Cerita Dari Syed Hussein Ali
Dua wajah, tahanan tanpa bicara. Sebuah autobiografi politik oleh Dr Syed Hussein Ali, mantan presiden Parti Rakyat Malaysia & juga Bekas Timbalan Presiden PKR yang menceritakan pengalaman berada hampir 6 tahun dalam tahanan. Dr Syed ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau lebih dikenali sebagai ISA. Pengalaman yang sangat memeritkan bagi seseorang apabila dikenakan dengan pelbagai tuduhan namun dalam masa yang sama tidak diberi ruang & peluang untuk membela diri.
Buku ini saya baca setelah selesai membaca buku karangan Dr Syed dalam memoirnya. Memoir perjuangan politiknya begitu menarik perhatian saya. Dan dalam buku itu diselitkan beberapa “teaser” tentang ceritanya ketika dalam ISA. Malangnya, dalam buku itu tidak dijelaskan pengalaman beliau kerana menurut beliau semua itu sudah ditulis secara terperinci dalam buku Dua Wajah.
Mula mencari buku
Atas dasar ingin tahu yang memuncak, selesai sahaja membaca memoirnya, saya terus memesan buku Dua Wajah. Seperti yang dijangka, pengalaman yang sangat berharga & sarat pengajaran untuk dikorek dari tokoh negara seperti beliau. Membaca peristiwa dari penceritaan yang santai tapi tepat sasarannya, membuatkan saya berhenti sekali-sekala. Menggeleng kepala bila cuba membayangkan kalaulah saya berada di tempat Dr Syed. Apa yang harus saya lakukan. Masih adakah kekuatan fizikal & mental jika itu terjadi ke atas saya.
Kebejatan sesetengah pihak terutama parti yang memerintah dalam menghapuskan musuh-musuh politik yang dirasakan mengancam kedudukan mereka sangat tidak bersifat manusawi. Saya terbayang apa yang akan terjadi jika seorang demi seorang pemimpin negara sekarang yang tidak pernah merasai pengalaman ditahan sebegitu rupa, apa agaknya perasaan mereka. Memberi arahan untuk menahan seseorang tanpa memberi ruang membela diri, satu yang sangat bertentangan dengan nilai kemanusiaan. Walau dengan apa jua alasan, ia tidak boleh diterima oleh akal. Hanya mereka yang gila kuasa sahaja sanggup melakukannya.
Dalam islam, ia suatu yang sangat bertentangan dengan norma-norma agama. Saya berdoa semoga semua kejahatan mereka yang melakukan itu hanya Tuhan yang mampu membalasnya.
Pandangan saya..
Saya secara peribadi tersentuh & agak terganggu emosi. Mengapa masih wujud akta seperti itu, walaupun sekarang ISA sudah tiada & diganti dengan akta baru iaitu SOSMA. Namun ia tetap berisikan daging yang sama. Mungkin hanya luaran sahaja diganti dengan kulit lain. Namun inti & rasanya tetap sama. Tidak dinafikan akta yang diluluskan 3 tahun selepas merdeka dengan tujuan asal membendung penularan fahaman komunis ini sebagai langkah keselamatan ampuh untuk negara, namun ia cenderung disalahgunakan untuk maksud menjatuhkan lawan terutamanya musuh politik.
Positifnya, ISA jika kena caranya
Saya juga bersetuju jika ISA ini dikenakan jika betul orang itu benar-benar mengancam keselamatan negara, namun masih ada ruang harus diberikan untuk sesiapa sahaja untuk membela diri. Seseorang tidak boleh ditentukan salah hanya dengan tuduhan tanpa pembelaan.
Saya banyak membaca tentang betapa seksanya penderitaan mental & fizikal sama ada orang kena tahan mahupun keluarga mereka. Namun hanya dalam artikel pendek atau cerita yang ringkat-ringkas sahaja. Namun buku ini terang lagi bersuluh apa sebenarnya yang ada di sebalik sarung ISA itu. Ditelanjangi satu-persatu pakaiannya. Seolah-olah pihak yang menuduh itu Tuhan yang berhak menghakimi si fulan itu ‘salah’ atau ‘salah’.
Hikmah dari “Dua Wajah”
Apa pun, buku Dua Wajah membuka mata & minda saya untuk berfikir tentang kebebasan yang Tuhan anugerahkan pada saya. Dalam seharian saya diberi pilihan yang jelas di depan mata. Mahu itu atau ini. Membuatkan saya bersyukur atas ujian yang berat-berat tidak Tuhan timpakan ke atas saya. Disebabkan kebebasan itulah saya harus merebut peluang untuk menjadi “somebody”. Alangkah bangsatnya, jika hidup menjadi tunggul yang tak ada guna. Sekadar menumpang hidup untuk diri sendiri.
Maksud kita ini hidup..
Hidup ini sebagai satu medan memberi & berkongsi hikmah. Kita menumpang antara satu sama lain. Hanya si bangsat sahaja yang menumpang tapi kedekut memberi tumpang kepada orang lain. Ikrar dalam diri yang saya harus juga menyumbang sesuatu kepada bangsa & negara. Dan juga agama dengan cara saya tersendiri. Soal besar atau kecil itu bukan ukurannya. Paling ‘cokia’ sumbanglah buah fikir atau teladan yang boleh dicontohi.
Kalau tak mampu menjadi garam, jangan pula menjadi lalat. Garam diletak pada ikan yang busuk, bertukar menjadi ikan jeruk yang membuka selera. Sebaliknya lalat walau diberi daging yang segar, tetap buruk tiada guna..