Ujian Yang Tak Habis-Habis.

Keluarga saya diuji dengan mainan sihir bertahun lamanya. Saya pun tak tahu bagaimana orang boleh bertindak melampui batas norma seorang manusia. Sanggup melakukan perbuatan terkutuk yang jelas syirik menyekutukan Allah. Penderitaan yang kami lalui sangat memeritkan. Ia memakan masa & wang yang bukan sedikit. Paling teruk antara kami, adik saya yang perempuan. Lebih menyakitkan hati, kami tak bermusuh dengan sesiapa pun, tapi atas nafsu amarah & dendam yang tak kesudahan, kami jadi mangsa.

Kami kenal siapa punya angkara, sangat kenal. Itu yang paling menyedihkan. Puas berubat. Habis berpuluh ribu ringgit. Ibu saya seorang ibu tunggal. Yang gajinya tak seberapa & buat niaga kecil-kecilan. Hasil jualan habis untuk melawan sihir ini sahaja. Keluarga terdekat cakap macam-macam. Itu & ini. Tapi tak membantu pun sebenarnya. Saya sedar yang siapa sebenarnya saudara bila kita dalam kesusahan. Ia mengajar kami mengenal hati budi manusia.

Harapkan pagar, pagar makan padi.

Takdir Tuhan, kami jumpa seorang yang pandai berubat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar pada mulanya. Setelah hampir 8 tahun macam orang gila dibuatnya keluarga kami, akhirnya kami lega sedikit bila lihat ada perubahan yang agak ketara. Pengalaman berubat sepanjang 8 tahun membuatkan saya steptikal dengan pengamal perubatan sama ada yang tradisional ataupun atas nama agama sekalipun. Kebanyakkannya berorientasikan atas dasar untung sahaja. Sedih sangat.

Ibu sedih.

Paling sedih melihat ibu saya. Puas menangis atas semua yang terjadi. Dan bila berubat dengan ‘pak cik’ seorang ini, seolah-olah ada sinar harapan. Tapi sayang, tak kekal lama. Harapkan pagar, pagar makan padi. Rupanya ada udang disebalik batu. Ada muslihat yang kami tak nampak. Awal-awal lagi saya musykil dengan kaedah yang digunakannya. Semacam sahaja. Tapi atas dasar ikhtiar, teruskan juga. Orang boleh bercakap itu & ini. Tapi belum tentu mereka mampu menghadapainya bila terkena atas bahu sendiri. Setelah sekian tempoh masa, tembelang pecah, si pengubat sukakan adik saya & drama ubat mengubat banyak sandiwara. Ibu benar-benar kecewa. Belum selesai dengan kerenah sihir ‘A’, yang ini pula menghantar benda yang sama. Menekan & terus menekan mahukan nafsunya dituruti. Moga Tuhan lindungi adik & ibu saya sekeluarga.

Semoga ada jalan

Sihir mainan keji. Ia merosakkan sesebuah institusi kekeluargaan. Ia juga jelas menyekutukan Tuhan yang maha Esa. Kadang saya terfikir seolah-olah tiada jalan keluar. Tiada noktah bagi semua ini. Tapi saya tahu Tuhan sedang menguji keluarga saya. Moga semua ujian berat ini mengurangkan dosa-dosa kami sekeluarga. Saya lihat ibu seorang yang tabah. Belum tentu ibu lain di dunia ini mampu kalau diuji sedemikian rupa.

Saya tak tahu bila semua ini akan berakhir. Tapi saya yakin & kuat percaya. Akan ada jalannya. Cuma belum bertemu lagi. Saya seorang bussinessman. Ada perniagaan yang perlu diurus. Semua ini memang mengangu konsentrasi saya. Tapi saya keraskan hati & kuatkan jiwa. Moga Tuhan akan merahmati kami semua.

Tuhan, kuatkan jiwa kami.

Kekuatan & kekentalan semangat membuatkan saya terus ke depan. Berjuang untuk meraih sebanyak mungkin laba keuntungan, semoga jika ada rezeki dalam perniagaan saya mampu menyumbang buat mereka yang pernah mengalami nasib seperti saya & keluarga. Kerana kecewa dengan situasi.

Tambah-tambah lagi jika kita bukannya orang kaya. Duit yang ada cukup-cukup untuk makan seharian, inikan pula mahu melayan sihir yang tak sudah. Saya tahu betapa seksanya hidup. Kerana itu saya bersumpah yang saya wajib kaya raya. Semoga boleh membantu yang memerlukan sedaya saya. Kerana saya tahu ia tak mudah. Ia boleh menggugat akidah. Mempersoalkan kenapa Tuhan itu zalim. Membiarkan hambanya dalam kesulitan. Saya menulis atas dasar saya melakukan perkara yang sama dulu. Tapi itulah kehidupan. Kita belajar dari segala segi terutamanya kesilapan-kesilapan yang telah kita lalui.

Apa-apa pun hidup perlu terus. Tak boleh berputus asa dengan apa yang terjadi. Berserah bodoh bererti meletakkan kesalahan kepada Tuhan. Sedangkan kita tak tahu apa sebenarnya aturan-Nya untuk kita. Usaha tetap kena usaha. Jangan sesekali berputus asa.