Raya Tahun Ini..
Hari ini 27 Jun, hari raya ke-3 bagi umat Islam. Setelah sebulan berpuasa di bulan Ramadhan, akhirnya Syawal tiba juga. Masa berlalu terlalu pantas, sehingga tak sedar pejam celik dah berlalu bulan puasa. Ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing. Saya tak kemana-mana, kerana memang tinggal di kampung bersama nenek. Saya satu-satunya cucu yang tinggal bersama nenek. Walaupun selalu berperang mulut dengan nenek, tapi saya sayangkan nenek & saya pasti nenek juga sayangkan saya. Cucu yang baik katakan..Ermm.. Krik.. Krik..
Raya ke-3 saya ambil peluang bercuti berseorangan ke Sungei Lembing. Lebih kurang jarak 60 KM dari rumah saya. Dengan menaiki motosikal. Nak kata jauh tak jauh, nak kata dekat pun tak dekat. Tapi saya selesa pergi menaiki motosikal. Feel dia lain macam..
Saya menginap di Capsule Retreated Time Hotel. Tempat yang sangat menarik. Sebelum ini saya pernah lalu sahaja, dari jauh nampak macam ‘cool je’. Surf internet, urhm memang cool. Hajat hati nak menginap 2 atau 3 malam, tapi disebabkan semua ‘fully booking’, boleh semalam sahaja. Semalam pun okay lah. Just untuk relax & tenangkan fikiran.
Setahun yang saya lalui..
Bila fikir balik, dah lama sebenarnya saya tak keluar bercuti untuk release tension. Hampir setahun, asyik sibuk dengan bisnes. Rupanya dah lebih setahun saya jalankan ‘bisnes online’. Seingat saya bermula Februari 2016. Saya masih ingat yang saya bermula dengan duit ditangan hanya ada RM150. Itu duit hidup mati saya.
Sebelum itu, saya menyara hidup dengan belajar ‘trade saham’ secara full time. Hasil duit yang disumbang oleh seorang hamba Allah. Banyak juga, dalam RM 10K. Dengan bermodalkan duit itu, setahun juga saya ‘survive’. Saya belajar banyak perkara sepanjang hidup sebagai ‘full time trader’. Ada rugi & ada untung. Setiap kali waktu trade, ia seperti satu perjuangan. Kerana ia melibatkan untung rugi dalam masa yang singkat.
Kisah baru
Dijadikan cerita, saya sekeluarga ditakdirkan Allah diuji dengan mainan sihir. Kami sekeluarga ditimpa ujian menghadapi sihir oleh orang yang sangat dekat dengan keluarga kami sendiri. Saya sendiri banyak menghabiskan duit ‘trade’ saya untuk berubat ‘family’. Lama kelamaan ia semakin menjadi-jadi. Habis semua barang yang boleh digadai kami gadai, yang menyedihkan kami putus keluarga kerana mainan sihir ini.
Takdir Tuhan
Akhirnya, ditakdirkan Allah, setelah penat berubat dengan ramai ustaz & bomoh. Habis beribu ringgit, lepas satu ustaz ke satu ustaz, semuanya tak jadi. Malah makin teruk. Kami terjumpa dengan seorang yang pandai dalam bab mengubat sihir. Dan bila berbincang, ‘pakcik’ itu beritahu belanjanya mahal. Akhirnya, saya nekad keluarkan semua duit yang saya ada untuk berubat. Dan tinggallah RM200 untuk saya. Dengan RM200 itu, saya tak ada modal untuk trade & secara rasminya saya tak ada kerja. Penganggur..
Tapi Tuhan itu sangat cantik aturannya. Dengan RM200 itu saya belanja untuk sehari-hari saya sehinggalah tinggal RM150 di tangan. Dan RM150 itulah saya mula modal untuk belajar bisnes online. Mujur ada kawan yang ketika itu memang sedang buat duit dengan bisnes online. Saya pujuk untuk dia ajar saya dari A hinggalah Z.
Nampak mudah, tapi sangat sukar. Ia memerlukan komitmen yang tinggi & menuntut kesabaran. Untuk 4 bulan pertama, saya hanya lepas cukup-cukup makan sahaja. Kadang lebih banyak rugi dari untung. Dan 2 kali ‘update resume’ untuk minta kerja. Dah give up.
Masuk bulan ke-5, saya cuba sekali lagi. Dengan produk baru, saya ‘invest’ untuk beli ‘online course’ dengan baki duit yang ada untuk belajar lagi. Saya rasa kalau saya berhenti & cari kerja, ia kerja gila. Saya pernah bersumpah yang tak akan kerja dengan orang lagi. Kalau saya berhenti ketika itu, bermakna saya melanggar sumpah saya sendiri.
Belajar Kemahiran Baru..
Saya perbaiki skill & knowledge untuk projek baru. Hasilnya sangat memuaskan dari segi teknikal. Tapi dari segi sales sangat menyedihkan. Tak balik modal. Malahan saya rugi besar. Sekali lagi hati berbelah bagi sama ada nak teruskan atau rendahkan ego, cari kerja..
Guru saya merangkap kawan baik saya, yang mengajar saya tentang ‘dunia bisnes online’ tak henti-henti memberi kata semangat. Jangan berhenti. Rugi sebab saya dah belajar banyak benda. Takkan nak buat separuh jalan. Akhirnya, saya buat keputusan apa pun terjadi, saya kena teruskan. Habiskan apa yang saya mulakan. Kejar impian saya.
Cerita Baru..
Dijadikan cerita, saya berjumpa dengan rakan baik saya, satu sekolah menengah & dalam masa sama saya jumpa juga bos lama saya. Saya bercerita yang saya ingin mulakan projek baru. Dan saya perlukan orang untuk support sama. Dari segi moral & modal.
Dengan kawan baik saya, kami kumpulkan dalam 5 orang, yang berbeza latar belakang. Ada peguam muda, ada fotografer, ada pakar dalam komputer, ada manager untuk syarikat besar, ada pegawai bank, & saya sebagai master mind. Kami berniat nak mulakan sebuah perniagaan berkonsepkan waqaf. Saya terlintas untuk memulakan bisnes bersama-sama kerana saya sering gagal bila saya buat seorang diri. Saya berfikir, mungkin ini peluang untuk saya berjaya jika bekerja dengan ramai orang. Yang masing-masing berbakat & ada kepakaran tertentu. Setiap orang boleh menyumbang idea & kepakaran masing-masing untuk menjayakan bisnes waqaf kami.
Dalam masa yang sama, saya juga menceritakan perkara yang sama kepada bekas bos saya. Kebetulan saya memang rapat dengannya. Dan dia memang ada masalah dengan perniagaannya sekarang, & dia sedang mencari orang yang boleh bantu jayakan bisnes terbarunya.
Waqaf Gagal..
Akhirnya, projek waqaf saya gagal. Hanya sempat 2 kali meeting sahaja. Saya lihat terlalu banyak retorik daripada pelaksanaan. Cakap sahaja banyak, kerja tak ada. Tapi ia beri saya terlalu banyak pengajaran. Bukan mudah untuk mengerakkan sesuatu perniagaan jika bukan dengan orang yang betul.
Join Bos Lama..
Saya ambil keputusan untuk join dengan bos lama saya. Dan ia menjadi. Dari Oktober 2016, sehingga sekarang, ia semakin menampakkan hasil. Dari jualan 4 angka sebulan ke 5 angka sebulan. Dalam masa 3 bulan saya berjaya capai jualan 6 angka. Konsisten. Dan paling mengembirakan saya, saya belajar terlalu banyak perkara dengan projek terbaru saya. Saya berjaya langsaikan hutang peribadi saya yang ‘berpuluh ribu’ dalam masa singkat. Saya selesaikan hutang ibu saya. Saya lengkapkan ‘bucket list’ impian saya satu persatu. Saya mula ketagih membaca, saya kerap keluar ke seminar-seminar menuntut ilmu. Dan saya jelas apa yang saya mahukan sekarang.
Perancangan Yang Tergendala Sebelum Ini..
Perancangan saya semakin jelas. Dan setiap satu rancangan saya berjaya setakat ini. Cuma banyak lagi yang perlu saya perbaiki. Sedar tak sedar sudah setahun lebih saya masuk dalam dunia ‘bisnes online’. Masih banyak ruang untuk saya teroka, masih banyak emas didalamnya yang boleh saya gali & raih. Cuma sekarang perlu konsisten & terus konsisten.
Saya mula menulis semula. Setelah lama saya tinggalkan blog saya. Impian saya untuk menerbitkan sebuah buku. Buku tentang kehidupan & catatan pengalaman saya. Dan ia membantu saya untuk kekalkan momentum motivasi saya. Alhamdulillah setakat ini ia berjalan lancar. Di depan masih banyak kesamaran, tapi saya ada keyakinan & keberanian untuk terus melangkah. Dan sekarang, saya berpeluang untuk memanjakan diri, untuk ‘reward’ diri atas segala penat lelah saya. Merenung kembali pilihan-pilihan yang telah saya lalui. Dan saya pasti pilihan saya betul. Semogan impian saya, untuk bukukan segala pengalaman saya berhasil. In Sya Allah.,
Jalan terus..