Kenapalah aku tak berjaya lagi?

Jika kita masih tak berpuas hati dengan keadaan kita sekarang, lihat siapa kawan-kawan kita sekarang. Persekitaran kita akan mempengaruhi cara kita berfikir, cara kita bertindak & cara kita membuat keputusan. Seringkali kita tertanya-tanya kenapa kita tidak nampak apa-apa perubahan atau kemajuan pada diri kita. Sebenanya ramai orang terperangkap dalam situasi yang sama, mahu ubah & capai kejayaan seperti orang lain. Tapi sayang setiap kali nak buat tindakan, seakan-akan ada sahaja yang menghalang. Hilang semangat, cepat bosan & mudah berputus asa. Paling teruk, kita seakan-akan selesa dalam zon selesa kita yang sebenarnya tak selesa mana pun. Masa berlalu begitu pantas, umur pun makin meningkat. Tapi kita masih ditakuk lama.

Kenapa ini terjadi?

Kata orang tua, kalau nak bau wangi berkawanlah dengan penjual minyak wangi. Sedikit sebanyak kita akan terkena tempiasnya. Sama juga kalau nak berjaya, kita kena cari kawan-kawan yang telah berjaya. Bukan bermaksud kawan-kawan sekarang ini kita kena tinggalkan terus.  Berkawan dengan semua orang, cuma cari masa lebih sikit untuk berdamping dengan mereka yang sudah nampak hasilnya. Lebih baik kalau kita cari orang yang berjaya dalam bidang yang kita ingin ceburi. Belajar sebanyak mungkin dengannya.

Kenapa kena tukar kawan?

Jika kita selesa dengan keadaan sekarang, tak perlu pun nak tukar kawan. Cuma kalaulah kita terfikir bagaimana nak ubah hidup kita sekarang kepada kehidupan yang lebih baik. Dan kita terkial-kial macam mana nak buat. Perkara paling utama, ubah “circle” kita.

Katakan saya nak jadi seorang penulis buku, saya wajib belajar menulis & cari cara macam mana idea serta langkah yang perlu dibuat. Apa yang perlu difokuskan, mana nak cari publisher, macam mana perkiraan royaltinya & sebagainya. Kalaulah saya tak cari mereka yang pernah terbitkan buku, sampai bila pun hasrat saya itu tak akan jadi kenyataan. Saya kena mula berkawan dengan mereka yang sepatutnya. Tidaklah bermaksud saya kena luangkan setiap masa dengan mereka. Cuma saya kena curi masa & pastikan setiap masa saya dengan mereka adalah masa yang berkualiti. Tak guna juga kalau lepak hari-hari tapi sekadar borak-borak kosong. Nanti apa pun tak dapat.

Kawan yang positif akan membentuk cara pemikiran yang positif, berapa ramai yang rosak diluar sana disebabkan oleh pengaruh rakan-rakan. Bukan budak-budak sahaja, malah orang tua pun menghadapi masalah yang sama.

Sebab itu kalau kita perhatikan orang-orang yang berjaya mereka ada “kelab ekslusif” mereka sendiri. Bukan semua orang boleh masuk dalam circle mereka. Mat rempit pun sama, mereka akan berkumpul hanya di kalangan mereka sahaja. Sudah pasti dua golongan ini menghasilkan sesuatu yang berbeza dari segi “outcome”nya.

Jangan terlampau memilih kawan

Memilih kawan tak bermaksud kita hanya bergaul dengan satu golongan sahaja & meminggirkan golongan yang lain. Contohnya, kalau saya ingin berjaya, adakah saya harus meninggalkan semua kawan-kawan saya sekarang? Adakah saya perlu hanya bersama dengan mereka yang berjaya sahaja?

Sudah tentu tidak.

Kita dilarang membezakan darjat antara satu sama lain kerana setiap manusaia ada kelebihan & kekurangan masing-masing. Boleh jadi mat rempit itu ada kelebihan yang seorang jurutera tidak ada. Dan begitulah sebaliknya. Disini kita kena berfikir sendiri, ambil yang mana baik & jadikan sempadan yang mana tidak baik. Pokok pangkalnya kita sendiri boleh menilai. Jangan sampai melupakan kawan sedia ada semata-mata nak berjaya. Setiap manusia ada peranannya. Lebih ramai orang kita berkawan, semakin mematangkan kita. Boleh melihat ragam & pengalaman manusia dari pelbagai sudut.

Perkara itu penting dalam proses mematangkan fikiran kita. Boleh jadi kita belajar sesuatu dari si miskin & boleh jadi juga kita belajar sesuatu yang lain dari si kaya. Terpulang kepada kita untuk melihatnya dari sudut mana. Kesimpulannya, nak berjaya cari mereka yang telah berjaya tapi dalam masa yang sama, seimbangkan mengikut keadaan & kesuaian. Kita lebih memahami diri kita. Kerana kita yang menentukan apa yang kita mahukan.