10 perkara yang kita patut syukuri
Pernah rasa hidup ini tak bermakna? Seharian dalam hidup kita asyik ditimpa malang sahaja. Atau kita rasakan hari ini dari bangun tidur sehinggalah balik kerja, sampai masuk semula ke bilik tidur, tak ada satu pun perkara yang ‘best’ berlaku dalam hidup. Saya percaya yang kita selalu mengalaminya bukan?
Permulaan pagi contohnya, bila kita bangun pagi. Kita kelam kabut untuk bangun ke tempat kerja. Buat yang berkeluarga misalnya isteri, sibuk mengejutkan anak untuk mandi awal, siapkan makanan untuk keluarga, gosokkan baju suami, melayan kerenah seorang demi seorang. Fuh.. sungguh memenatkan. Ditambah selepas selesai semua itu, kita terperangkap pula dalam jalan ‘jammed’, ‘punch card’ jadi merah. Bos pula marah-marah sepanjang hari. Kita rasakan bos asyik cari salah aku sahaja.
Semua orang lalui perkara yang sama
Sebenarnya, bukan kita sahaja yang melalui pengalaman yang tak menyeronokkan itu. Hampir semua orang yang bekerja atau makan gaji melaluinya. Ada yang bertahan dalam situasi itu dengan penuh tekanan. Ada yang buat-buat tak tahu sahaja. Semua itu sudah tentu mempengaruhi hidup kita seharian.
Bayangkan lagi, lepas melalui stres yang berulang-ulang setiap kali di pejabat, kita akan melaluinya sekali lagi di rumah. Hingga kita kadang-kala penat & terfikir bilalah semua ini nak berakhir. Pelbagai soalan yang bermain di minda kita. Yang lebih menakutkan, kadang kita melalui semua itu tanpa sempat memberikan masa untuk kita berehat atau meluangkan masa yang berkualiti untuk berfikir sejenak.
‘Betul ke apa yang aku buat ini?’
‘Ini ke hidup yang aku nak selama ini?’
Ia menjadi rutin yang semakin membosankan. Kita nak keluar dari semua ini, tapi seperti tak ada ruang lagi untuk lari. Walaupun sejenak.
Bagaimana nak tenangkan jiwa yang serabut?
Sebenarnya kita ada masa yang berkualiti jika bijak mengunakannya. 24 jam yang kita ada sama sahaja dengan 24 jam orang lain. Tapi kenapa hidup orang lain lebih tenang. Rilek, cool & seolah-olah macam tak ada masalah sahaja.
Betulkah mereka tak ada masalah?
Semua orang ada masalah, Cuma membezakannya ialah bagaimana cara kita melihat atau mengurus situasi. Jika kita yang mengawal situasi maka semuanya akan ‘under control’. Tapi sebaliknya jika kita membiarkan keadaan yang mengawal kita, kita boleh lihat seharian hidup kita tak tenang & penuh dengan tekanan.
Fikir 10 perkara yang kita syukuri.
Setiap malam sebelum tidur, fikirkan 10 perkara yang telah berlaku pada kita & perkara itu memberi perasaan positif. Walaupun sekecil-kecil perkara. Lagi besar perkara itu, semakin bagus.
Apa yang kita ada
- Dapat solat subuh berjemaah dengan keluarga.
- Makan tengah hari tadi kawan belanja.
- Kawan puji baju kita lawa hari ini.
- Anak makan berselera dengan masakan kita.
- Punch card on time waktu pergi kerja.
- Anak balik cerita peperiksaan dapat keputusan cemerlang.
- Suami puji masakan sedap.
- Mak di kampung call Tanya khabar.
- Jiran sebelah rumah kongsi makanan.
- Ada kemalangan masa pergi kerja, kereta depan kita yang kena. Bukan kita.
Beri masa seminit dua untuk ‘feel’ atau rasai perasaan itu. Dan bandingkan sekejap semua itu berlaku dalam hidup kita hari ini. Kita akan merasakan kita sebenarnya bertuah. Dengan 10 nikmat yang Tuhan bagi pada hari ini, ada orang yang tak dapat nikmat itu walaupun mereka minta. Saya beri contoh.
Apa yang orang lain ada
- Ada orang tak solat, malah tak tahu pun cara solat.
- Ada orang berlapar, tak ada duit nak makan tengah hari.
- Ada orang baju pun tak ada. Baju itulah sepanjang tahun.
- Ada orang khawin dah lama. Tapi tak dapat pun anak.
- Ada orang tak ada kerja walaupun puas temuduga.
- Anak orang lain gagal dalam peperiksaan.
- Ada orang tak khawin-khawin lagi.
- Ada orang anak yatim piatu, mak tak ada.
- Ada orang tak ada jiran, rumah pun tak ada. Merempat.
- Orang depan kita yang kemalangan. Bukannya kita.
Cuba fikirkan sejenak setiap malam sebelum kita masuk tidur, apa yang ‘negative’ berlaku pada hari ini sebenarnya tak ada apa-apa pun. Bila kita fokus tentang nikmat yang Tuhan bagi pada kita walaupun sekecil-kecil perkara, kita secara automatik akan rasa tenang. Semua yang menyebabkan kita serabut akan hilang begitu sahaja.
Apa nak buat selepas bangun pagi?
Ok, selepas bangun pagi atau lepas solat subuh. Ambil masa sejenak, fikir apa yang telah Tuhan beri pada kita, yang orang lain tak dapat. Perasaan tenang semalam akan datang secara automatik. Dan kita akan rasa bersemangat untuk buat kerja hari ini. Bayangkan jika awal pagi kita sudah bersedia dengan minda positif. Kita boleh lihat sepanjang hari itu, kita akan menjadi lebih tenang & bersemangat. Kalau tak percaya, cubalah..