Kos Untuk Majlis Sahaja

Pengalaman saya melihat keruntuhan rumah tangga ibu bapa saya & orang-orang di sekeliling saya membuatkan saya berfikir sejenak. Keretakan rumah tangga walaupun ada banyak faktor, namun soal hantaran juga boleh menjadi asbabnya. Terutama dalam keadaan ekonomi sekarang. Ramai orang muda seperti saya rasa malas nak kahwin bila fikir bab ini.

Saya tak salahkan belah perempuan, kerana mereka ada alasan mereka sendiri walaupun saya secara peribadi tak bersetuju dengan hantaran yang tinggi. Bagi saya Islam sudah beri contoh tebaik dalam segala hal kehidupan. Dan Islam sudah memberikan guideline-nya. Wanita yang terbaik adalah yang paling rendah maharnya. Mas kahwin kira okay-lah sebab setiap negeri sudah ada ketetapannya.

Saya nak kongsi pengalaman saya sebagai kepala belah perempuan semasa urusan deal nikah kahwin akak saya. Walaupun saya anak ke-3, tapi saya sulung lelaki dalam keluarga saya. Dari segi sumber ekonomi & keputusan yang besar-besar melibatkan keluarga, saya kepalanya. Untuk urusan deal kali ini, sayalah ketuanya.

Berapa Hantaran?

Sebelum majlis berlangsung, mak saya nak letakkan hantaran sekian-sekian. Tapi saya tak setuju. Bagi saya soal hantaran biarlah dipermudahkan, saya beritahu yang saya tak akan letak harga. Kerana bagi saya majlis yang wajib sahaja sudah memadai & diutamkan. Buat seringkas yang boleh & cukup apa yang agama mahu dulu. Itu pun dah okay. Saya beri kata putus, sama ada nak ikut cadangan saya atau saya tak handle majlis. Ugutan atau ketegasan? Haha. Untuk family saya, kuasa veto-nya ada pada saya.

Bila belah lelaki tanya dari soal hantaran, saya katakan pada pendapat saya, soal berapa itu saya tak letak jumlahnya. Biarlah akak & bakal abang ipar saya yang berbincang berdua. Kerana yang nak kahwin-nya mereka. Jadi tak guna juga letak tinggi-tinggi kalau membebankan mana-mana pihak. Janji lepas belanja majlis akad nikah atau yang mana patut dah okay. Dah bersyukur sangat. Dari duit dihabiskan beribu-ribu pada majlis, lebih baik digunakan untuk belanja selepas nikah. Lebih praktikal. Tambah-tambah zaman sekarang yang sangat mencabar dari segi ekonominya.

Dari Sudut Pandang Saya

Saya lelaki. Lebih melihat ke depan. Saya sendiri belum kahwin, tapi saya mahu mudahkan proses perkahwinan akak saya. Saya percaya apa yang saya lakukan terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Tak guna nak gah & hipster tapi lepas kahwin pening kepala. Saya sendiri tengok kawan-kawan saya yang berkahwin tapi belanjanya sangat tinggi untuk majlis kenduri & 2-3 majlis lagi. Yang sedihnya, kawan saya terpaksa bergolok bergadai jual handphone & segala macam yang boleh dijual untuk tampung belanja sejurus minggu pertama nikah. Belum kira hutang yang nak kena bayar kalau buat personal loan.

Lain Orang Lain Pendapat

Saya melihat soal kemampuan. Lain orang lain kemampuannya. Saya terbuka. Majoriti kita sekarang berdepan masalah ekonomi. Tapi dalam masa yang sama, kita tak mahu kalah. Takut orang kata apa kalau buat kecil-kecilan. Terutama belah ibu-ibu. Malu dengan jiran tetangga, kalau majlis anak mereka tak grand. Nanti apa kata orang lain.

Kalau mampu, tak ada masalah. Kalau kita ada duit, ada kekuatan & kemampuan silakan. Tak salah pun. Yang salah bila tak ukur baju di badan sendiri. Sehingga menjerat & melarat sampai menyeksakan pasangan pengantin baru selepas nikah kahwin. Hutang tak habis-habis. Saya percaya, saya sebagai ketua keluarga harus memudahkan urusan membina masjid. Tak perlu dibebankan. Tapi kalau di luar sana mampu, terpulanglah, buatlah ikut kemampuan kita. Yang penting, kita tahu apa yang kita lakukan.

Moga-moga urusan nikah kahwin saya juga dipermudahkan. Amin..