Melihat Dari Sudut Baru
Pengalaman saya yang setahun jagung membuatkan saya akui yang saya masih dalam proses mencari kematangan. Saya kekurangan dalam banyak aspek, terutamanya dalam menilai manusia. Sepanjang 2 tahun kebelakangan ini, saya berjumpa dengan ramai orang yang hebat-hebat. Di seminar-seminar, kelas-kelas perniagaan. Kami berkongsi pengalaman & ilmu bagaimana untuk tambah pendapatan. Kebanyakkannya mereka yang positif. Saya seronok & teruja, setiap kali mendengar cerita dari kawan-kawan baru.
Tapi ada 1 perkara yang saya perhatikan sepanjang 2 tahun ini, saya terlalu melihat dari sudut kejayaan seseorang itu. Bagi saya, seseorang itu berjaya jika dia berusaha keras. No pain no gain. Dan ia menyempitkan sudut pandang saya terhadap mereka yang belum berjaya. Atau mereka yang miskin, atau mereka yang memilih untuk kekal dalam keadaan sekarang. Biasa-biasa.
Satu hari, saya belajar sesuatu yang sangat berharga. Nasihat dari orang yang lebih tua, tentang kenapa setiap orang berbeza?
Kenapa?
Hidup ini satu pilihan, setiap orang ada pilihan masing-masing. Dan kita bertanggungjawab atas semua keputusan kita. Saya dapat apa yang saya ada hari ini kerana keputusan yang saya buat bertahun dulu. Begitu juga dengan anda. Bagi saya sebelum ini cukup simple, jika kita gagal hari ini adalah kerana kita membuat keputusan memilih yang salah. Atau takut untuk membuat keputusan.
Tapi saya lupa, ada manusia yang pilihannya terbatas. Dia tidak mampu untuk jadi seperti orang lain. Boleh jadi kerana keterbatasan fizikal, tahap pendidikan atau faktor semasa. Suasana sekeliling membuatkan dirinya mempunyai pilihan yang cukup terbatas.
Saya kenal dengan seorang yang sangat cerdik. Tapi sayang, faktor ekonomi & tanggungjawab terhadap keluarga membuatkan dia terpaksa melepaskan impiannya. Saya meremehkannya, tapi bila tahu keadaan sebenar, saya fikir saya pun pasti akan pilih apa yang dia pilih.
Semua orang tak punyai kebolehan yang sama. Kepandaian & kemampuan berfikir yang sama. Jika semua orang tinggi IQ & ilmu pengetahuan, siapa yang sanggup merendahkan diri bekerja sebagai pemungut sampah. Siapa yang sanggup bekerja untuk mencuci longkang. Andainya semua orang bijak pandai. Saya menilai dari sudut material semata-mata. Mungkin terlampau tinggi keinginan untuk saya berjaya hingga saya lupa yang orang tak ada kemampuan yang sama.
Matlamat hidup setiap orang tak sama
Yang kaya belum tentu bahagia & yang miskin belum tentu bersedih. Definisi kejayaan berbeza setiap orang. Ianya sangat subjektif. Saya belajar untuk meletakkan diri saya di tempat orang yang cuba saya nilai, apa yang saya sendiri lakukan jika saya di tempatnya. Kita cakap mungkin pandai, tapi belum tentu sama dengan orang yang memikul beban.
Melihat kepelbagaian itu buat saya rasa bersyukur dengan apa yang Tuhan kurniakan pada saya. Sama ada ujian atau habuan. Tuhan tak beri sesuatu di luar kemampuan hambanya. Timbangan Tuhan adil, semua yang saya ada & lalui akan diadili. Begitu juga dengan orang lain. Siapa kita untuk menilai atau memberi markah atas hidup orang lain. Cukup sekadar kita kutip sebagai ikhtibar & panduan diri sendiri. Jangan judge terlampau. Itu bukan kerja kita.
Matlamat saya dengan anda tak sama. Cara saya melihat sesuatu juga tak sama. Didikan ibu bapa saya begini, orang lain begitu. Semuanya berbeza. Kadang kala kita berubah setelah kita dewasa. Dan ada juga yang kekal perangainya dari kecil sampai ke tua. Manusia itu pelbagai. Walaupun setinggi mana kedudukan kita, kita masih perlukan mereka yang lebih rendah dari kita. Hidup ini satu ekosistem. Kita bukan hidup seorang diri.
Saya sentiasa cari ruang untuk tambah ilmu. Dalam masa yang sama saya manusia biasa, ada ketika rasa diri saya lebih dari orang. Bila jumpa orang yang lebih berjaya dari saya, baru saya sedar yang sebenarnya saya ini tak ada apa-apa pun. Tapi bila saya cuba ubah cara saya menilai manusia, sekarang saya lebih tenang. Yang hidup ini saling melengkapi antara manusia. Sombong pun mati juga. Betul tak?
Kesimpulan saya
Pendirian saya jelas tentang usaha keras. Ia perlu. Tapi tidak bermakna kita harus memandang rendah pada orang lain jika kita sudah berjaya. Saya kenal kawan-kawan saya yang memang pemalas, itu memang saya tak suka. Cuma saya lebih terbuka sekarang. Fleksibel. Kadang kala, orang cuba keluar dari kepompong hidup yang menyesakkan, tapi tak tahu cara. Tak jumpa jalan. Apa-apa pun, jangan sesekali beri alasan sebelum kita mencuba. Kita tak akan tahu sejauh mana kemampuan kita pergi selagi tak memncuba. Dan bukan hak kita menghukum orang lain berlebihan. Tapi ingat, usaha tetap kena usaha.