Le Village, Petaling Street, 25 Feb 2018
Bulan ini saya agak sibuk & buat-buat sibuk. Setiap minggu dalam bulan ini saya banyak ke ibu kota untuk urusan belajar & belajar. Dan sedikit malas untuk menulis. Ada juga 1 atau 2 artikel yang telah saya siapkan, tapi akhirnya disimpan dalam ‘draft’ bila fikirkan tulisan kali ini agak menyentuh peribadi individu-individu tertentu. Bukan saya mengutuk atau mengkritik individu lain, tapi sekadar respon atas urusan saya dengan orang di sekeliling saya. Saya beurusan dengan manusia yang punya pelbagai kerenah & yang pasti setiap kerenah tak sama. Ketidaksamaan itu kadang kala mengajar saya & setiap perkara yang saya belajar, suka saya coretkan dalam penulisan saya. Supaya orang faham apa yang saya pegang atas pendirian & pendapat saya.
Ditambah bermalas-malasan, tak banyak artikel yang saya publish bulan ini. Cuma hari ini Ahad, 25 Feb. Saya ada di Kuala Lumpur. Menghadiri kelas hartanah anjuran Tuan Ahyat Ishak pada Sabtu & Ahadnya sambung dengan kelas HR oleh Tuan Basit, Beyond Succes. Kelas yang sangat padat dengan info & pendedahan baru buat saya. Memang letih fizikal & mental tapi saya seronok dengan apa yang saya lakukan sekarang. Walaupun sesekali rasa lost & ingin berhenti & berputus asa. Namun tak tahu mengapa, saya tetap gagahkan juga.
Hidup Ini Binatang Buas.
Apa yang saya belajar 2 hari ini sangat terkesan pada saya. Rahsia & pendedahan tentang hartanah & realiti hidup zaman sekarang oleh Tuan Ahyat sangat menakutkan saya. Betapa saya tak ready lagi sebenarnya nak berjuang dalam lapangan bisnes. Masih banyak ruang yang saya lambat kejar. Betapa saya tertinggal dalam banyak perkara. Tapi syukur alhamdulillah, pendedahan kali ini membuka mata saya tentang potensi depan mata yang harus saya rebut.
Belajar Lihat Hartanah
Jalan untuk saya dapatkan hartanah pertama saya masih jauh. Masih tak cukup ilmu untuk memulakan langkah berani ini. Dari sekarang saya sudah kena rangka plan apa yang perlu saya usahakan jika ingin dapat apa yang saya hajati. Tuan Ahyat bukan sahaja berkongsi tentang hartanah semata-mata. Ia tentang perjuangan memiliki 1 aset yang mana boleh kita jadikan ladang akhirat jika kita memandang dari sudut yang berbeza.
Memiliki banyak rumah dipandang sebagai kapitalis yang menindas oleh sesetangah orang. Tapi ia juga boleh jadi 1 pelaburan untuk memperoleh pahala jika digunakan dengan saluran yang betul. Apa yang kita fikir adalah cerminan apa yang kita lihat. Cara kita melihat atau kaca mata mana yang kita pakai menentukan apa yang kita rasa & nampak. Dari Tuan Ahyat saya belajar tentang betapa peri pentingnya menyediakan hartanah atau rumah terbaik untuk anak-anak & isteri serta keluarga tercinta. Dan memiliki aset yang kedua serta ketiga bukan bermakna kita tamak atau zalim. Bukan juga bermakna kita merampas hak orang lain yang tak mampu. Itu bukan soalnya. Ini soal masa depan orang yang mahu menyediakan kehidupan yang lebih bermakna pada anak cucu kita. Bukan soal menjadi kapitalis semata-mata.
Mampu Atau Tak Mahu ?
Orang bila tidak mampu bukan kerana dia tidak mampu semata-mata. Boleh jadi dia tidak mahu mencari ilmu & hanya tahu mengeluh & mengeluh. Bagi saya secara peribadi, daripada mengeluh lebih baik mencari jalan atau ilmu. Kita marah orang memiliki lebih dari sepatutnya sedangkan kita tak berusaha atau tak cukup berusaha. Kita marah bila kita tak mampu & menyalahkan orang lain kononnya membolot segalanya, tapi sebenarnya kalau kita berada di tempat mereka juga boleh jadi kita melakukan perkara yang sama.
Soal sekarang kita bias kerana kita tak mampu. Ya, saya juga tak mampu sekarang. tapi saya tahu saya wajib berusaha dengan tulang empat kerat saya. Dengan akal yang masih geliga serta umur yang masih muda. Saya yakin satu hari saya juga mampu. Doakan saya supaya dapat beli rumah pertama saya.