Kita diajar dengan…

Setiap hari hidup kita melakukan perkara yang sama berulang kali. Rutin yang sama. Tanpa kita sedar rutin itu membunuh semangat kita untuk mengejar impian kita. Setiap kali kita mengeluh kenapa hidup ini tak sama dengan apa yang kita impikan. Atau apa yang kita rancangkan.

Kita diajar di sekolah rajin-rajin belajar supaya senang masuk ke Universiti. Dan bila kita di Universiti atau Kolej, kita disuruh belajar lagi dengan tekun, dengan harapan bila keluar nanti akan mendapat peluang yang cerah dalam dunia pekerjaan. Kita teruja bila keluarga sama-sama meraikan majlis konvokesyen kita. Tanpa kita sedar, di bahu kita ada bebanan hutang belajar yang puluhan ribu. Malah ada yang mencecah ratusan ribu.

Enam bulan berlalu, kita masih tak dapat kerja. Menganggur. Peluang kerja terlalu terhad. Graduan pula terlalu banyak. Akhirnya, nak tak nak kita terpaksa kerja apa sahaja, untuk kelangsungan hidup. Lari terus dari cita-cita & aliran yang kita ambil di Universiti. Lebih malang, ada yang terpaksa menggunakan sijil SPM atau Diploma semata-mata untuk dapat sesuatu kerja, sedangkan kita ada Ijazah.

Welcome to real world..

Lalu kita terperangkap dalam dunia yang serba tak kena. Hutang belajar entah bila nak habis. Keadaan ekonomi semakin mengasak. Mana nak beli rumah atau bina keluarga. Semua itu jauh panggang dari api.

Akhir sekali, kita sedar yang dunia ini tak seindah mana. Kita salahkan semua orang, kerana menyebabkan kita terperangkap dalam kehidupan ini. Sedangkan kita lupa yang orang lain sama sahaja dengan kita. Lalui perkara yang sama. Tapi jarang kita salahkan diri kita.

Bangun & buat keputusan.

Semua orang ada impian. Dan semua orang sedar yang dunia hari ini memang begini, kejam & tak pernah adil. Jika kita tak ubah diri kita, kita akan terperangkap selama-lamanya. Jadi sekarang, kita kena sedar yang kita kena ubah cara kita. Rutin kita. Untuk ubah dunia sekeliling kita, kita harus belajar & terima hakikat, kita kena ubah diri sendiri dahulu.

Jika kita merasakan yang kita berhak dapat apa yang kita impikan berdasarkan kelayakan kita. Buktikan. Dan bagi saya, bekerja dengan orang semata-mata bukan lapangannya. Ia tak akan membantu kita & memberi ruang pada kita untuk membuktikan yang kita layak mendapat apa yang kita impikan.

Namun bukan bermakna kita kena terus berhenti kerja. Atau kerja makan gaji itu salah. Bagi pendapat peribadi saya, & saya yakin kebanyakkan orang begitu. Ia bukan lapangan yang betul. Kena faham betul-betul.

Namun jika sekarang kita masih bekerja dengan majikan kita, kita harus cari ruang untuk belajar sesuatu dari bos kita. Dalam masa sama, luang masa sejam atau ambil masa seketika. Mungkin sebelum tidur, untuk rancang masa depan kita. Banyakkan membaca. Belajar dari seminar & buku. Cari peluang & cipta peluang. Jangan sekadar menunggu. Ia buang masa.

Apapun situasi kita, jangan cepat selesa

Bekerja dengan orang bagus. Ia membantu kita merasai perasaan macam mana rasanya ‘berkuli’. Bila kita memahami bagaimana perasaan menjadi pekerja, kita dapat belajar untuk menjadi majikan yang bagus. Namun jangan bekerja terlalu lama. Jangan bila dapat kerja, mula selesa & jadi macam kebanyakkan orang lain. Rasa selesa & malas keluar dari zon itu. Akhirnya, bila masa berlalu. Kita akan menyesal. Kita menyesal bila keadaan ekonomi semakin meruncing, harga barang semua naik, belanja anak isteri lagi, hutang rumah & kereta lagi. Ketika itu baru kita sedar, yang kita terperangkap sebenarnya.

Sebab itu jangan mudah berasa selesa. Cabar diri & cuba push kemampuan kita. Jangan ulangi kesilapan yang orang lain lakukan. Itu pun jika kita bercita-cita besar. Tapi kalau kita sekadar merasa okay hidup dalam biasa-biasa. Nasihat saya ini tak ada nilainya. Saya bercakap atas dasar pengalaman saya & pengalaman orang di sekeliling saya.

Katakan seandainya kita mampu?

Saya sedar saya insan yang banyak melakukan kesilapan & setakat mana sangat saya mampu melakukan ibadah. Tapi jika saya mampu dari segi kewangan, berapa banyak insan yang boleh saya bantu & beroleh manfaat saham pahala jika saya berkemampuan dari segi kewangan. Berapa banyak institusi agama macam pusat tahfiz yang boleh kita hulurkan bantuan. Bina masjid atau madrasah.

Bayangkan semua pelabuaran kita itu akan jadi satu mesin pahala yang berterusan selagi mana memberi mafaat pada masyarakat. Berapa banyak anak-anak yatim, orang-orang susah yang boleh saya bantu. Tak perlu tengok jauh, lihat keluarga sendiri. Ibu bapa kita sendiri. Dengan kekuatan kewangan kita boleh hantar kedua ibu bapa kita menunaikan haji atau umrah. Simple bukan?

Bukan sekadar material

Jangan hanya memandang dai sudut material sahaja. Duit mampu bantu kita kaya di akhirat kelak. Saya percaya semua orang ada impian sedemikian. Tapi untuk merealisasikannya, bukan semua orang mahu atau mampu. Jadi kesimpulannya, jangan sesekali selesa & biar sahaja impian kita sia-sia. Mula fikir apa yang boleh kita sumbang kepada dunia. Jangan hanya pentingkan diri sendiri. Untuk kita dapat semua itu, kena mula dengan diri kita dahulu. Cari kekuatan kita. Dan ia bermula dengan keputusan kita sekarang. Ya, Sekarang!!

Do it now..