Belajar dari kehidupan

Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmahnya. Mustahil setiap kejadian yang berlaku pada kita sama ada kita suka atupun tidak, ianya sia-sia. Namun jika diperhatikan, berapa ramai yang mengambil iktibar dari setiap yang berlaku.

Paling mudah, lihat diri kita sebagai contoh. Perhatikan semula perjalanan seharian kita, pasti ada sesuatu yang berlaku bukan?

Dan apa yang kita pelajari untuk pedoman kita buat hari ini?

Atau kita langsung tidak mengambil endah apa yang terjadi, ianya berlaku & berlalu begitu sahaja. Jika itu yang terjadi pada kita, pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan diri kita.

Belajar bertanya soalan yang betul

Sesuatu yang berlaku hanya akan nampak positif jika kita melihatnya dari kaca mata positif. Sebagai contoh, jika kita gagal dalam ujian, ada dua pilihan kita:

  1. Kita boleh sahaja berputus asa & mencari alasan atas kegagalan tersebut. 
  2. Kita bersemangat & tak berputus asa untuk buat lagi pada masa akan datang.

Masalahnya disini, ramai antara kita yang memilih untuk berputus asa, mencari alasan & paling teruk mula menyalahkan orang lain. Salah cikgulah, kawanlah, mak ayahlah. Hanya kita sahaja tak salah. Orang lain semua tak betul.

Tak dinafikan  kegagalan adalah perkara yang semua orang cuba elakkan, tapi kita sering terlupa yang kita belajar lebih banyak dari kegagalan berbanding dengan kejayaan.

Kematangan kita diukur dengan setiap respon yang kita beri pada setiap kejadian yang berlaku. Jika kita memberi respon yang positif, In Sya Allah hasilnya yang pasti akan jadi positif.

Manakala jika respon yang kita beri negatif, hasilnya pasti akan jadi negatif. Respon kita menentukan ‘result’ terhadap sesuatu perkara itu. Sebenarnya, mudah sahaja caranya untuk kita mendapatkan hasil yang positif atas sesuatu peristiwa.

Soalan menentukan jawapan yang kita cari 

Jika kita bertanya dengan soalan yang betul, secara automatik ia akan membantu kita mencipta mood yang positif & kita boleh agak apa hasil yang akan kita dapat. Mudah kan?

Saya beri contoh lagi, katakan kita gagal dalam subjek yang paling kita tak suka, soalan yang kita tanya akan memberi suasana yang berbeza. Walaupun situasinya sama.

  1. Adui, kenapalah payah sangat soalan ni?
  2. Ok, sekarang macam mana nak buat untuk lulus subjek ini?

Atau katakan kita baru sahaja putus cinta.

  1. Dunia ini tak adil. Kenapalah semua ini jadi pada aku?
  2. Sekarang, apa aku nak buat untuk terus ke depan & bantu untuk lupakan si dia?

Dua soalan yang berbeza tapi memberi mood yang berbeza bukan?

Jadi selepas ini apa jua yang berlaku dalam hidup kita, tak kita positif ataupun negatif, kita boleh menentukan hasil yang bakal diperolehi jika kita bertanya soalan yang betul. Soalan yang betul akan membantu kita memperolehi sesuatu yang positif.

Belajarlah bertanya

Disini kita boleh lihat, hasil yang berlaku dalam hidup kita selama ini sama ada kita sedar atau tidak adalah kerana respon yang kita beri sebenarnya. Belajarlah bertanya pada diri sendiri setiap apa yang terjadi.

In Sya Allah kita boleh lihat semua yang telah Tuhan takdirkan pada kita, pasti ada hikmah yang besar. Cuma kita sahaja jahil sebelum ini dalam memahami cara Tuhan mengajar kita.

Dengan bertanya soalan yang betul akan memberi arahan pada minda kita untuk mencari jawapan untuk soalan itu. Sebab itu sebelum ini, kita sering terperangkap dalam situasi yang buruk dengan begitu lama. Malah kita buntu macam mana hendak keluar atau ‘move on’ dari perangkap itu.

Kita hanya salah memberi soalan pada diri kita sahaja. Kesimpulannya, selepas ini apa yang terjadi pastikan kita sentiasa bertanya pada diri sendiri. Yang pasti, soalan itu mestilah soalan yang betul..