KPJ Tanjung Lumpur, 5 Mei

Hari ini saya menulis di Hospital Pakar KPJ Tanjung Lumpur. Dekat dengan rumah saya. Puncanya tulang hidung patah 1 tempat & retak di 3 tempat. Semuanya jasa main futsal. Terkena tendangan lawan yang nak keluarkan bola dari kawasan bahaya. Maklumlah saya striker yang berbisa. Defend pula kecut perut kalau bola dekat dengan saya. Hehe.

Hari ini 5 Mei. Hari ketiga. Hari pertama Khamis malam 3 Mei. Dalam 10:30 malam, celaka berlaku. Tapi takdir dah jadi nak kata apa. Bukan nak cerita tentang patahnya hidung atau sakitnya hati. Cuma tentang apa yang berlegar di fikiran saya. Betapa ujian ini beri ruang untuk saya berfikir tentang masa depan. Apa yang saya cari dalam hidup & cerita disebalik kecelakaan ini berlaku. Semuanya ada hikmah, tak ada yang sia-sia.

Saya bersyukur..

Pertama, timbul kesedaran tentang masa depan. Tentang protection. malang tak berbau. Saya masuk KPJ, hospital yang tak murah. Mujur ada insurans yang saya ambil 4 bulan lepas. Dan saya ada 2 PA iaitu personal accident dengan 2 bank. Bank Rakyat & Maybank. Saya pun tak pasti kenapa saya ambik insurans sebab tak pernah jadi apa-apa seblum ini. Tapi takdir Tuhan, dalam 4 bulan saya ambil, kecelakaan ini jadi. Betul kata orang malang tak berbau.

Saya bersyukur sebab kalau tak, masak saya. Kalau tak, mana nak cari duit untuk cover semua ini. Buat agen insurans saya, terima kasih kerana paksa saya ambik. Nasihat saya, buat yang tak ambik, cepat-cepat usahakan. Tambahan kalau yang jadi ketua keluarga macam saya. Sangat penting. Kalau kita sebagai ketua ditimpa masalah & memang ahli keluarga kita bergantung harap pada kita 100%, bayangkan apa yang akan terjadi.

Tapi saya terfikir juga tentang nasib orang yang tak mampu untuk ambil insurans. Saya kesiankan mereka. Ramai yang sedar akan kepentingannya, tapi bukan semua orang mampu. Kadang nak makan pun cukup-cukup sahaja. Hidup ini memang begitu. Saya sedih tapi ini hakikat kehidupan. Sebab saya tahu ramai yang sakit tapi terpaksa tanggung sebab kesempitan kewanangan. Saya faham kerana saya golongan yang sama dulu.

Apa yang terlintas di kepala saya?

Saya banyak impian untuk bantu ramai orang & saya sedar ia memerlukan kekuatan kewangan yang besar. Dan saya dah lama bermalas-malasan sebab selesa dengan apa yang saya dapat. Kadang kala apa yang Tuhan beri buat saya lupa & alpa. Mula mencari alasan untuk berlengah-lengah hingga lupa janji saya pada Tuhan. Lalai dalam beribadat pada-Nya. Buat acuh tak acuh. Tapi hari ini baru saya disedarkan dengan kecelakaan yang menimpa saya. Ia buat saya tersentak.

Lepas disahkan patah hidung, saya wajib menjalankan operation kecil, semasa sedar dari proses operation, dalam keadaan separuh sedar, terlintas & bermain di fikiran saya satu perkara yang saya nak lakukan dalam hidup. Tapi tak buat dengan alasan tak tahu sama ada itu yang saya mahu lakukan atau sekadar angan-angan semata-mata.

Saya tersentak, kerana saya menangis tanpa sedar. Air mata saya mengalir tanpa henti. Saya tak pasti sama ada itu petunjuk ataupun apa. Tapi saya yakin & faham itu antara impian saya. Iaitu berkongsi kepakaran saya dengan seramai mungkin.

Kenapa tak guna anugerah dari Tuhan?

Tuhan beri saya satu ilmu yang orang lain mungkin belum kuasai. Saya buat duit dengan segala teknikal yang saya ada. Dan saya tak ajar pun orang lain. Sedangkan kalau ianya dikongsi, saya dapat bayangkan berapa ramai yang boleh dapat manfaat. Berapa ramai pasangan yang boleh generate income & boleh hidup dengan lebih selesa. Berapa ramai mulut anak-anak yang boleh ibu bapa beri apa makan yang anak meraka mahukan.

Saya bukan kata ilmu saya ini berjuta nilainya. Tapi sekurang-kurangnyaboleh dapat lebih dari apa yang ada. Bila jadi tragedi ini, saya patah hidung. Masuk hospital. Tak terlintas tentang kenapa saya yang kena, bukan orang lain. Tapi saya berfikir apa yang perlu saya lakukan untuk masa depan. Saya punya banyak impian, tapi disebabkan leka & bermalas-malasan. Saya lupa dengan impian saya untuk berkongsi. Saya lalai & pentingkan diri.

2 hari sebelum

Padahal 2 hari sebelum tragedi, saya dah pun ajar 3 orang kawan saya dari Sungai Besar. Dari selangor 5 jam ke Kuantan. Datang semata-mata untuk belajar. Dan saya sedar saya seronok berkongsi. Mereka pula kata ilmu yang saya ajar sangat membantu. Sekarang saya mula berfikir, mungkin ini ‘hint’ Tuhan untuk saya atur balik jadual hidup saya. Mula generate income dengan kepakaran saya. Dan bila terbukti berjaya, saya kena mula ajar orang apa yang saya buat & tahu.

Patah hidung buat saya berfikir sejenak. Masa di KPJ buat saya merehatkan tubuh saya. Minda saya tenang. Saya boleh habiskan masa membaca buku yang saya beli tapi belum terusik. Saya boleh ada masa untuk menulis. Merangka balik strategi & semua planning masa depan. Saya bersyukur apa yang berlaku kali ini. Terima kasih Tuhan.