Apa Kau Buat Hari Ini?

Apa yang kita buat & bagaimana kita luangkan masa untuk sesuatu saat ini,  menentukan siapa kita hari ini. Ia juga akan menentukan siapa yang kita akan jadi 5 tahun akan datang. Kita yang bertanggungjawab mencorakkan masa depan kita, & ia bergantung kepada tindakan & kata-kata kita ketika ini.

Kita harus jujur & tanya pada diri sendiri, betulkah apa yang aku lakukan sekarang? Lihat di depan cermin & mula bertanya, jika ini perkara yang aku lakukan secara rutin setiap hari, apa yang akan jadi & siapa aku 10 tahun akan datang? Bila kita jujur, kita akan mendapat jawapan yang paling ikhlas tentang masa depan kita. Berjayakah? Atau sekadar begini tanpa ada hala tuju?

Tanya diri sendiri. Berapa banyak kita luangkan masa setiap hari untuk majukan diri sendiri? Dan dalam 30 hari terakhir ini, berapa banyak buku yang kita baca? Dalam tahun ini, apa ilmu & skill baru yang kita tambah untuk kita kejar impian kita & masa depan kita? Apa pelaburan yang kita lakukan atas diri sendiri untuk ke arah itu?

Ramai antara kita, sebaik sahaja habis waktu bekerja terus pulang ke rumah & selesa berehat di sofa di tengah ruang tamu. Cukup habis waktu bekerja, mereka terkejar-kejar pulang & tersekat berjam-jam di tengah kesesakan jalan raya & melakukan ‘nothing’. Mereka tidak melakukan apa-apa untuk mengubah kehidupan mereka. Tanya sekali lagi dengan diri kita.

Adakah kita selesa dengan kehidupan sekarang?

Ini yang kita impikan untuk masa depan?

Jika kita berkeluarga nanti, ini yang kita hidangkan untuk keluarga kita?

Untuk anak & isteri kita?

Untuk suami kita?

Atau adakah kita sekadar ‘OK’, sekarang aku penat, aku nak berehat & masuk tidur, esok nak pergi kerja. Jika begitu, kita sebenarnya tak ubah seperti robot malah lebih teruk dari mayat hidup. Lebih menyedihkan jika kita tidak suka semua ini, tapi mengatakan aku terpaksa, aku ada komitmen yang perlu dibayar setiap bulan. Jadi aku terpaksa lakukan juga.

You deserve better than that

Kita berhak lebih dari itu sebenarnya. Jika ramai orang di luar sana boleh berjaya dalam kewangan & kebebasan masa mereka, mengapa kita tidak? Tapi ia bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan keringat, kita harus meletakkan komitmen yang tinggi, akan tumpah peluh & air mata, malah mungkin darah. Ia tak semudah kita merancang nak buat itu nak buat ini. Ia lebih dari itu, kita harus mula ubah habit kita, kena mula banyakkan membaca buku, bergaul dengan orang yang telah berjaya, meraih pengalaman mereka & ianya payah. Kerana ia tidak mudahlah tidak ramai yang berjya memperolehnya. Ia memakan masa, kita akan melalui fasa kegagalan demi kegagalan. Tapi percayalah proses kegagalan itulah yang akan membezakan kita dengan orang lain. Kegagalan itu mengajar kita tentang survivor sebenar seorang yang berjaya. Itu yang harus setiap orang tempuh untuk menjadi luar biasa.

Bekerja untuk belajar

Kita harus membetulkan mindset kita. Jika kita betul-betul ingin mengejar impian kita & percaya dengan diri sendiri yang kita boleh melakukannya, kita harus sanggup belajar walaupun tanpa apa-apa imbalan. Kita sanggup berhabis masa & tenaga, untuk belajar skill & kemahiran yang kita perlukan untuk mencapai kejayaan. Kita harus kuat & sabar kerana tidak mungkin apa yang kita belajar terus menjadi. Ia akan melalui proses demi proses. Dan setiap proses itu memang menyakitkan, akan ada masa kita mahu berputus asa. Jika kita terpaksa berlapar & bekerja selama 2 atau 3 tahun tanpa imbuhan yang lumayan, malah mungkin lebih, tetapi kita mendapat hasil yang lumayan & luar biasa untuk tahun ke-4, kenapa tidak. Kita hanya perlu bersabar & percaya pada setiap tindakan kita. Terutama jika kita masih muda.

Lakukan kesilapan sekerap mungkin

Bagi kita yang masih muda, jika kita tidak pernah melakukan kesilapan dalam hidup, lakukan sekarang. Lakukan sekerap yang mungkin, kerana jika kita tidak pernah melalui kegagalan di masa kita muda, jangan mimpi yang kita akan mampu melakukan sesuatu yang berisiko di masa kita meningkat tua. Lakukan di masa sekarang, jangan tunggu lagi. jangan takut, ini masa untuk kita belajar semaksima yang mungkin tentang kehidupan. Jangan mengejar zon selesa. ia hanya membantutkan semangat untuk memburu impian kita. Tolong jangan teringin nak kerja dengan kerajaan!! Jangan sekali-kali, biar mereka yang takut nak menjadi luar biasa & berjaya sahaja ambil kerja itu. Bukan bermaksud bekerja dengan kerajaan itu tidak bagus, tetapi jika kita berjiwa besar & ada cita-cita yang tinggi, itu bukan ‘channel’nya. Itu bukan laluannya. Hidup ini sebenarnya lebih lagi dari itu. Masih banyak yang kita boleh lalui. Masih banyak tempat yang harus kita teroka. Dan masih banyak ruang & peluang yang wajib kita rebut. Jangan sekali-kali mengejar ruang ‘zon selesa’. Kerana sekali kita masuk, untuk keluar agak mustahil. Kita akan hanyut dalam zon selesa itu yang sebenarnya tidak selesa mana pun.

Mula cari mentor

Untuk lakukan seorang diri, try & error adalah sesuatu yang agak sulit. Walaupun ia bagus untuk kita belajar banyak perkara, tetapi ia boleh jadi pengalaman yang amat mengerikan. Untuk shortcut, cari mentor yang telah berjaya, ‘tiruvasi’kan setiap langkah yang dia buat. Tiruvasi bermaksud tiru & inovasi. Ambil yang mana baik & olah dengan cara kita sendiri. Kita lebih tahu dimana kekuatan & kelemahan sendiri berbanding dengan orang lain. Mula berdamping dengan mentor. Cari yang kalau boleh kita melekat dengan dia sepanjang masa. Curi input sebanyak mungkin & cuba aplikasikan. Dan disini kita akan jumpa kesilapan demi kesilapan. Tanya mentor pendapat untuk selesaikan masalah itu, ulang & ulang sehingga kita mahir. Mana tahu dengan ilmu yang kita perolehi sepanjang proses itu, kita boleh berkongsi dengan orang lain pula. Kita pula boleh menjadi mentor. Berkongsi adalah cara paling pantas untuk belajar. Ia membuka sudut-sudut yang tidak kita nampak. Ini kerana kita hanya ada 2 mata, terbatas kemampuannya. Orang yang kita ajar akan menghadapi masalah dia sendiri, & dari masalah dia juga kita boleh belajar sesuatu yang baru kan?

Kita apa yang kita lakukan

Adalah mustahi jika kita seorang peguam & ingin menjadi seperti mendiang Karpal Singh tetapi dalam masa yang sama tidak ada satu perkara pun yang kita buat sama dengan idola kita. Ia sesuatu yang mustahil. Bohong. Kita kena mula tiru cara pembawaannya, buku apa yang dia baca, kes apa yang dia handle, kawan yang bagaimana di sekelilingnya. Dan jika perlu melangkah ke arena politik sekalipun, kenapa tidak. Potensi untuk kita berjaya seperti mendiang Karpal Singh adalah tinggi. Kerana kita melakukan apa yang mendiang lakukan. Sama sahaja jika kita ingin menubuhkan empayar perniagaan, kita juga kena lakukan sesuatu yang sama dengan mereka yang telah berjaya membina empayar. Ia tidak akan berlaku hanya dengan cakap-cakap sahaja. Cukup dengan lepak & omong-omong kosong. Ia mustahil. Kita harus banyakkan membaca buku apa yang mereka baca, rutin harian apa mereka lakukan. Jika idola kita seorang penulis, kita kena belajar menulis. Walau apa alasan sekalipun, kita kena lakukan juga. Memang payah, tapi percayalah ia akan memjadi mudah & semakin mudah jika kita ulang setiap masa & letakkan sedikit komitmen pada permulaanya. Dan ia akan menjadi sesuatu yang normal. Yang penting mulakan, bukan sekadar cakap sahaja.

Bebelan bersambung…