Kenapa Ramai Orang Mudah Berputus Asa?
Hidup sekarang semakin hari semakin mencabar. Hanya yang kuat semangatnya sahaja akan mampu bersaing. Orang yang lemah akan menjadi mangsa & yang gagah akan bermaharajalela. Itu sudah adatnya dunia. Saya teringat kata-kata guru saya, yang mana dalam hidup zaman ini, ‘orang yang kurang berilmu akan menjadi makanan kepada orang yang lebih berilmu’.
Bukan semua orang mempunyai kemampuan yang sama. Namun saya percaya setiap orang ada kekuatannya sendiri. Dalam masa yang sama, tidak ada manusia yang sempurna. Ini bermakna, jika seseorang itu ada kekuatan dalam sesuatu perkara, dia masih lagi mempunyai kelemahan dalam perkara yang lain. Tiada siapapun yang sempurna. Tuhan menjadikan kita cukup cantik aturannya.
Jika orang lain boleh, kenapa tidak kita?
Seandainya kita melihat orang lain lebih dari kita & kita rasa sakit hati, ini bermaksud kita tergolong dengan orang yang tak bersyukur. Lebih parah jika kita bukan sahaja dengki tapi dalam masa sama kita mendoakan supaya mereka ditimpa kesusahan. Ini sangat merbahaya.
Cemburu itu tak salah. Sudah menjadi lumrah & fitrah manusia mahu yang terbaik dalam hidup. Dan bila mana ada orang lain yang hidupnya lebih dari kita, akan timbul rasa cemburu. Itu normal bagi saya. Cuma jika kita cemburu berlebihan sehingga timbul hasad dengki, ada yang tak kena dengan diri kita.
Jika kita lihat orang lain lebih & kita juga mahukan perkara yang sama, jawapannya mudah sahaja. Buat kerja. Lakukan & usaha dengan cara yang betul. Andai mereka boleh, kenapa tidak kita? Kita & mereka sama sahaja. Manusia juga.
Kita juga ada kelebihan.
Masalah ramai orang, mereka hasad berlebihan. Dalam masa yang sama malas untuk berusaha. Kalau buat pun hangat-hangat tahi ayam. Buat kerja sekerat jalan. Lepas itu merungut yang hidup ini tak adil. Kenapa orang lain lebih & kita kurang. Kita lupa dalam lebih orang lain, mereka tetap ada kekurangannya. Cuma mungkin kita sahaja yang tak nampak.
Contoh, orang yang kelihatan kaya di mata kita, belum tentu mereka bahagia. Boleh jadi mereka ada masalah lain. Masalah kesihatan, masalah keluarga. Siapa tahu. Kadang-kadang hidup mereka lebih teruk dari yang miskin. Begitulah sebaliknya, orang yang kelihatan miskin dimata kita, boleh jadi hidupnya bahagia. Ada keluarga yang harmoni. Walaupun serba kekurangan dari material, namun hidupnya tenang. Hubungannya dengan Tuhan boleh jadi lebih erat. Siapa tahu.
Jadi, kita harus belajar bersyukur, pasti hati kita akan menjadi lebih tenang. Dan jika kita merasakan yang kita berhak menikmati hidup yang lebih seperti orang lain, usahalah sebaik mungkin. Kan senang?
Hidup ini sebenarnya atas pilihan masing-masing. Kita yang menentukan keadaan hidup kita. Orang yang berjaya, itu adalah hasil usaha mereka. Jadi jika kita dengki tak tentu pasal, itu salah kita sebenarnya.
Silap siapa?
Kalaulah kita merasakan yang hidup kita sekarang tidak seperti yang kita mahukan, ia silap siapa? Cuba renung kembali, adakah hidup kita sekarang memang sudah ditakdirkan memang begitu? Atau kita yang memilih untuk kekal dalam situasi sekarang?
Saya teringat ketika saya di Universiti dahulu, ada seorang senior yang memberi ucapan yang sangat menarik. Ketika itu sedang berlansung satu program & diadakan satu slot permainan. Dalam permainan itu disuruh 3 orang memilih 3 kotak yang mempunyai 3 perkataan berbeza di dalamnya. Iaitu emas, kayu & batu. Setelah masing-masing memilih, diminta ceritakan apa lebihnya menjadi emas, batu & kayu.
Si emas
Saya masih ingat pelajar yang memilih kotak berisi perkataan emas. Dia menceritakan emas adalah simbol kekayaan. Dan dia akan menjadi orang yang kaya seandainya benar-benar memiliki emas pada waktu itu. Lalu diceritakan emas amat dihargai oleh semua manusia zaman berzaman.
Si kayu
Pelajar yang menjadi kayu tak tahu apa yang mahu diceritakannya. Baginya kayu hanya kayu. Mungkin boleh buat unggun api & kraf tangan. Jadi baginya kayu adalah benda yang tak ada nilai.
Si batu
Sama juga dengan pelajar yang menjadi batu. Dia juga tidak tahu apa yang mahu dibanggakan menjadi seketul batu. Batu baginya tak ada harga, sekadar di tepi jalan atau di mana-mana sahaja. Tak ada manfaat pada manusia.
Kita adalah apa yang kita pilih
Selepas selesai sesi bercerita, senior itu bertanya pada ketiga-tiga mereka. Jika diberi pilihan, antara emas, kayu & batu mana satu yang mereka pilih & kenapa. Jawapan ketiga-tiga mereka sama. Iaitu ingin menjadi emas. Kerana emas simbol kekayaan & kejayaan bagi mereka bertiga.
Saya pun pada mulanya tiada idea apa sebenarnya yang ingin disampaikan kepada kami. Lalu senior itu pun mula bercerita. Lebih kurang begini.
“Dalam hidup ini kita semua ada keinginan yang hampir sama, tapi tidak semua orang ada kesempatan & peluang mendapat perkara yang sama. Hanya segelintir sahaja dapat memperolehinya. Lalu bila keinginanan itu tak kesampaian, ramai orang berputus asa & mempertikaikan takdir. Mereka menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri atas kegagalan itu. Lebih parah mereka menyalahkan Tuhan kerana berlaku tidak adil kepada mereka”.
Jadilah kayu yang terbaik
Lalu dia mengatakan kalau sekarang kita adalah kayu.
“Kenapa kita perlu memilih untuk jadi kayu di tepi jalan? Yang tak ada harga, sekadar layak menjadi kayu api sahaja.”
“Bukankah kita boleh memilih untuk jadi seperti kayu jati yang mahal harganya?”
“Jika kita ukir dengan ukiran yang cantik lagi menarik & gilap dengan warna yang berkilat, bukankah harganya boleh jadi lebih mahal dari harga sekeping emas?”
“Kenapa perlu merendahkan martabat diri kita hanya kerana kita sebatang kayu?”
“Kita ada pilihan untuk jadi kayu yang terbaik atau sekadar kayu buruk di tepi jalan. Itu semua terletak pada cara bagaimana kita melihat nilai diri kita.”
Jadilah batu yang terbaik
“Sama juga dengan batu. Adakah kerana kita adalah batu, bermakna kita tidak ada harga langsung?”
“Kenapa mahu memilih menjadi batu kerikil yang bertebaran di tepi jalan sedangkan kita boleh memilih menjadi batu permata?”
“Bukankah batu permata jika dipotong dengan potongan yang cantik & dihias pada cincin yang sepadan, harganya melebihi dari sekeping emas & sebatang kayu?”
“Kenapa perlu memilih jadi batu yang biasa-biasa. Jadilah batu yang mahal harganya.”
Berhenti beri alasan & cari kekuatan diri sendiri
Walau apapun keadaan kita, jangan sesekali memandang rendah kekuatan diri sendiri. Mungkin kita belum tahu apa sebenarnya kekuatan yang ada pada diri kita, tetapi bukan bermakna kita tidak berguna buat masa sekarang. Jadi tugas kita sekarang adalah untuk cari identiti kita, kekuatan dalam diri kita yang tersembunyi. Gilap & terus berusaha. Jangan terlalu berasa rendah diri.
Ya, mungkin ada orang yang lebih baik dari kita, tapi mereka juga ada kelemahan. Terpulang pada kita untuk menjadi diri kita yang terbaik atau sekadar mengeluh atas semua kesusahan sekarang.
Jika kita sebatang kayu, jadilah kayu yang terbaik & jika kita seketul batu, jadilah batu yang terbaik. Jangan berhenti & berputus asa…