Bagaimana untuk bermula?

Membina sebuah rumah bermula dengan menyusun batu bata. Ia asas yang semua orang tahu. Ia memerlukan komitmen yang berterusan untuk menyusun bata-bata sehinggalah membentuk sebuah rumah yang kita idam-idamkan. Dan saya percaya semua orang mempunyai gambaran bagaimana bentuk & keadaan rumah masing-masing.

Ia bergantung pada citarasa individu. Ada yang berimpian rumah yang besar & ada juga yang cukuplah yang kecil tetapi selesa. Tidak ada yang salah dalam memilih. Kita semua ada hak untuk memilih atas kehendak kita.

Saya andaikan tujuan kita hidup dengan analogi pembinaan sebuah rumah. Ada yang berimpian mahu rumah yang diidam-idamkan, lalu ia usahakan sesuatu dengan kadar tertentu & ia berjaya. Dan ada juga yang gagal dalam membinanya. Lebih malang jika percubaan itu gagal sekerat jalan.

Ada juga yang sekadar berimpian, atau lebih tepat, berangan-angan. Tapi tidak ada tindakan untuk memulakannya. Ia gagal meletakkan walau seketul bata pun sebagai langkah pertama membina rumah impian. Lalu ia mencipta seribu alasan atas kegagalannya.

AAEAAQAAAAAAAAjkAAAAJDJmMDVjZWJhLWVhY2ItNDFjZS1hYmJlLTZiNTFhNzVmZjNiZg

Komitmen sebagai langkah pertama  

Menyusun bata yang pertama sebagai asas atau tapak merupakan perkara wajib dalam membina sebuah rumah. Dan untuk melengkapkannya menjadi sebuah rumah, bata demi bata harus disusun perlahan-lahan. Bata demi bata yang kita susun itulah komitmen. Ia perlu berterusan sehinggalah ia sempurna. Jika separuh jalan, ia hanyalah rumah terbengkalai.

Ramai yang mampu meletakkan bata yang pertama, namun tak semua yang mampu meenghabiskan komitmen sehinggalah susunan itu selesai. Tapi ia lebih baik dari tidak memulakan langsung.

Konsisten sebagai pelengkap komitmen

Komitmen yang kita mulakan dalam melakukan sesuatu hanya akan memberi hasil apabila kita melakukannya secara konsisten. Inilah yang menjadi masalah bagi kebanyakkan orang di luar sana. Mereka tahu memulakannya, namun gagal konsisten dalam setiap tugasan. Walaupun mereka tahu yang ia penting, namun jika tiada keinginan & kemahuan yang kuat, semangat akan luntur sedikit demi sedikit. Terutamanya apabila berhadapan dengan masalah.

Kejayaan memerlukan perancangan

Setiap kejayaan memerlukan perancangan. Namun tak bermaksid kita harus merancang sehingga terlalu sempurna. Kerana jikalau kita terlalu menunggu untuk memulakan sesuatu ketika semuanya sempurana, ia bermakna kita tidak akan memulakannya sampai bila-bila.

Paling baik ialah merancang dengan jelas, dapatkan ilmu sebanyak mungkin. Dan lakukan sahaja. Kita akan belajar banyak perkara baru apabila berdepan dengan sesuatu kesulitan. Dan kesulitan itulah guru kita. Ia akan membantu kita untuk masa akan datang.

Paling mudah untuk menyiapkan rumah impian kita ialah melihat contoh yang sudah berjaya. Ia boleh diperolehi dengan semudah bertanya pada mereka yang telahpun berjaya. Lebih baik jika kita tiru sahaja bagaimana cara mereka melakukannya. Kerana dengan cara mereka itulah, rumah mereka mampu terbina. Ia sudah pun dibuktikan oleh mereka. Namun bukan meniru bulat-bulat. Kerana rumah kita belum tentu sama 100 peratus dengan rumah mereka.

Cuma proses itu akan membantu kita dalam menyiapkan rumah mengikut acuan & kehendak kita.

Kenapa tak semua mampu memlikinya?

Ia sukar. Kerana itulah tak semua mampu melakukannya. Namun ia bukanlah sesuatu yang terlalu mustahil. Cuma mungkin kita sahaja yang tidak mengetahui caranya. Jika orang lain boleh membinanya, kenapa tidak kita. Apa yang membezakan antara kita?

Perkara yang harus kita lakukan ialah berusaha & terus berusaha. Cari ilmu sebanyak mungkin. Raih pengalaman semaksima mungkin. Baik dari pengalaman sendiri atau belajar dari pengalaman orang lain.

Jika orang lain gagal, belajar dari kegagalan mereka. Kerana kita juga belajar dari kegagalan, bukan sahaja dari kejayaan. Yang penting, jangan sekalipun mencipta alasan. Alasan hanya untuk mereka yang malas. Selagi mana kita mempunyai kudrat & dikurniakan akal yang waras, gunakan sebaik mungkin.

Mula sekarang!

Now or never. Jika kita mahukan sesuatu, lakukan sekarang. Letakkan komitmen & konsisten dengan apa yang kita lakukan. Sepanjang perjalanan itu sudah pasti akan ada halangan. Jangan jadikan setiap halangan itu alasan untuk kita berhenti mencuba. Ingat, halangan itulah yang mematangkan kita. Yang penting, mula mencuba. Selagi kita tak mula mencuba, tak akan apa yang berlaku.