Fenomena menghukum orang

Dewasa ini, kita lihat begitu ramai antara kita yang terlalu cepat melatah atau menghukum seseorang dalam sesuatu isu. Terutamanya di media sosial, kita menjadi ‘Yang Arif’ tidak bertauliah  tanpa memikirkan implikasinya. Lebih menghangatkan lagi situasi bila ia menjadi viral.

Kita hanya melihat sesuatu isu itu pada dasar permukaan sahaja tanpa terlibat secara langsung. Ia boleh jadi sekadar persepsi atau andaian semata-mata. Namun, dengan sepantas yang boleh kita pun ‘posting di wall’ kita.

Sedang kita lupa yang setiap apa yang kita coretkan atau carutkan itu menjadi saksi di akhirat kelak. Saya teringat pesanan seorang ustaz yang melarang dari memaki hamun atau menyebarkan sesuatu yang tidak pasti di ‘wall facebook’ kerana ia menjadi suatu virus bachata yang tanpa kita sedari, mungkin memberikan bala kepada batang hidung kita suatu hari nanti.

Kalaulah ia fakta yang salah?

Bayangkan, andai kata ditakdirkan mati esok, apa yang terjadi dengan ungkapan kita di media sosial jika ianya menjadi punca fitnah.

Mampukah kita menjawab di hadapan Tuhan nanti?

Mahukah kita dipertanggungjawabkan atas perbuatan kita yang hanya ‘suka-suka’ itu sebenarnya menjadi akar fitnah atas orang lain?

Hukum dulu?

Kita terbiasa menghukum seseorang berdasarkan pada pandangan kasar. Walaupun dalam islam, kita menilai & memberi pandangan pada zahir yang kita lihat, namun ia bukan lesen untuk melabel si fulan itu bersalah atau tidak.

Kadang kala peliknya, sebenarnya isu itu tidak kaitan pun dengan kita, tapi kita pula terlebih rajin selak & masuk dalam kain orang. Kalau ikutkan, tak jadi kudis gatal pun kalau kita tak menyibuk. Ambil tahu tak apa, tapi jangan pula melampau. Jangan jadi ‘busy body’.

Bolehkah kita menghukum?

Dalam norma & nilai moral mana-mana agama sekalipun, secara asasnya, dilarang kita menghukum tanpa memberi ruang pengadilan pada si tertuduh. Apatah lagi tanpa bukti & hanya serkap jarang. Persepsi atau khabar angin bukan syarat & lesen kita untuk mengecop “Dia Salah” atau “Dia Buat Tak Betul Tu”.

Kita harus memahami terlebih dahulu, kaji & selidik sama ada sesuatu isu itu ada asasnya atau tidak. Jika ada asas sekalipun, menghukum bukan caranya, terutama bila kita tiada autoriti. Lebih baik kita sendiri belajar dari kesilapan tersebut & baru mengajar mereka yang salah itu.

Memahami Belief Sistem

Kadang kala, kita merasakan apa yang orang lain buat itu salah, tetapi sebaliknya bagi mereka. Mereka melakukan sesuatu itu berdasarkan kepercayaan yang mengatakan itu tidak salah.

Contoh, perompak merompak kerana merasakan itu tindakan yang betul pada masa itu pada pandangan mereka. Persekitaran & cara fikir meng’halal’kan perbuatan itu bagi mereka ketika itu. Belief sistem atau kepercayaan mereka tidak memahami yang mereka melakukan kesalahan. Ditambah jika hasilnya lumayan & tidak tertangkap. Kejayaan itu akan memberi lebih motivasi untuk terus merompak & merompak lagi.

Bezanya dengan kita

Ia berbeza bagi kita, jelas kita merasakan yang merompak itu salah & kita secara automatik tidak mahu melakukannya. Memikirkannya sahaja dah buat kita geleng kepala. Kerana ia bertentangan dengan sistem kepercayaan yang kita pegang.

Sama dengan perokok, walaupun jika ditanya sama ada merokok itu bahaya atau pun tidak, semua perokok bersetuju ianya berbahaya. Tetapi kenapa perokok terus menghisap & menghembus asap tanpa ada sebarang perasaan bersalah. Minda mereka percaya yang merokok itu tidak salah & sesuatu yang biasa buat mereka pada ketika itu. Bila dah disahkan ada penyakit disebabkan rokok, barulah menyesal & berhenti merokok.

Kenapa?

Kerana di situasi itu, barulah mereka sedar yang merokok itu bahaya & salah pada ketika itu. Jadi, jika kita memahami ini, tidak pelik kenapa kita lihat banyaknya “jin-jin” yang kita jumpa sepanjang hari kita.

Memahami kenapa tindakan itu diambil

Untuk memahami setiap tindakan seseorang apabila melakukan sesuatu, sama ada ia jenayah atau perkara baik, kita harus meneroka apa yang ada dalam kepala otak mereka.

Jika kita cuba menyelami belief sistem mereka, kita akan jadi lebih tenang & rasioanal dalam menghukum. Kita tahu & faham kenapa sesuatu tindakan itu dipilih. Kita faham sekurang-kurangnya kenapa ia terjadi.

Kerana kita semua memilih bertindak berdasarkan apa yang kita pegang sebagai asas pemahaman kita.

Namun ia bukan bermakna apabila sesuatu yang buruk itu terjadi, kita harus mendiamkan diri & bersetuju. Tidak sama sekali.

Jangan semberono

Menghukum membuta tuli itu satu tindakan yang semberono. Pastikan kita betul-betul jelas dalam sesuatu isu, baru menghukum. Jangan menjatuhkan vonis tanpa bukti yang kukuh. Lihat dari perlbagai sudut, jika benar cari peluang untuk mengajar & belajar daripadanya. Bukan terus menghukum.

Seni menasihati

Mengajar, jangan hukum.

Bunyinya seakan-akan senang kan?

Tapi pelik, bila kita tegur, kadang-kala tak makan nasihat pula. Contoh mudah, buat mereka yang mempunyai anak.

Bila anak buat perangai & kita mula beri nasihat, namun tak jalan. Sebaliknya mereka seakan memberontak. Muncungnya panjang sedepa tanda protes.

Ia bukan sahaja mengeruhkan lagi keadaan, malah ia tidak membantu langsung kita menyelesaikan masalah.

Boleh jadi makin stress dibuatnya. Hampir kita “give up” pun ada. Akhirnya kita memutuskan yang mereka memang begitu. Sudah takdir kita ada anak yang degil & tak mendengar kata.

Betulkah begitu?

Sebenarnya tak pun, kita sahaja yang tak cuba memahami cara mereka berfikir. Bagi kita, sebagai contohnya, siapkan kerja sekolah itu bagus. Tapi bagi mereka bermain itu lebih penting & menyeronokkan. Lagipun itu memang rutin mereka. Padan dengan usianya.

Namun, jika kita pandai “approach” atau memberi penerangan yang betul dengan kadar yang padan dengan usia mereka, pasti mereka dapat menerimanya.

Katakan mereka yang bermain itu ‘tak salah’, jangan terus jerkah atau memarahinya. Cuba pujuk & beri penerangan mudah. Kenapa perlu siapkan kerja sekolah, bila dah siap nak main, mainlah.

Nasihat dengan pelbagai cara

Menasihati orang ada pelbagai cara, sayangnya kita mencuba dengan satu jalan sahaja. Dan bila mereka tak makan saman, kita putus asa & menyerah pada takdir. Terutamanya mereka yang penting dalam hidup kita. Boleh jadi adik beradik kita, suami atau isteri kita, ataupun anak-anak kita.

Cuba selami kenapa mereka melakukan sesuatu, cari jalan untuk beri nasihat dengan berhemah. Jika plan A tak jadi, fikir plan B pula. Begitulah seterusnya.

Sama sahaja kita melihat “iceberg”, jangan melihat permukaan sahaja, cuba lihat apa yang ada di dalam & bawah dasarnya.

Jika kita dapat melihat luar & dalam atau segala sudut, kita akan faham bagaimana cara mereka berfikir, hatta budak kecil sekalipun. Pasti mereka akan menerima nasihat kita tanpa banyak halangan. Malah akan timbul rasa sayang & hormat pada kita.

Tugas sebenar kita.

Agama itu nasihat. Bukan menghukum. Atas sebab itu, jangan cepat menghukum tanpa usul periksa. Tambah parah jika hukuman itu salah & menjadi fitnah. Satu kerja pula kita mahu menjawab di depan Allah nanti.

Nasihat juga kena ikut gaya & lenggoknya. Bukan membabi buta. Letakkan diri kita di tempat mereka yang melakukan kesalahan, fikir & cuba selami apa belief sistem mereka. Jika kita dapat memahaminya, tugas menasihati itu menjadi mudah & “natural”. Kerana kita faham perasaan mereka.

Kita sendiri tak suka kalau dilabel itu & itu tanpa tak pasal-pasal. Begitu juga orang lain. Boleh jadi sesuatu yang khilaf itu tidak disedari & menjadi habit kerana sistem kepercayaan mereka selama ini. Jadi berhemahlah dalam memberi nasihat. Jangan terlalu cepat menghukum. Ingat sekali lagi, agama itu nasihat.