Malang tak berbau, bahu saya lari.
Sudah seminggu bahu saya sakit, jatuh masa main bola. Sakit yang teramat sangat. Habis sahaja perlawanan, terus pergi cari tukang urut. Betulkan balik apa yang patut. Last sekali dapat tahu bahu lari & urat bengkak. Masa urut sakit itu tak tahu nak kata, rasa macam nak beri penampar pula pada pakcik tukang urut sebab sakit sangat dia tekan.
Selesai urut, saya balik dalam keadaaan kurang sempurna. Semacam orang cacat. Malam pertama memang tak boleh tidur & terpaksa makan ubat tahan sakit. Cuma alhamdulillah, tak adalah melarat dari hari ke hari. Sakit masih terasa tetapi beransur pulih. Dalam keadaan sakit, segala perkara jadi sukar. Nak solat, nak buang air besar, nak mandi, nak pakai baju pun payah.
Bekerja dalam sakit
Walaupun sakit tapi saya masih lagi boleh bekerja. Meneruskan hidup seperti biasa. Tapi saya terfikir bagaimana mereka yang ditimpa perkara yang lebih malang. Ditambah dalam keadaan serba kekurangan. Saya kadang kala sombong serta alpa & tertanya-tanya kenapa ada orang yang malas nak berusaha & mengharapkan kudrat serta bantuan untuk kelangsungan hidup. Walaupun bukan pada semua orang, tapi ada ketika saya mencemuh juga orang yang malas.
Namun bila saya sendiri ditimpa sakit, baru saya faham. Sakit sangat. Kadang kala, hidup ini di luar jangkaan kita. Kita mungkin mahu berubah atau kejar apa yang kita impikan, tapi Tuhan beri ujian yang tak disangka-sangka. Saya tak suka orang beri alasan setiap kali ditimpa ujian. Bagi saya pasti ada jalan, jika orang lain boleh kenapa kita tidak.
Ujian & pengajaran dari Tuhan
Tapi kecederaan saya kali ini seakan menampar-nampar saya. Saya sedar. Kerana saya sendiri cuba lakukan rutin harian saya seperti biasa. Tapi betul-betul tak berdaya. Cacat sekejap anggota badan. Saya akui ia memang sukar untuk kita menjalani kehidupan dalam keadaan serba kekurangan terutamanya dari segi fizikal.
Saya sendiri baru sahaja habis baca buku tentang kisah usahawan OKU. Bagaimana mereka membina karier & kejayaan mereka. Buku tentang saudara Sukur. Dan sebelum ini buku oleh saudara Nizam, & Nick Vujicic. Saya ada kongsikan tenatang mereka dalam tulisan sebelum ini. Tapi betul kata orang, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Saya terinspirasi & rasa macam belajar sesuatu dari cerita serta pengalaman mereka. Tapi bila saya sendiri sakit & tak ada keupayaan untuk gerakkan tangan saya sendiri, baru saya faham yang hidup mereka jauh lebih mencabar. Dan mereka memang insan yang sangat kuat. Punya semangat yang solid. Kalau saya di tempat mereka pun, belum tentu saya boleh.
Semua orang tak sama
Sekarang saya lebih banyak berfikir tentang kemampuan manusia. Masing-masing ada kemahuan tetapi bukan semua orang ada peluang. Saya tak cakap tentang orang yang malas. Yang malas itu tetap malas. Dan orang seperti ini ramai dalam masyarakat kita. Saya bercakap pada orang yang mahu berubah, mahu bertindak. Tapi ada kekangan yang Tuhan atur. Mungkin ada hikmah, tapi saya sekarang berfikir lebih tenang. Melihat bukan dari lahir sahaja. Saya cuba letak diri saya di tempat mereka.
Bukan semua orang kuat semangat. Ada kekurangan & kelemahan tersendiri. Mungkin kekurangan dari segi pengalaman, pendidikan malah kewangan. Dan mungkin pendedahan. Walaupun ia semua bukanlah halangan, kerana ramai sahaja yang dulunya susah tapi mampu mengatsinya. Cuma bukan semua. Saya sendiri mengalaminya. Tapi saya sepatutnya bersyukur saya smepurna fizikalnya. Bagaimana orang yang Tuhan uji dengan penyakit yang menyukarkan untuk bergerak?
Real life
Hidup ini kejam. Dia tak mengira siapa status atau keadaan kita. Kita sempurna ataupun tidak, kita bersedia ataupun tidak. Saat ini saya belajar sesuatu yang sangat berharga. Tentang kemampuan manusia yang berbeza-beza. Saya insaf yang ujian Tuhan itu berbeza. Dan betul kita diuji dengan sekadar mana ketahanan kita, tapi seandainya kita berjaya, jangan sesekali merendahkan orang lain yang belum berjaya. Boleh jadi ada banyak faktor yang kita terlepas pandang. Hari ini, saya belajar dari sakit yang Tuhan beri pada saya. Jadi cacat sekejap. Dan ia membuka minda saya. Terima kasih Tuhan..