Menumpang pengalaman orang lain

Saya sering membaca travelog insan-insan hebat. Dalam pelbagai genre. Ada yang menceritakan pengalaman mereka mengembara ke negara orang. Ada yang menceritakan pengalaman hijrah mereka ke arah lebih baik & macam-macam lagi. Tak dinafikan pada setiap buku yang saya baca, terasa seolah-olah saya berada di tempat yang sama. Mengembara dalam ‘adventure penulis’.

Travelog Tarbiah tulisan Dr. Zaharuddin Abdul Rahman sangat menarik untuk dibaca. Ia ditulis dalam suasana atau ‘feel’ santai. Menceritakan perjalanan Dr. Zaharuddin  ketika menuntut ilmu, pengalamannya ke luar negara, mengalas tugas & pelbagai lagi.

Apa yang aku mahu?

Di awal buku sahaja, ia membuka mata saya. Disedarkan oleh tulisan yang ringkas tapi begitu berat mesejnya. Membuatkan saya berhenti sebentar membaca & mula bertanya pada diri saya sendiri.

Apa sebenarnya yang saya mahu dalam hidup ini & apa yang saya mahu kongsikan dalam setiap penulisan saya?

Adakah ia sekadar coretan kosong?

Seandainya saya pergi, adakah setiap tulisan saya ini akan menjadi sumber pahala atau dosa buat saya nanti?

Hati-hati dengan apa kita lakukan sekarang

Saya sendiri kadang terlupa & tersasar dalam banyak perkara, terutamanya tujuan saya hidup. Adakah sekadar untuk berjaya seorang diri atau berkongsi dengan masyarakat. Saya mempunyai impian yang jelas ingin menjadi seorang penulis buku. Mampu menghasilkan naskah fizikal. Supaya setiap pendapat & peristiwa yang saya alami, saya kongsi bersama orang ramai. Dan saya pilih dengan menulis.

Ia sekadar mengejar impian saya. Tak lebih sekadar cita-cita peribadi sahaja. Tapi saya tak pernah terlintas yang ianya sebagai saham akhirat saya.

Membaca Travelog dari Dr. Zaharuddin membuatkan saya lebih berhati-hati dalam menyampaikan idea & pendapat saya. Andai kata dengan tulisan ini menjadi fitnah, apa persediaan yang saya ada untuk menjawabnya di hadapan Tuhan di Masyhar nanti.

Kini, saya sedar yang menulis bukan sekadar menaip & menyusun kata-kata. Ia sepatutnya menjadi medan dakwah yang harus digunakkan oleh setiap orang muslim.

Hasrat hati

Semoga segala perkongsian saya memberi manfaat pada orang yang membaca. Dan bukannya menjadi benih dosa buat orang yang membaca. Moga Tuhan terus memberi saya kekuatan untuk terus istiqamah berkongsi dengan ramai orang.

Dan semoga Tuhan mengampuni atas kesilapan & kesalahan saya sepanjang menyampaikan hasrat hati & luahan pendapat. Doa saya suatu hari nanti, semoga cita-cita saya untuk bergelar penulis buku tercapai. Dan biarlah buku saya menambah nilai & memberi manfaat buat pembaca. Bukan sesuatu yang melalaikan.

Travelog Tarbiah menceritakan perjalanan Dr. Zaharuddin dalam menyampaikan dakwah. Ada suka & duka yang penuh iktibar. Sarat dengan pengajaran. Membacanya menyedarkan saya yang tugas kita sebagai hamba Tuhan ini masih banyak. Jangan cepat merasa selesa tanpa menyumbang apa-apa kepada agama, bangsa & negara.

Semoga dengan penulisan saya yang tak seberapa ini, ia menjadi saham akhirat saya bila saya tiada nanti. Amin.