“Hidup ini tumpang menumpang. Di situlah lahirnya syukur kita kepada Allah. Pada sepinggan nasi yang kita makan, di situ ada nasi yang diusahakan oleh petani, ada ikan yang dicari nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberikan sepinggan nasi kepada kita. Alangkah kerdilnya kita di bumi Allah ini… Maka siapakah kita untuk menolak agama Allah?”

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Pesan Tok Guru

Saya teringat kata-kata arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz. Figura besar negara ketika hidup atau sesudah perginya beliau. Tentang hidup kita yang tumpang menumpang. Kita hidup bermasyarakat memerlukan satu sama lain. Bukannya hanya seorang diri.

Boleh jadi hari ini kita menumpang orang, mana tahu esok lusa kita pula yang memberi tumpang orang lain. Rezeki Tuhan yang dipinjamkan pada kita bukan sepenuhnya hak milik kita. Masih ada bahagian orang lain di dalamnya. Boleh jadi rezeki anak atau isteri melalui kita sebagai pengantaranya. Jadi tidak guna jika kita meninggi diri tak tentu pasal.

Tumpang ilmu & pengalaman

Pengalaman mematangkan kita. Kehidupan ini memenatkan & setiap yang memenatkan itulah guru kita. Namun kita juga belajar banyak perkara dengan menumpang pengalaman orang di sekeliling kita. Kita hari ini hidup bukan atas pengalaman kita sahaja, banyak juga yang kita menumpang pengalaman orang lain. Gabungan kedua-duanya menjadi kita matang lebih dari sepatutnya.

Mustahil kita pandai tanpa ada guru yang membimbing kita. Kita melalui proses yang sudah sunnatullah. Berguru. Jadi walau sepandai mana atau setinggi mana ilmu kita, ingat ada yang membantu kita. Sedar diri yang kita menumpang ilmu yang diwarisi dari cerdik pandai sebelum kita.

Tumpang kasih 

Kita juga menumpang kasih sayang dari orang yang ada di sekitar kita. Ibu bapa kita, adik beradik kita & juga masyarakat sekeliling kita. Kita membesar dengan pengalaman yang dipengaruhi suasana yang mengelilingi kita. Walau siapa kita pada kedudukan sekarang, ingat kembali jasa-jasa mereka yang banyak kita tumpang. Tanpa mereka belum tentu lagi siapa kita masa kini.

Tumpang rahmat Tuhan

Paling besar dalam hidup kita, menumpang berteduh di bawah rahmat Tuhan. Lebih-lebih lagi Islam yang kita anuti tanpa melalui susah payah dalam mencari Tuhan. Belum tentu kita Islam jika kita ditakdirkan lahir dalam keluarga bukan Muslim. Ini sahaja sudah menjadi satu rahmat yang mana kita harus syukuri.

Diluar sana masih ramai yang mencari & teraba-raba dalam kegelapan, ada yang belum sempat disapa kebenaran telah pun dijemput pulang. Ada pula yang bergolok bergadai, berpecah kasih dengan keluarga ketika proses mencari kebenaran dalam agama ini, sedang kita diberi rezeki memlikinya tanpa apa-apa halangan. Lebih sedih, kadang kala mereka yang bukan islam lebih islam dari kita dalam pengamalan seharian hidup.

Hakikat hidup ini

Hidup ini tumpang menumpang, jadi alang-alang hidup lebih baik kita menjadi orang yang banyak memberi tumpang. Orang memberi itu lebih dekat dengan Tuhan & Tuhan akan memberi lebih lagi rahmatnya untuk kita tumpang kembali.

Sekarang terpulang pada kita, mana yang kita mahu beri lebih. Menumpang atau ditumpangi..