Apa makna sebenar hidup kita?

Sepanjang hidup ini, saya sering tertanya-tanya. Sebenarnya apa saya cari selama ini. Saya seorang yang mudah bosan dengan kehidupan yang rutin. Melakukan perkara yang sama setiap hari membunuh semangat saya. Daya juang saya. Jadi tidak pelik jika saya kerap bertukar tempat kerja. Hanya 3 bulan pertama perasaan teruja untuk bangun awal ke tempat kerja, masuk bulan keempat perasaan malas mula timbul.

Dari hari ke hari, saya sering tertanya-tanya apa sebenarnya tujuan hidup saya. Adakah sekadar pergi kerja balik kerja atau bagaimana. Saya tidak pasti apa matlamat saya sebenarnya, tapi yang pasti bukan menjadi robot yang hanya menunggu imbuhan gaji semata-mata. Saya mahukan kehidupan yang lebih bermakna. Menyumbang pada masyarakat, agama atau negara. Atau paling kurangpun, kepada keluarga mahupun diri sendiri.

Lama mencari, saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang ada dalam fikiran mereka yang berjaya dalam hidup. Terutamanya mereka yang hidup mengabadikan diri untuk menyumbang kepada masyarakat, sehingga kadang-kala saya pelik. Pengorbanan mereka untuk membantu orang lain melebihi berbanding apa yang layak untuk mereka sendiri. Kudrat & buah fikir, harta material yang diinfakkan ke jalan Tuhan, apa yang mendorong mereka untuk mengambil sedikit sahaja hasil usaha mereka, sebaliknya selebihnya ditaburkan kepada mereka yang memerlukan.

Secara teori, mudah untuk kita cakap. Tapi dari praktikalnya, dari mana kekuatan spiritual yang mereka ada sehingga mampu menahan nafsu dari memiliki harta bertimbun untuk kantung kocek sendiri. Sedangkan kekayaan yang mereka kaut hasil jerih payahmereka sendiri, mereka salurkan untuk orang lain & hanya sedikit untuk mereka sendiri.

happines

Pegangan hidup Abang Raja.

Sehinggalah suatu hari, ditakdirkan saya mendengar sendiri pesanan dari seorang insan luar biasa. Raja Shamri. Saya mengikuti sedikit sebanyak kerja-kerja sukarelawan yang Raja Shamri lakukan. Bagaimana beliau menggerakkan satu batalion skuad tenaga kerja “3rd Forced” yang terdiri dari pelbagai lapis profession untuk turun membantu mereka yang memerlukan. Yang lebih mengagumkan saya adalah Raja Shamri seorang yang cacat. Kakinya kudung & ada masalah dengan jari tanggannya yang bercantum. Cuba bayangkan ketika seorang yang kekurangan dari fizikal anggota badan, boleh memberi khidmat tenaga untuk membantu mreka yang lengkap anggota. Sempurna & sihat tubuh badan.

Saya tertanya-tanya apa sebenarnya yang ada dalam fikiran Abang Raja untuk mampu mendidik peribadi sehingga sedemikian rupa. Setelah mendengar sendiri ucapan Abang Raja, akhirnya saya faham apa yang ada pegangan serta prinsip tentang nikmat kehidupan yang menjadi tunjang peribadi beliau.

Apa yang dia mahukan dalam hidupnya?

Sehingga sentiasa rasa bersyukur atas segala yang terjadi padanya. Malah sanggup bersusah payah pula membantu insan lain. Saya rumus 3 perkara yang saya dapat dari Abang Raja.

1. Makan

Perkara pertama yang dikongsi Abang Raja, menyentuh soal makan. Dalam hidup, sekaya mana kita, perut kita hampir sama sahaja. Sebanyak mana sangat yang mampu kita sumbat, cuma dalam hidup kita kalau boleh makan apa sahaja yang kita mahu. Tak ada halangan dari segi kesihatan. Itu nikmat yang tak ternilai.

Lihat berapa ramai orang yang kaya, hartanya bertimbun-timbun, tapi jika ada penyakit bila Tuhan tarik nikmat makannya, ia hanya mampu melihat orang menjamah. Lebih baik miskin tapi bila perut lapar, kita bebas menjamu apa sahaja yang kita mahu. Tapi alangkah ruginya jika miskin, miskinnya bertambah malang dengan sakit yang berpakej dengan pantang tak boleh makan itu, tak boleh makan ini.

2. Tidur

Tuhan menciptakan malam untuk kita berehat setelah siang kita berhempas pulas mencari rezeki. Siapa kita sekalipun, tak ada guna jika nikmat tidur itu hilang dari kita. Biar miskin melarat sekalipun, jika tidur kita mahu tidur yang berkualiti. Apatah lagi kaya raya, jika tidur, alangkah beruntung jika tidurnya tidur lena. Apa guna harta berbukit, jika malam gelisah sentiasa, Malang lagi jika miskin, tidurnya dalam kebimbangan & kerunsingan.

3. Ibadah

Kita sebagai muslim, perkara yang terpenting dalam hidup adalah untuk beribadat kepada Tuhan yang Maha Esa. Apa lagi yang mahu kita pinta pada Tuhan, selain redha untuk kehidupan yang kita lalui. Hari-hari yang mendatang, biarlah digunakan sebagai jambatan ke syurga & bukannya asbab untuk kita dihumban ke neraka.

Mahu apa lagi, selain ibadah yang tenang, jiwa yang tenang. Hidup barulah bermakna. Jangan kerana kejarkan dunia ketenangan itu hilang dalam diri kita.

Insaf

Saya sedar yang hidup ini hanya pinjaman. Ia satu pembaziran jika saya semata-mata menjalaninya tanpa ada arah tuju. Azam saya, dalam saya mengejar semua benda yang saya mahukan, ‘at least’ impian saya boleh memberi impak atau inspirasi buat masyarakat.

Dalam masyarakat yang semakin hari semakin parah, semakin berpenyakit terutama anak-anak muda. Saya percaya Malaysia memerlukan lebih banyak Raja Shamri, supaya negara yang terbina sekian lama ini akan lebih harmoni. Dan doa saya, semoga saya dapat mengikut jejak Abang Raja. Sedaya mungkin. Walau dengan cara yang berbeza.