Wajib Untuk Saya Tidak Berputus Asa!
Saya rasa bersalah sangat kalau berputus asa sekarang. Bukan kerana apa, kerana saya melihat ada insan yang lebih teruk diuji daripada saya tapi masih terus berjuang. Saya tak tahu apa yang mereka mahukan dalam hidup mereka, yang pasti matlamat kami sama. Kalau tak, masakan kami sanggup berhabis duit, masa & tenaga untuk menuntut ilmu. Dari guru yang sama, saya anggap apa yang kami kejar mungkin sama. Mungkin. Wallahuallam.
2 Wonder Woman
Minggu ini saya berpeluang berjumpa dengan 2 insan istimewa. Yaya towkey “Si Kuih Bulan” & Auni “Gadis Penjual Minyak Wangi”. Kami satu kelas yang sama. Saya tak berpeluang untuk mendekati atau berborak dengan mereka, sekadar mendengar cerita dari kawan-kawan sekelas. Yang istimewa mereka perempuan & berkerusi roda. Saya tak tahu sejauh mana ke-serius-an keadaan mereka. Yang pasti dari sudut fizikal saya lebih sempurna.
Tapi yang membezakan antara kami, pencapaian mereka jauh dari saya. Bagai langit dengan bumi. Yaya menjual kuih bakul atau kuih bulan. Makanan tradisional masyarakat ‘Tiong Hua’. Lebih menakjubkan, walaupun hanya menjual kuih, tapi jualan bulanan Yaya mencecah ratusan ribu sebulan. Sama dengan Auni. Dengan rangkaian stokis & agen seluruh negara. Bila saya dengar pencapaian mereka, terdiam saya. Rasa diri sangat kerdil. Apa yang nak dibanggakan sangat dengan apa yang saya ada.
Buat Malu Sahaja Mengaku Anak Jantan
Saya malu kalau saya berputus asa. Mereka kekurangan dari fizikal luaran, tapi kuat & tabah. Saya sendiri belum tentu mampu sekuat mereka. Lebih mengagumkan, untuk ke kelas, mereka memerlukan orang untuk membantu mereka bergerak. Tapi itu bukan menjadi alasan untuk tidak menuntut ilmu. Jadi, alasan mana lagi kita mahu beri kalau mahu bermalas-malasan dalam menuntut ilmu.
Dunia ini kejam. Ia tak mengira fizikal seseorang untuk berlaku adil. Semuanya pukul rata. Saya yakin, Yaya & Auni juga menghadapai cabaran yang sama seperti orang lain dalam hidup sehari-hari. Tapi kenapa mereka boleh & kita masih mencari & memberi alasan.
Hikmah Berjalan
Makin banyak saya berjalan, makin ramai yang saya jumpa. Ia menambah pengalaman hidup saya yang tak seberapa ini. Saya sedar masih banyak yang saya kurang. Dalam serba kekurangan ini, saya selalu terasa ingin berhenti & berputus asa. Tapi bila mendengar & melihat sendiri di depan mata, ada orang yang fizikalnya kurang sempurna tapi tak mahu mengalah, kenapa saya sendiri mahu mengalah. Yaya memberi saya inspirasi & ceritanya menjadi tonik untuk saya berfikir sejenak. Kalau saya berputus asa, mana nak letak maruah & air muka. Malu pada Yaya, lebih-lebih saya lelaki. Bukankah lelaki selalu mengaku dia gagah, kuat lagi perkasa?
Saya tak tahu bagaimana pendapat orang lain. Tapi bagi saya, Tuhan itu mengajar kita tentang kehidupan ini dari pelbagai sumber. Dan manusia sangat mudah tersentuh dengan inspirasi. Dan Yaya & Auni, bagi saya satu inspirasi yang harus saya ingat & tanamkan dalam kepala setiap kali saya ingin berputus asa buat masa akan datang.
Terlalu banyak masa untuk berhenti & berputus asa. Tapi kenapa sekarang?