Baru Sedar!

Baru-baru ini, saya besembang lama dengan kawan saya. Teman tapi mesra. Wanita yang banyak membantu saya dari segi kewangan ketika saya mula-mula memulakan perniagaan sebaik habis sahaja pengajian di universiti. Di kala orang lain berkira-kira ketika saya meminta bantuan, wanita ini sudi memberi sedikit bantuan. Terima kasih.

Walaupun lama kami terputus hubungan, tapi sesekali bersembang banyak yang membangkit nostagia. Masing-masing sekarang awal 30-an. Mungkin boleh dikata sudah separuh hidup dah dilalui, tinggal separuh sahaja lagi. Walaupun saya berkawan rapat, tapi saya tak pernah bertanya apa fahamannya tentang hidup ini. Apa yang dia cari? Apa yang dia mahu? Hidup yang sebagaimana? Dan sebagainya.

Saya akui saya tertarik dengan penampilan dalamannya, dia ada sifat kemelayuan yang tak ada pada wanita-wanita zaman sekarang. Walaupun nampak tak ‘up to date’, its okay to me. Namun ada yang meresahkan saya bila mula faham apa sebenarnya yang ada dalam kepalanya tentang kehidupan. Deep.

Kami berbeza. Sangat berbeza. 

Mendengar cerita apa yang bermain di dalam kolam fikirannya, saya jadi takut untuk terus ke depan. Membuatkan saya berfikir semula. Membuatkan juga saya terkenang peristiwa diberi kata dua oleh ‘ex’. Jiwa saya tak sama. Jiwa kami tak sama.

Saya tak bermusuh dengan orang yang bekerja makan gaji. Tapi saya tak juga suka sangat. Terutama jika mahu cari teman yang ‘tidur sebantal’. Saya jarang atau mudah jatuh hati pada seseorang. Pengalaman ibu & ayah seakan-akan trauma untuk hidup saya. Trauma itu makin kuat bila saya ‘ditinggalkan oleh ‘ex’ oleh alasan yang saya tak boleh terima.

Kesilapan saya.

Saya independent. Tak suka rutin kerana ia membosankan. Jadi saya pilih bisnes. Dan juga saya mahu kaya. Kemiskinan mengajar saya yang ‘ia sampah’ yang tak ada nilai. Tak ada harga. Tak dipandang pun. Fahami sebaiknya apa yang nak saya sampaikan. Bukan saya mencaci kemiskinan. Tapi saya merasa sendiri pengalaman tak ada duit ke sekolah, tak dapat nak bayar yuran sekolah, terpaksa ‘cilok & pow’ untuk survivor hidup, makan benda yang haram demi kelangsungan hidup, menyaksikan mak dihalau sebab tak dapat bayar sewa rumah, dipandang hina saudara mara & banyak lagi. Paling terkesan pada diri saya, hubungan kekeluargaan yang tak ada nilai bahagia. Itu yang saya lalui. Keluarga saya porak peranda lantaran kemiskinan.

Kata orang, kemiskinan itu mendekatkan kita di syurga. Orang miskin lebih mudah ke sana. Kata orang lagi, Nabi pun miskin. Tapi saya melihat hal ini dengan pandangan yang sedikit berbeza. Kita juga jangan lupa yang nabi seorang pedagang kaya & berjaya. Siti Khadijah seorang saudagar yang hartanya melimpah ruah. Dan kekayaan itulah yang membantu islam ketika awal permulaanya. Abu Bakar, Usman & Abdul Rahman bin Auf, semuanya orang kaya yang mana kekayaan mereka membantu islam ketika islam itu lemah. Dan kekayaan merekalah tunjang ekonomi bila islam dalam kesusahan.

Saya memilih bisnes kerana keluarga saya. Kerana bakal isteri saya. Anak-anak saya. Saya tak mahu isteri saya dapat apa yang ibu saya lalui. Saya tak mahu juga anak-anak saya lalui seperti apa yang saya lalui. Saya tak pernah ada keluarga yang bahagia. Hampir mustahil untuk dapat sinar kebahagiaan itu kembali dengan keluarga saya sedia ada. Ia dah musnah & porak poranda. Jadi saya hanya boleh kecapi dengan keluarga saya sendiri yang mana saya sebagai nakhodanya.

Pengalaman itu membuatkan saya berhati-hati memilih bakal isteri. Orang kata saya terlalu memilih. Ya betul, tapi saya ada alasan tersendiri. Macam yang saya beritahu, saya ber-bisnes kerana mahu keluarga saya tak lalui apa yang saya lalui selama ini. Itu ‘BIG WHY’ saya sebelum ini. Tapi saya lupa yang bisnes risikonya tinggi. Kegagalan itu lumrah & bukan semua orang boleh sabar menghadapinya. Saya sendiri tewas banyak kali sedangkan saya dikenali antara kawan-kawan adalah orang paling lasak & tahan diuji.

Long story short. Saya gagal & kerugian puluhan ribu & merugikan orang ratusan ribu. Dan ketika itu & lantaran itu, saya diberi pilihan oleh ‘my ex’. Kami kahwin & saya cari kerja ATAU teruskan memburu impian & kita putus. Hidup macam tak tentu arah. Gelap gelita. Saya berusaha separuh mati kerananya tapi saya diberi kata dua sebegitu. Dan saya akui itu kesilapan saya kerana lambat berjaya. Ya, itu kesilapan saya.

Kesilapan saya juga kerana tak faham wanita. Saya ingat dia faham apa yang saya perjuangkan. Rupanya tak. Bullshit. Saya hanya melihat dari sudut saya sendiri tanpa cuba faham yang wanita kebiasaannya sifatnya memang begitu. Mahukan sesuatu jaminan keselamatan untuk masa depan mereka. Lelaki boleh hidup walau dicampak ke dalam hutan sekalipun, tapi wanita belum tentu. Mereka perlukan perlindungan. Dan bila jaminan itu tak ada, ia bukanlah salah mereka. Lumrahnya memang begitu.

Saya salah bila terlalu mementingkan diri, hanya mahu membahagiakan orang lain tanpa mahu bertanya apa sebenarnya yang orang itu mahu. Saya salah kerana syok sendiri. Gagal terlalu lama. Ya, itu kesalahan saya. Bila sedar itu kesalahan saya, lalu saya ambil keputusan untuk terus dengan impian saya. Alang-alang dah buat silap. Teruskan sahajalah.

Membuat keputusan untuk mempertahankan impian saya adalah keputusan paling berat yang pernah saya lakukan. Saya membuang sumber kekuatan & inspirasi saya. Sedangkan sebelum ini, itulah nadi & sebab saya bernafas dalam ber-bisnes. Dan keputusan itu menghantui saya hampir 4 tahun lamanya. Cuba bangkit & melawan rakusnya hidup. Tapi ‘useless’. Ia tak berjaya. 4 tahun yang mengajar saya siapa sebenarnya karakter saya, waktu jatuh ke bumi itu juga saya belajar bersabar & membuka perspektif serta lembaran baru dalam hidup ini. Saya sedar kesilapan demi kesilapan yang saya lakukan. Menukar perspektif & cuba melihat dari dunia yang berbeza.

Saya belajar. Tentang usaha, nasib & takdir. Sebelum ini saya ingatkan orang yang miskin itu malas berusaha. Lalu saya ‘counter’ dengan cuba sebaik mungkin, serajin mungkin. Tapi selepas satu persatu usaha saya gagal, sedarlah diri yang saya manusia. Saya merancang & Tuhan merancang. Saya belajar yang kadang-kala manusia perlukan sedikit luck. Dan saya juga belajar yang orang yang miskin itu bukanlah disebabkan dia malas atau tak berusaha semata-mata. Saya sendiri sebagai contoh, berusaha & berusaha tapi tak dapat juga bangkit. Walaupun saya tahu ia satu sesi tarbiah dari Tuhan, tapi ialah membuka jiwa saya untuk cuba memahami semua orang. Ada orang yang ada kekangan dari segi fizikal. Keluarga & sebagainya. Perkara-perkara sebegini yang saya terlepas pandang. 4 tahun ini saya insaf yang ada orang bukan tak berusaha, tapi memang di luar kawalan serta kemampuannya. Dan juga saya belajar yang kemiskinan itu bukanlah satu pengakhiran untuk kehidupan ini. Ada ramai yang saya jumpa, tak ada harta tapi bahagia. Malah lebih dekat hubunganya dengan Tuhan. Semuanya terpulang ada manusia itu sendiri.

Hidup ini fleksibel

Ya, saya belajar meletakkan diri saya pada setiap individu sebelum ‘judge’ mereka. Cuba meletakkan otak saya di tempat otak mereka berfikir. Dengan cara itu saya melihat sesuatu dari sudut yang lebih rasional berbanding emosional. Walaupun kemudiannya yang salah pada pandangan saya itu tetap salah, tapi ‘at least’ saya faham kenapa mereka memilih begini & begitu.

Saya akui ia mematangkan saya. Menjadikan saya lebih tenang dalam menilai orang. Tapi saya ada ‘stand’ saya sendiri. Yang mana betul itu jelas & yang mana salah itu jelas pada pendirian saya. Cuma saya belajar menjadi manusia yang cepat faham. Bukan menhukum semata-mata. Kalau tak percaya, cubalah. Dari kita memaki & mengeji orang meminta sedekah, lebih baik kita cuba letakkan diri di tempat mereka seketika. Cuba tanya kenapa buat begitu & begini. Lihat dari segala aspek kemungkinan. Saya yakin, kita akan lebih bertimbang rasa. Kerana bukan semua yang kita mahu itu akan diperolehi. Boleh jadi ada sesuatu yang diluar kawalan kita. Jangan sesekali kita lupa kita hanya manusia yang lemah. Ada kekurangan & ketidakmampuan. Kalau kita di tempat mereka yang kita pandang hina, boleh jadi kita juga akan mengambil langkah yang sama. Siapa tahu?

Berbalik pada soal ‘Teman Tapi Mesra’

Pengalaman dengan ‘my ex’ membuatkan saya lebih terbuka. Tapi ada yang saya perhatikan sekarang saya menghadapi situasi yang sama. Cuma wataknya sahaja berbeza. Saya tahu bukan salah siapa-siapa. Itu lumrah untuk wanita untuk rasa selamat. Namun bila saya bertanya tentang soalan deep ini, baru saya tahu. Saya kena berfikir semula. Semoga sejarah lama tak berulang kembali. Tak dinafikan saya suka karaternya, tapi saya wajib rasional.

Sekali lagi, saya tak boleh salahkan sesiapa. Masing-masing ada kehendak & kecenderungan tersendiri. Ada wanita yang mahu simple, khawin & ada anak. Jaga anak & jaga makan pakai suami. Ada pula yang ingin bekerjaya, mahu suami sama memahami kerjayanya. Pergi pukul 8 pagi & sama-sama pulang pukul 6 petang. Titik. Balik boleh luangkan masa berkualiti dengan keluarga. Ada juga yang mahu lebih, ada sedikit rezeki yang boleh mereka kongsi dengan orang lain. Mahu berjaya & kejar impian.

Wanita pelbagai pada pandangan saya. Saya sendiri yang mana satu pun tak pasti kalau ditakdirkan saya sebagai wanita. Cakap memang mudah sebab saya lelaki, mahu itu & ini. Tapi realitinya, ia tak semudah yang kita sangka.

Sekarang jadi pening.

Wanita walaupun kebanyakkan mahukan ‘secure’, tapi masih ada yang daya tahannya tinggi. Sama spesies dengan saya. Cuma sekarang terpulang pada saya. Mahu cari & pilih yang mana. Aduhai pening….