Ramadhan datang lagi

Masa begitu pantas berlalu. Sedar tak sedar, kita berada kembali dalam Ramadhan. Alhamdulillah.

Seperti biasa, jika ada kelapangan saya akan mengerjakan solat terawih di masjid sekitar kampung saya. Dijadikan cerita suatu hari, semasa menunggu senggang waktu mulanya solat terawih, saya terpandang seorang lelaki berserban duduk di atas kerusi.

Kerusi khas yang biasa digunakan orang-orang tua yang uzur untuk mengerjakan soalat sambil duduk. Lelaki itu masih muda, kira saya mungkin akhir 40-an.

Satu yang saya perhatikan kakinya bengkak besar, ada semacam ketulan daging yang besar seperti beguk, tetapi di kaki. Kedua belah kakinya. Juga di tangan, walaupun tak sebesar di kaki.

Sudah tentu dengan ketulan yang sebesar itu, solat duduk itulah hanya pilihan yang ada. Saya agak ianya kesan sakit gout, kerana sering berurusan dengan pesakit gout, sedikit sebanyak saya boleh mengagak.

Selesai terawih rakaat ke-4, jemaah berhenti untuk mendengar tazkirah. Perlahan-lahan lelaki berserban itu bangun, menuju ke depan. Mengambil tempat duduk di hadapan kira-kira 200 jemaah. Rupanya dia penceramah jemputan untuk tazkirah Ramadhan hari ini.

Mengejar ganjaran pahala dalam kedhaifan

Ustaz tersebut berbicara tentang peluang merebut pahala di bulan Ramadhan. Peluang yang begitu besar untuk umat islam. Tetapi apa yang menarik perhatian saya adalah tentang ruginya bila kita berada dalam kedhaifan.

Menariknya, ia mengulas tentang jika dapat melihat ganjaran pahala yang Tuhan berikan atas segala infak dalam bulan Ramadhan & jika diberi peluang, si miskin ingin menjadi kaya kerana dengan kekayaan itulah dapat membantunya mendapat syafaat yang besar di Masyar kelak. Kerana pahala infak Ramadhan sangat berbeza dengan bulan-bulan yang lain.

Malangnya jika dalam bulan Ramadhan ini, jika kita sekadar dapat menginfak dengan kadar yang sedikit, sedangkan inilah satu perniagaan yang sudah pasti menguntungkan diri kita.

Katanya, bukan bermakna infak si miskin itu tiada nilai, namun si kaya sangat beruntung kerana dengan kekayaan yang Tuhan beri ia mendapat peluang yang sangat besar untuk meraih ganjaran.

Sama seperti dirinya, mengajar & menyebar dakwah kepada sekalian orang untuk meng-Esa-kan Tuhan, namun sayangnya, diri sendiri katanya hilang nikmat merendahkan dahi sujud di tikar sejadah kepada Allah.

Bagi mereka yang sakit atau uzur, mahu ataupun tidak mereka terpaksa solat di atas kerusi. Sedangkan hati mereka merindui perasaan merendahkan dahi sujud ke tikar sejadah.

Ia seperti hilang nikmat yang sangat besar. Tapi nampak kecil bagi kita yang sempurna.Perumpamaan dirinya seperti si miskin, hajatnya besar & ikhlas  kepada Tuhan, namun keterbatasan itu menjadi penghalang.

Hak menilai itu hak Tuhan

Betul keikhlasan itu hak Tuhan untuk menilai, namun kita sebagai manusia secara fitrahnya ada kepuasan jika kita mahukan sesuatu & dapat melakukannya kerana kita mampu.

Tanyalah sesiapa sahaja, sudah pasti ramai yang ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah, melihat Kaabah & kebesaran Tuhan yang lain. Tapi begitu ramai yang tidak mampu & sempat melaksanakannya kerana kedhaifan.

Saya insaf & sedar bila mendengar tazkirah yang ringkas tapi sangat menyentuh. Saya yang masih muda, sihat anggota badan, akal masih waras, begitu banyak alasan untuk tidak memajukan diri.

Setiap orang ada pilihan

Ya, tak salah jika memilih menjadi kaya. Dan tak salah juga memilih tidak menjadi kaya. Ia bergantung kepada individu. Namun, saya merasakan jika diberi pilihan mesti ramai yang ingin menjadi kaya. Tapi apabila tiba kepada pelaksanaanya, ramai yang terpinga-pinga.

Proses yang bukan mudah menjadikan ramai cepat berputus asa & selesa menjadi biasa-biasa. Lebih malang jika memberi alasan yang pelbagai. Terutama anak muda.

Terima kasih Ustaz

Namun, cerita ustaz semalam melekat dalam fikiran saya, betapa beruntungnya menjadi hartawan jika harta itu dapat digunakan ke jalan yang benar. Bayangkan betapa besar ganjarannya.

Masih banyak kerja yang perlu dibuat & diperbaiki. Semoga jalan di depan dipermudahkan. Buat anak muda, jangan mudah selesa dengan kehidupn, sentiasa cari ruang & peluang untuk berbakti pada agama & bangsa.

Paling kurang dengan usia yang masih muda, kudrat masih gagah, inilah peluang & masa untuk mengurankan beban terutamanya pada ibu bapa. Setidak-tidaknya kita menjadi tiang sandaran untuk keluarga kita sendiri. Pilihan itu di tangan kita. Dan saya memilih untuk menjadi kaya & berjaya..