It’s Just A Decision!

Kita membuat keputusan setiap hari dalam hidup kita. Sama ada ia kecil ataupun besar, itu bukan soalnya. Setiap hari kita mempunyai pilihan, lalu kita menentukan pilihan kita berdasarkan keyakinan & pendapat kita. Kita memilih baju apa yang ingin kita pakai ke pejabat, kita memilih sarapan apa yang mahu kita ambil pada waktu pagi.

Kita semua maju ke depan dengan membuat keputusan. Tetapi kita tidak sedar yang pilihan itu kadang-kala tidak membantu untuk mengubah masa depan kita. Keputusan-keputusan kecil itu hanya membuatkan kita statik & berlegar -legar di tempat yang sama.

Saban hari. Malah saban tahun. Kita masih di tempat yang sama. Terperangkap dalam hidup yang melibatkan keputusan yang remeh. Akhirnya kita sedar masa berlalu begitu sahaja. Kita tua dengan rutin pilihan yang kecil-kecil sahaja.

Sedangkan dalam kehidupan seharian kita, kita impikan yang besar-besar. Kita mahukan rumah yang indah, mahu kebebesan kewangan, tak mahu dengar leteran bos, tak mahu tekanan kerja yang membosankan.

Lalu kita tertanya-tanya, apabila melihat kawan-kawan sekelas kita yang dahulu lebih teruk dari kita, sekarang memiliki semuanya yang kita mahukan. Kita bertanya, bagaimana hidupnya berbeza dengan hidup kita sekarang?

Apa beza kita & mereka? 

Semua orang ada pilihan dalam hidup. Sedang kita memilih untuk tidak mencabar diri kita, orang-orang yang berjaya memaksa diri mereka membuat pilihan yang besar-besar. Lalu apa yang nak dihairankan jika mereka memperolehi apa yang kita tidak ada hari ini.

Kita hanya memilih untuk menjadi biasa-biasa. Memilih untuk menjadi seorang yang penakut. Tapi jauh di sudut hati kita, kita mahukan kehidupan yang lebih. Ditambah dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar. Ia betul-betul menguji tahap kesabaran kita. Namun tiada apa yang boleh kita lakukan. Hanya menerima sahaja segala beban kepayahan ke dalam hidup kita. Kita hanya mampu merungut & bertanya, kenapa hidup ini tak seperti yang kita impikan?

Mula memilih untuk cabar diri

Saya tak mahu hidup dengan membiarkan segala impian saya terkubur begitu sahaja. Kerana saya pasti, setiap orang ada impian. Dan bila kita gagal mencapai impian kita, kita tidak ada apa yang mampu dibanggakan dalam hidup kita. Sekurangnya kepuasan kepada diri sendiri. Tidak ada.

Saya membesar dalam keadaan yang serba kekurangan. Namun ia bukan bermakna takdir saya akan mati dalam kemiskinan & serba kekurangan juga. Begitu juga anda yang membaca. Saya pasti anda ada impian anda. Tapi ia hanya tersimpan di lubuk sanubari anda sahaja. Kita malu untuk menceritakan kepada orang ramai tentang impian kita. Kita malu orang akan mempertawakan kita. Lalu kita pendamkan & terus hidup memendam rasa. Ia hanya memberi imej kita sebagai orang yang biasa-biasa.

Saranan saya, cari semula kekuatan anda. Tulis semula impian anda, buat keputusan sekarang. Mula memilih sesuatu yang besar-besar. Bila kita memaksa diri kita, kita akan mengetahui kekuatan diri yang sebenar.

Jika kita inginkan kekayaan & sekarang kita masih makan gaji, buat keputusan cepat. Belajar cara untuk ganda pendapatan. Jika perlu berhenti kerja & memulakan perniagaan & itu caranya, lakukan sahaja.

Take a risk. Hidup ini penuh dengan risiko. Risiko bukanlah sesuatu yang teruk & menakutkan. Orang berjaya semuanya berani mengambil risiko. Bukan bermakna mereka tidak takut dengan risiko, tapi mereka faham yang risiko itu boleh diurus & dikurangkan dengan ilmu. Jadi, mula cari ilmu.

Jika kita ingin kurus & tak selesa dengan keadaan berat badan kita sekarang, buat pilihan sekarang. Duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa tidak akan merubah keadaan. Cari ilmu & bergaul dengan mereka yang sama matlamat dengan kita.

Jika kita mahu menjadi penulis, banyakkan membaca. Mula menulis. Soal jadi atau tidak itu jatuh perkara kedua atau ketiga. Yang penting mulakan. Buat keputusan sekarang.

Kalau gagal macam mana?

Sekurang-kurangnya kita mencuba. Gagal, apa yang salah dengan kegagalan?

Tidak mencuba itu lebih hina dari gagal. Kita membiarkan kita merendahkan diri sendiri dengan tidak mencuba. Kita meragui kemampuan sendiri, kita memperlekehkan kekuatan kita sendiri. Beri peluang untuk kita membuktikan pada diri kita sekurang-kurangnya. Jika gagal, anggap ia sebagai suatu pelajaran dalam hidup. Sama seperti kita melakukan kesilapan yang lain.

Saya sendiri takut gagal. tapi saya tak akan membiarkan ketakutan itu mengawal saya. Saya mahu kawalan penuh atas diri saya. Saya sendiri yang akan menentukan apa yang saya mahukan. Ketakutan atau kegagalan itu hanya sementara. Sama seperti kita belajar berjalan atau berlari semasa kecil dulu. Ia tak mudah, namun kita terus mencuba. Itu sudah sifat semulajadi manusia.

Mengapa takut mencuba?

Mengapa mahu hentikan fitrah kita?

Selama ini kita sendiri merasa puas selepas kita berjaya melakukan sesuatu. Kita belajar untuk mendapatkan keputusan yang terbaik & termampu kita. Tapi bila menganjak dewasa, kita takut unutk mencuba, kita takut untuk membuat keputusan. Pain is temporary.

Kegagalan bukanlah seteruk mana

Gagal bukan bererti berakhirnya kehidupan ini. Malah ramai tokoh dunia belajar dari kegagalan mereka. Lalu apa yang mahu kita takutkan?

Buat keputusan sekarang. Belajar untuk mencuba sesuatu yang baru. Jangan statik & selesa dengan kehidupan sekarang. Cabar diri kita. Melainkan kita tak kisah hidup biasa-biasa. Jadi, sekarang terpulang pada kita, sama ada mahu kejar impain kita atau biarkan ia terpendam dalam fikiran kita. Keputusan hari ini akan menentukan hidup kita hari esok. Jadi, sekarang, apa yang keputusan kita?