saya akhirnya memutuskan untuk merantau jauh di Kedah. Dengan harapan mendapat pekejaan yang stabil. Niat di hati saya nak kumpul duit, kemudian balik ke kampung & mulakan semula apa yang terbengkalai. Disebabkan jiwa yang penuh minat untuk berniaga, jadi saya selalu bercerita & berkongsi dengan kawan-kawan serumah & sekerja tentang bisnes. Apa impian saya, cita-cita & matlamat saya. Saya ingin menjadi jutawan, atau “somebody” yang boleh menyumbang sesuatu pada masyarakat. Ingin menubuhkan empayar perniagaan supaya dapat berkongsi rezeki yang Tuhan bagi pada saya untuk mereka yang memerlukan.
Saya akui perjalanan hidup saya membentuk keperibadian & corak pemikiran yang berbeza dengan kawan-kawan seusia. Saya melihat saya wajib menjadi seseorang yang menyumbang untuk bangsa & agama. Walaupun tak tahu apa yang harus dilakukan tetapi itu impian saya. .
Bakhtiar, mu ni koya la !!
Saya suka bercakap tentang perkara yang besar-besar. Tapi saya bercakap pada orang yang salah. Setiap kali berkongsi cerita tentang impian, kebanyakkan kenalan menyatakan saya seorang yang koya, poyo, tidak sedar diri, tak realistik. Semakin hari semakin banyak ejekan & sindiran, dari seorang ke seorang akhirnya membuatkan saya muak & berhenti berkongsi cerita. Seolah-olah mempunyai impian itu adalah perkara taboo & lawak bagi mereka.
Berkongsi pada orang yang salah
Kita sering bercakap dengan orang yang salah, mengunakan bahasa yang tidak sama dengan mereka di sekeliling. Namun, perkara ini sebenarnya normal buat mereka yang dahagakan kejayaan. Akan ada ramai yang mencemuh, mencaci malah memandang rendah kita. Disini kekuatan mental memainkan peranan. Jangan sampai semua itu melemahkan semangat kita. Walaupun pahit, tapi semua ini lumrah kehidupan jika kita memilih untuk menjadi seseorang yang luar biasa.
Rezeki berjumpa dengan yang baik-baik
Hari ini hari yang berbeza. Saya dikelilingi & berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang positif. Sama matlamat & hala tuju. Kami berkongsi cerita yang hampir sama. Matlamat yang hampir sama. Masing-masing ingin memulakan perniagaan & empayar. Dan saya jadi teruja berkongsi pengalaman saya & mendengar pengalaman mereka.
Sebenarnya di luar sana masih ramai yang berjiwa besar. Tapi sayang kadang kala kita tidak bertemu dengan orang yang betul. Akhirnya api semangat untuk berjaya padam. Paling bahaya jika padam & tak menyala lagi. Dan hari ini besar harapan saya, semoga pertemuan yang kali ini akan membuahkan hasil. Kerana saya yakin & percaya pertemuan antara orang yang sama matlamat & sama hala tujunya, akan membuatkan perjalan itu akan menjadi lebih mudah. Kuat & sukar digugat.
Nasihat buat teman-teman
Perjalanan masih jauh, kejayaan masih tidak pasti. Kerana risiko kegagalan lebih tinggi dari kejayaan. Itu lumrah untuk orang yang memilih jalan ini. Tapi jika dilakukan dengan cermat & berhemah, ikut aturan serta sifirnya. In sya Allah risiko itu dibawah kawalan kita.
Bermula saat ini, mahu atau tidak saya harus berusaha dengan lebih lagi untuk memajukan diri, kuatkan lagi pembacaan, menambah pengetahuan semaksima mungkin. Kerana peluang ini bukan datang selalu, boleh jadi sekali seumur hidup. Di kala rakan yang sebaya saya sekarang lebih suka lepak & minum-minum, bercerita tentang kereta & perempuan, meletakkan pelbagai alasan untuk terus tinggal dalam lingkungan zon selesa ciptaan mereka sendiri. Saya berjumpa dengan ‘spesies’ saya yang betul.
Tinggi harapan saya semoga impian selama ini dipermudahkan Tuhan. Lama saya cuba usahakan sendirian, tapi ternyata gagal. Saya tak mampu untuk menongkah arus sendirian, ombak & badainya terlalu besar untuk saya yang bertubuh kecil ini.
Buat teman-teman, doa saya & besar harapan saya semoga apa yang dirancang menjadi kenyataan. Tidak ada jalan lain & masa lagi untuk berpatah balik. Kuatkan semangat & mula tukar baju yang kita pakai sekarang. Jika sebelum ini kita selesa memakai baju “zon selesa”, sekarang masanya kita menukar baju perang, mengasah senjata, menyingsing lengan baju & rapatkan saf. Ini peluang keemasan yang patut kita rebut & raih. In sya Allah jika betul niat & caranya, kejayaan itu pasti menjadi milik kita. Saya kuat yakin & percaya, Tuhan itu maha adil & maha melihat. Tidak akan dipersia-siakan hasrat baik hambanya.
Namun, sekarang semuanya terserah pada kita, biar apapun kemungkinan yang mendatang, kita harus lakukan yang terbaik buat masa sekarang. Sekurang-kurangnya, mencuba itu lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa. Now or never..