What If?
Semua orang ada ketakutan masing-masing. Terutamanya apabila melibatkan satu-satu keputusan yang penting dalam hidup. Dan ketakutan itulah yang menyebabkan ramai antara kita gagal mencapai apa yang kita hajati dalam kehidupan kita. Namun kita lupa yang ketakutan itu jugalah yang mendorong kita untuk terus hidup. Kita takut lapar, lalu kita bekerja & cari nafkah. Dengan nafkah itulah kita beli makanan untuk alas perut. Kita takut tak dapat kerja, sebab itulah kita belajar bersungguh-sungguh semasa di kolej atau di mana-mana.
Ketakutan bukan sesuatu yang mengerikan jika kita dapat mengawal emosi kita. Kita harus belajar mengawal ketakutan itu & jangan sesekali membiarkan ketakutan itu menghantui kita. Orang-orang yang berjaya juga ada perasaan takut setiap kali membuat keputusan. Mereka bukan sentiasa berani. Setiap keputusan ada risikonya. Tapi beza antara mereka & kita ialah bagaimana mereka bertenang & menghadapainya dengan sebaik mungkin. Dengan ilmu, pengalaman & tawakal pada Tuhan, semua ketakutan itu dapat diatasi.
Kalau gagal macam mana?
Saya juga takut gagal. Tapi dalam masa yang sama saya sukakan cabaran. Dan setiap cabaran itu ada ada sekali pakejnya, iaitu kegagalan. Saya gagal banyak kali. Saya kehilangan puluhan ribu pada umur seawal 23 tahun & membuatkan kawan-kawan saya rugi ratusan ribu atas nasihat saya. Saya gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atas faktor kewangan, saya gagal mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihan saya. Dua kali.
Saya gagal dalam setiap apa yang saya lakukan sebelum ini. Perniagaan demi perniagaan. Gagal dalam pelaburan saham & emas. Namun semua itu mematangkan saya. Katakan jika saya berfikir terlalu lama untuk mencuba semua yang pernah saya buat, saya rasa saya tak akan meraih pengalaman seperti sekarang. Saya takut tapi dalam masa yang sama menikmati setiap perkara yang saya takuti.
Setiap perkara yang kita lalui atau pilih dalam hidup hanya ada dua kebarangkalian sahaja. Sama ada kita gagal ataupun kita berjaya. Itu sahaja. Dalam hidup bagi saya, tidak ada istilah seri. Katakan kalau kita takut untuk memulakan sesuatu & dalam masa sama ada orang berjaya melakukan apa yang kita mahu lakukan? Bukankah ia sangat merugikan? Peluang sama sahaja antara kita & orang lain. tapi kerana kita terlalu lama berfikir & mahu bermain selamat, impian kita langsung tak berhasil.
Kalau menang?
Kenapa perlu memikirkan kekalahan sedangkan peluang untuk berjaya juga ada. Potensi kita untuk menang terbuka luas. Peluang itulah yang direbut semaksima mungkin oleh orang lain & mereka dapat apa yang kita hajati. Sedang kita terkulat-kulat, hanya mampu melihat sahaja kejayaan orang lain. Kita tak akan tahu sejauh mana kekuatan kita selagi kita tak berani mencuba.
Risiko ada dalam setiap perkara. Sama ada kita sedar atau tidak. Setiap hari kita keluar ke tempat kerja, kita terdedah dengan risiko kemalangan. Betul kan? Tapi kita masih keluar setiap hari kerana sudah biasa. Begitu juga dengan perkara yang lain. Ada risikonya, tapi jika kita lengkapkan diri dengan ilmu & kena gayanya, ia akan menjadi sesuatu yang ‘natural’. Ia akan menjadi lancar. Malah menjanjikan imbuhan yang di luar apa yang kita bayangkan.
Soal kalah atau menang itu kerja siapa?
Tugas kita sebagai manusia hanyalah berusaha sebaik mungkin. Belajar & terus belajar. Ambil pengajaran & raih sebanyak mungkin pengalaman. Ia sangat membantu kita menghadapi hari-hari yang mendatang. Jangan sekadar berangan-angan. Mahu itu & ini. Tapi penakut.
Soal kita berjaya atau tidak untuk setiap perkara yang kita laksanakan itu urusan Tuhan. Bukan kerja kita. Dan saya yakin yang Tuhan itu tak pernah zalim. Ia berpegang pada janji. Bukan seperti manusia. Jika kita berusaha dengan tekun & cukup ilmu. In Sya Allah kejayaan milik kita. Jikalau gagal sekalipun, so what?
Hidup ini soal pilihan. Dan pilihan itu hanya kita sahaja yang menentukannya. Sama ada kita memilih untuk memajukan diri & mengejar setiap impian atau sekadar menjadi tunggul yang tak ada manfaat untuk orang lain. Sekarang tugas kita, buat pilihan Sekarang!