Mereka Lebih Sempurna 

Melihat pada susuk fizikal mereka, siapa sangka yang mereka sudah mencapai kejayaan yang mana bukan semua orang mampu. Walaupun yang bertubuh sempurna. Mereka insan hebat yang punya semangat kuat & cukup tabah. Membaca tulisan mereka, cerita & pengalaman mereka. Membuatkan saya malu pada diri sendiri. Saya yang sihat tubuh badan, ada akal yang waras , tapi begitu mudah mengalah. Cepat berputus asa. Dan bila saya ditimpa ujian, sering kali saya mengeluh. Menyalahkan suasana sekeliling yang tak pernah nak berpihak pada saya.

Dan saya yakin, kita sama. Selalu ditimpa ujian demi ujian. Tapi tak ramai yang menjadikan ujian itu sebagai batu loncatan untuk terus berjaya. Sedang mereka yang serba kekurangan dari mata kasar kita, lebih kuat & tabah menghadapi hidup. Kita dengan mereka sama, berdepan dengan layanan dunia yang sama. Dunia yang tak mengira taraf hidup atau keadaan fizikal individu. Dunia yang akan menerkam mereka yang lemah semangat & menjulang siapa yang gagah perkasa. Yang kuat akan menang & yang lemah akan ditindas. Itu sudah hukumnya alam.

Cubaan yang mereka lalui lebih dari kita. Jangan ditanya bagaimana mereka menguruskan perniagaan & berjaya di lapangan masing-masing. Lihat sahaja fizikal mereka, fikir dulu bagaimana mereka mengurus kehidupan seharian mereka. Dalam serba kekurangan.

Kenapa mereka boleh?

Kadang saya terfikir, kenapa kita yang cukup serba serbi ini tidak berjaya seperti mereka. Apa yang yang ada pada kita sepatutnya meletakkan kita di tahap yang lebih tinggi dari insan-insan seperti Sukur, Khairul Nizam & Nick Vujicic. Sampai sekarang saya masih belum punya jawapan yang sebetulnya. Kenapa kita tak berjaya. Kita takut mengejar impian kita sendiri. Secara peribadi, impian saya untuk menerbitkan sebuah buku tentang pengalaman saya. Tapi sering bermalas-malasan. Suka bertangguh. Bila datang ujian sikit, mula berputus asa.

Tapi Sukur, Khairul Nizam & Nick, mereka semua sudah mampu menghasilkan karya mereka. Kenapa mereka boleh? Dan saya masih terkial-kial. Bagaimana pula orang lain di luar sana. Yang mengeluh tentang kos sara hidup yang semakin menekan. Itu tak betul ,ini tak betul. Tapi yang mereka pandai merungut sahaja. Sedang Sukur, Nizam & Nick terus maju & ghairah mengejar kejayaan demi kejayaan.

Kita patut malu pada diri kita

Saya syor orang di luar sana. Baca buku tulisan mereka. Belajar sesuatu. Cuba selami & letak kita di tempat mereka. Dan jika mereka boleh, kenapa kita tak boleh. Berhenti beri alasan & mula cari jalan. Guna segala yang Tuhan beri pada kita. Yang pasti, jika kita berusaha dengan betul & kena caranya, tidak ada apa yang mustahil.

Saya belajar banyak dari cerita mereka. Dan insaf dengan kekuatan yang ada pada saya tapi tak dipergunakan dengan semaksimum ynag mungkin. Sama juga dengan orang lain yang membaca tulisan ini. Kita ada kekuatan tersendiri, tapi gagal menggunakannya. Lalu kita terperangkap dalam zon yang sesak & serba tak cukup. Sedang zon itu kita yang cipta sendiri.

Pesan saya pada diri sendri & yang membaca, kita patut malu dengan diri sendiri, jika takut mengejar impian. Sedang Sukur, Nizam & Nick yang ada kekurangan boleh berjaya & kejar impian mereka, kita masih merangkak bertanya yang kita ini boleh atau tidak. Kita meragui keupayaan sendiri. Belajarlah dari mereka.Kerana mereka lebih smepurna dari kita yang sedia ada sempurna.

Insan hebat. Sukur, Nizam & Nick.