NLP: Seni Sebuah Impian
7-9 April yang lalu, saya berkesempatan untuk meluangkan sedikit masa menghadiri seminar berkaitan NLP. Program yang dikendalikan Tuan Hj. Fadhli Yusoff begitu menarik & membuka minda saya. NLP antara program yang menjadi salah satu “bucket list” impian saya. Harga untuk 3 hari yang tak murah, namun sesuatu yang amat berbaloi untuk dipelajari. Antara yang paling menarik & mengusik hati kecil saya, tentang pelaksanaan impian. Saya percaya semua kita pernah memasang impian, mahu buat itu & mahu buat ini. Tapi bila masa berlalu, impian itu tinggal angan-angan.
Saya percaya, ramai yang begitu. Tak terkecuali dengan saya. Tapi kali ini saya jelas yang apa itu sebenarnya impian. Adakah apa yang kita hasratkan itu benar-benar impian? Ataupun sekadar cetusan idea?
Bagaimana Impian Tercipta?
Perkara yang saya fahami tentang impian sebelum ini amat kabur & sama-samar. Memahami dengan cara faham saya sendiri, & kadang kala pelik kemana hilangnya semangat yang berkobar-kobar saya dalam melaksanakan impian tersebut? NLP mengajar saya yang impian itu ada seninya dalam perjalanan kita untuk menggapainya. Sebelum ini saya anggap apa yang saya mahu capai & apabila perkara itu kita coretkan diatas kertas, itulah impian. Ia hanya angan-angan bila ianya sekadar terlintas di hati yang kita mahu lakukan atau capai sesuatu. Jadi, faham saya, beza angan-angan & impian ialah dicoret atas kertas ataupun tidak. Jika semudah itu, kenapa impian saya yang saya coretkan atas begitu banyak lembaran kertas sebelum ini hanya tinggal sekadar tulisan sahaja? Persoalan timbul pula adakah impian itu sesuatu yang begitu sukar untuk dilaksanakan? Jika benar mengapa pula begitu ramai orang yang saya sendiri kenal, mereka mencapai impian mereka dengan tampak begitu mudah sekali. Kadang-kala seolah-olah mereka ada magik yang mereka amalkan.
Idea, permulaan sebuah impian?
Ya, impian itu bermula dengan cetusan idea. Ramai di luar sana yang mengangap idea itu sebuah impian. Tanpa ia sedari idea hanyalah sebuah idea. Idea mungkin datang setelah kita berfikirkan sesuatu yang kita lihat, kita dengar atau dari pengalaman kita & juga boleh jadi dari pengalaman orang lain. Boleh jadi ada antara kawan-kawan kita berjaya dalam perniagaan, lalu kita pun berfikir seronoknya kalau kita dapat jadi seperti itu. Lalu kita berangapan & merasakan itulah impian kita. Tapi bila masa berlalu, kita tetap di tempat yang sama. Dan kita mula bertanya, kenapalah sukarnya nak capai impian. Lebih teruk, kita mula mencari & mencipta alasan yang untuk mencapai impian itu “sukarlah, susahlah, dia bolehlah, kena ada kabellah, diaorang itu lah, inilah!”
Paling teruk, bila kita mula berfikir yang Tuhan itu tidak adil bagi kita. Sedangkan apa yang kita cetuskan hanyalah sebuah idea, bukannya impian. Kita silap menafsirkan makna impian itu dengan tepat. Boleh jadi kita jahil ataupun tidak mahu ambil tahu & belajar apa itu impian yang sebenar. Saya yakin yang ramai antara kita tersangkut dengan “IDEA” kita sendiri yang kita sangkakan itulah “IMPIAN”.
Angan-angan atau impian?
Dari cetusan idea ia akan bertukar menjadi angan-angan. Ini yang paling menyeronokkan. Kerana tidak batasan dalam angan-angan. Berangan-angan atau imaginasi sesuatu yang sangat positif jika kena caranya. Saya kuat percaya yang semua pemimpin atau tokoh dunia yang berjaya sudah terbayang-bayang akan kejayaan yang mereka dambakan. Mereka sudah mencipta imaginasi bagaimana bentuk kejayaan yang akan mereka capai. Sama ada ia realistik ataupun tidak buat masa itu, itu bukan soalnya. Kerana imaginasi itu barang yang tidak ada, ia hanya visual yang dicipta. Tetapi visual itulah yang memberi kita semangat & perasaan teruja dalam diri kita. Alangkah seronoknya seandainya ia menjadi realiti.
Tapi disini timbul masalah. Ramai antara kita sekali lagi terperangkap & terkeliru bahawa angan-angan itulah impian. Kita mahukan apa yang kita angankan itu menjadi realiti, tapi dalam masa yang sama kita tak yakin yang kita boleh lakukannya. Mula timbul perasaan ragu-ragu dalam diri, betulkah aku boleh? Atau ia terlalu payah & tinggi nak dilaksanakan? Jadilah ia sekadar angan-angan Mat Jenin.
Salahkah berangan-angan atau berimaginasi?
Sudah tentu tidak, kata Albert Einstein “Imaginasi itu lebih bagus dari ilmu pegetahuan”. Ilmu pengetahuan berasaskan logik hanya membawa kita yang dari A ke B sahaja. Sedangkan imaginasi itu membawa kita merentasi sempadan dunia. Jadi, apakah angan-angan kita?
Sasaran atau impian?
Angan-angan kepada sasaran. Disini merupakan perbezaan paling ketara antara orang yang berjaya ataupun yang gagal. Orang berjaya akan meletakkan sasaran atau target tentang apa langkah yang harus dilakukan untuk menjayakan angan-angan mereka. Jika tiada sasaran, ia hanya sia-sia & tinggallah menjadi angan-angan. Namun bukan semua yang meletakkan sasaran itu mampu melaksanakannya. Boleh jadi salah strategi, sasaran terlalu “unrealistik”, semua ini akan merencatkan proses kita mencapai impian kita. Kata orang, tepuk dada tanyalah selera. Sasaran biarlah berpada, dengan kadar kemampuan kita. Jangan terlampau sehingga mustahil untuk kita capai. Letakkan sedikit logik, hanya kita tahu kemampuan kita.
Hanya kita yang memahami kemampuan kita, keupayaan & tahap pengetahuan kita. Adalah tak munasabah untuk kita menjadi Perdana Menteri jika kita tidak berada dalam landasan politik. Atau jika kita mahu turunkan berat badan, mana mungkin mahu turunkan 90 Kilogram dalam masa sebulan. Letak matlamat dengan rasional & gunakan sedikit “common sense”. Sasaran yang jelas & realistik lebih mudah serta membantu kita mencapai impian kita lebih pantas.
Kita harus tahu apa yang harus dilakukan setiap hari, setiap minggu, & setiap bulan untuk memenuhi impian. Jika kena dengan susunan rutinnya, tidak ada alasan lagi mengapa impian kita gagal. Jika ada yang tergendala, kita hanya perlu ubah rutin sehinggalah impian kita jadi kenyataan. Andai ada kesukaran, ubah strategi kita, bukanya target kita.
Impian yang sebenar-benar impian.
Perjalanan menuju sesuatu impian itu tidak mudah. Namun begitu ianya bukanlah mustahil. Kita harus faham caranya yang sebenar untuk mencapai impian kita. Paling penting harus faham aturannya bagaimana.
Ia bermula dari cetusan idea, lalu menjadi angan-angan. Dari imaginasi angan-angan kita letak pula apa sasaran kita. Strategi yang kita susun pula menentukan secepat & sejauh mana keupayaan kita mengejar impian kita. Impian hanya boleh diperolehi jika kita faham maksudnya yang sebenar. Sekarang terserah pada kita, mahu kejar impian ataupun tidak.
Tepuk dada, tanyalah selera..