Balas dendam
Setiap orang pernah melalui detik-detik kritikal dalam hidup masing-masing. Tak kira apa status kita sekarang, sama ada berpangkat tinggi atau sekarang ini kita masih kuli. Saya percaya turun naik adalah perkara yang normal buat manusia. Cuma kadang kala kita lebih mengingati saat kita berada di putaran roda yang bawah berbanding kita di puncak. Manakala orang lain pula melihat kita atau mengingati kita hanya bila kita berada di atas bukannya di bawah. Itu adalah lumrah. Melihat dari sudut yang berbeza.
Andai kata kita melihat seseorang yang berjaya hari ini, masyarakat umum akan memperkatakan setiap kejayaannya berbanding kegagalannya. Ramai yang akan melihat betapa bertuahnya si fulan itu kerana berjaya. Nasib dia tentu baik berbanding mereka yang masih mencari-cari rentak hidup. Kadang mereka menyalahkan takdir & menjadikan takdir juga sebagai alasan kenapa si fulan itu berjaya.
Orang tak pernah mengingati naib juara
Lumrah. Sudah sifirnya begitu. Jarang sekali kita mengingati seorang naib juara. Yang hanya diingati atau disanjung hanyalah sang juara. Saya pun sama. Sudah tabie manusia. Yang kalah akan dilupakan. Tetapi bagi individu yang kalah, kekalahan itulah yang akan tersemat di hati sampai bila-bila. Kerana kita akan belajar lebih tentang kehidupan dengan menanggung kekalahan berbanding kejayaan. Kekalahan akan membuatkan kita terus berusaha & mahu mencuba lebih lagi dari sebelum ini. Hanya orang yang pernah kalah sahaja akan merasai manisnya kemenangan.
Apa nak buat bila kita di bawah?
Ujian sebenar bukanlah di bilik darjah. Ia sebenarnya ada di luar. Dalam kehidupan seharian kita. Itulah ujian sebenar kita. Boleh jadi kita cemerlang dalam peperiksaan namun belum tentu kita akan berjaya dalam hidup. Dan boleh jadi kita gagal dalam peperiksaan, namun ia tidak bermakna kita gagal dalam kehidupan. Kita sendiri boleh lihat berapa ramai mereka yang berjaya dalam hidup adalah mereka yang gagal dalam pembelajaran. Malah ada yang berhenti belajar & ada yang tak pernah menjejaki kaki ke sekolah langsung.
Jalanan adalah universiti kehidupan
Buat mereka yang sekarang ini sedang berputus asa, atau tertekan dengan hidup sekarang. Jangan risau. Walaupun mungkin keadaan kita sekarang sangat menyedihkan, mungkin kita miskin melarat atau tidak dipandang langsung oleh sesiapa, ingat yang hidup ini masih panjang. Kita punya masa yang sangat mencukupi untuk bangkit. Kita dianugerahi akal. Untuk menilai baik buruk sesuatu. Boleh jadi sekarang kita rasa diri kita tiada guna di mata orang, tapi percayalah pada diri sendiri. Biarkan apa orang nak kata.
Kita hidup ini atas daya usaha kita, bukan atas kata-kata orang terhadap kita. Jika kita asyik mendengar apa orang kata tentang kita, sampai bila pun kita tidak akan dapat jawapan yang memuaskan hati. Malah menyakitkan lagi ada. Kita sendiri menentukan hala tuju kita. Bukan orang lain. Persetankan kata orang. Masa yang ada untuk kita, gunakan semaksimum yang mungkin untuk bangkit & ubah masa depan kita.
Jalan terbaik balas dendam ialah dengan berjaya
Sesuatu yang sentiasa memberi motivasi saya ialah saya akan sentiasa cakap pada diri sendiri, yang hanya kejayaan boleh membuktikan saya adalah insaan yang berguna. Setiap cacian & kata-kata belakang menjadi pembakar semangat saya untuk terus mara ke hadapan mengejar impian saya. Biarkan mereka yang asyik memperkecilkan kita, katakan kita gagal & gagal sebelum ini, siapa yang peduli. Tak ada orang pun yang peduli tentang hidup kita. Mereka pun sibuk dengan hidup masing-masing. Setiap kegagalan mengajar kita lebih tabah & mematangkan kita.
Jangan jadi orang yang rugi
Alangkah ruginya kita jika membiarkan diri hanyut dalam kegagalan. Meletakkan diri sebagai watak orang yang gagal. Rasa rendah diri tak pasal-pasal. Ayuh bangkit, terus melangkah ke hadapan. Asal tak mati sudah. Dalam dunia sekarang, hanya pemenang yang mendapat tempat. Jadi apa pun situasi kita sekarang, walau seteruk mana pun, bangun & terus berjuang. Ingat dengan kejayaan sahaja segala pahit & jerih yang kita lalui selama ini berbaloi. Jangan biar diri terus dalam kegelapan. Asalkan kita tak berputus asa, In Sya Allah akan ada jalannya. Kecuali kita berputus asa..