Konsep Rezeki Che Man

Hari ini, ahad. Ketika orang lain nyenyak & bangkit tidur lambat. Saya sibuk ber’hung-ga’ belajar dalam kelas. Penat tapi menyeronokkan. Ini kelas ke-2 minggu ini. Dan esok ada lagi 3 hari berguru di Kuala Lumpur. Saya orang muda, ada kudrat yang lebih, fizikal & mental masih gagah. Ghairah & kemaruk untuk belajar tinggi. Pengalaman saya mungkin tak seberapa kalau nak dibandingkan dengan kawan-kawan ’emas’. Tapi kelebihan orang muda pada nafsunya, kalau diarahkan pada cara & tempat yang betul, pasti akan membuahkan hasil yang terbaik.

Hari ini juga saya belajar perkara baru tentang berkongsi rezeki. Dari Tuan Azman Aziz, atau Che Man. Saya faham tentang rezeki & konsepnya, tapi faham saya versi orang muda. Yang mentah & tak cukup pengalaman. Alhamdulillah setahun kebelakangan ini, saya konsisten buat sales 5 angka sebulan & 6 angka setiap suku tahun. Tapi dah 6 bulan stagnance. Macam dah tak boleh gi dah. Semua perkara buat sendiri. Dari ambil order sampailah pos barang. Saya tahu yang saya perlukan bantuan orang lain untuk ‘grow up’, tapi takut nak buat sesuatu yang saya tak biasa buat.

Saya bosan buat semua perkara sendiri & ada plan untuk bina team. Itu impian saya, tapi tak ada satu tekanan atau guide yang mampu push saya buat sesuatu yang baru. Salah satu alasan lain, saya takut nak ajar orang, takut dia tak dapat buat seperti saya, atau takut orang yang diajar buat lebih dari saya. Saya takut berkongsi rezeki. Nak bolot semua. Tapi saya tahu yang saya terbatas dari masa & kemampuan.

Pesan Che Man:

Setiap orang ada limitation 

Setiap orang ada limitation. Nak pergi lebih jauh, kita perlu bekerjasama. Ada pembahagian tugas & saya orang bisnes, sepatutnya tak boleh takut-takut. Cerita Che Man, bagaimana Che Man bina perniagaan, dari segi atur cara & strategi membuka minda saya. Jangan takut berkongsi. Sebenarnya saya tak rugi apa-apa kalau buka peluang pada orang lain, berkongsi ilmu yang tak banyak pun. Malah lagi banyak kita berkongsi rezeki dengan orang lain, lebih banyak yang akan masuk.

Menumpang Rezeki 

Saya juga menumpang rezeki dari guru saya sebelum ini. Tapi kenapa saya takut nak berkongsi & menumpang rezeki dengan team yang bakal saya bina. Ramai yang saya bantu, sedikit sebanyak saya juga akan dapat imbuhannya. Di dunia dengan harta benda, di akhirat dengan pahala.

Rezeki Tuhan Yang Jaga

Orang berniaga banyak cabaran. Kita boleh lihat ramai yang bersaing secara tak sihat, sihir menyihir, sailang menyailang. Kita niatkan awal mula perniagaan kerana beranggapan rezeki itu dari Tuhan. Tapi bila datang bentuk untung & ringgit, kita lupa daratan, takut hilang yang kita rasa itu kita punya. Kita kata kebergantungan kita pada Tuhan lebih bila berniaga, tapi kita lupa solat & zakat. Kita lupa etika perniagaan bila mula timbul persaingan. Sedangkan kita tahu yang rezeki itu Tuhan yang jaga.

Mahukan Sesuatu Tapi..

Kita mahukan sesuatu tapi takut memberi. Ia kebiasaan bagi manusia. Mahukan ‘something’, tapi tak mahu memberi dulu. Kita lupa yang setiap pemberian kita pada orang lain tidak sia-sia. Walaupun tak nampak sekarang, ada imbuhan di akhirat kelak.

Kita mahu rezeki yang melimpah ruah, tapi kita takut nak berkongsi rezeki. Takut untuk berjiwa besar. Selesa makan sorang-sorang. Sebenarnya, kalau makan ramai-ramai pun apa salahnya. Jemaah itukan lebih kuat. Macam lidi yang sebatang, sekali rentap boleh patah dua. Bayangkan kalau yang sebatang itu kita kumpul banyak-banyak. Bukankah akan jadi kuat & ampuh.

Percaya & Tawakal Pada Tuhan

Kita semua mahukan yang terbaik. Dan kita lakukan sehabis & semampu kita. Dan bila kita dapat sesuatu yang dihajati, mudah pula membangga diri. Jangan mendabik dada tak tentu pasal. Tugas kita lakukan yang terbaik, percaya pada kemampuan diri. Selebihnya berserah pada yang Maha Esa.

Saya kuat percaya Tuhan tak pernah zalim. Kita yang zalim pada diri kita. Melihat semua rintangan & kesusahan dari sudut negatif, dari sudut orang yang kecewa. Man jadda wa jadda. Kita berusaha sebaik mungkin, tapi kalau tak dapat apa yang diharapkan, mungkin ada kesilapan yang perlu kita perbaiki.

Dari Sudut Mata Saya

Saya menulis atas dasar mengingatkan diri saya sendiri. Mengakui betapa teruknya saya sebagai manusia yang sentiasa perlu diingatkan. Tapi saya sentiasa mahu belajar menjadi baik & lebih baik. Dari hari ke hari. In Sya Allah.