Penipuan Di Sebalik Nama Agama

Sejarah membuktikan dengan panjang lebar tentang pendustaan terhadap agama oleh golongan agamawan. Lihat sahaja bagaimana pergolakan para pendeta kristian yang mengubah secara rakus Injil sehingga menjadi haru biru. Sehingga jika difikir dengan akal yang waras, ia jelas satu pendustaan. Tapi atas nama agama & Tuhan yang dicanang-canangkan, marhaen menerimanya. Sama ada dalam keadaan rela atau tidak. Tidak ada pilihan. Lebih menyedihkan bila mereka menyangka yang setiap ucapan agamawan itu adalah ucapan Tuhan. Penyelengan pihak gereja terhadap ajaran Jesus diada-adakan sehingga tidak dapat membezakan yang mana datang dari Tuhan, yang mana datang dari mulut-mulut pendeta jahat. Penyelewengan yang melampau memaksa kebangkitan satu golongan yang merasa bertanggungjawab untuk membetulkan apa yang dilihat menyimpang dari tauhid yang sebenar menurut pandangan mereka.

Maka kita boleh melihat kebangkitan Martin Luther yang memulakan gerakan Protestan di Jerman yang membawa kepada zaman awal pencetakan bible secara besar-besaran. Ia menyebarkan & mengajak kepada awam supaya menentang ajaran yang dilihat telah disalahgunakan oleh pendeta-pendeta Roman Katolik yang berpusat di Rom. Antara isu paling lantang diutarakan ialah bila mana dakwaan dosa boleh terhapus dengan membeli sijil menghapus dosa yang dikeluarkan secara berluasa. Penebusan dosa ini dilihat satu perniagaan agama & menampakkan ketidakadilan untuk mereka yang miskin kerana tidak mampu menebus dosa. Pergeseran ini mengakibatkan ribuan nyawa hilang. Hanya kerana bila agamawan mula menjual agama untuk kepentingan masing-masing.

Begitu juga bila penganut agama tertentu dilarang membaca malah memegang kitab suci masing-masing. Kononnya atas nama menjaga kesucian. Hanya golongan tertentu yang layak memegangnya. Penafsiran hanya layak dilakukan oleh pendeta sahaja & marhaen hanya wajib taat tanpa perlu mempersoalkannya. Bila sahaja agama itu diletakkan sebagai hak ekslusif sesuatu golongan kita akan melihat eksplotasi agama itu berlaku secara terus menerus. Dan bila ada yang mula bangkit mempersoalkan apa yang dirasakan meragukan, maka bersedialah untuk dihukum & dilabel dengan sesuatu yang menakutkan.

Barah dalam Islam

Islam sebagai agama yang paling kuat menentang perkara sedemikian juga pun tidak terlepas dari masalah ini. Eksploitasi golongan agamawan yang mencipta perkara baru yang disandarkan atas nama agama semakin meluas. Dan bila mana ada pihak cuba membetulkan keadaan maka dituduh mereka menentang ajaran Tuhan. Walaupun sebenarnya mereka inilah yang berniat membetulkan sesuatu yang diselewengkan atas nama agama. Lebih dasyat lagi bila sewenang-wenangnya sesorang itu dihukum kafir malah sudah tersedia tempatnya di neraka. Golongan agamawan ini menghukum seolah-olah syurga & neraka itu hak milik ekslusif mereka. Seolah-olah mereka yang memegang hak untuk meletakkan seseorang itu ke mana selepas mati. Gelaran kafir, munafik, fasik menjadi label untuk mereka yang tidak menyokong mereka atau sependapat dengan mereka.

Ini belum dikira bila agama itu diniagakan secara meluas tanpa ada had batasannya. Andai air biasa dijual dengan harga seringgit, maka air yang dijampi & dibacakan ayat-ayat quran boleh dijual dengan rm10. Ini satu keraguaan yang boleh dipersoalkan. Kita tidak mempersoalkan keberkesanan ayat-ayat Al-quran yang sememangnya dijadikan penawar. Bukankah Al-quran itu sememangnya penawar bagi segala penyakit. Tapi jika dikormesial secara meluas tanpa ada had, disitu boleh menimbulkan keraguan. Siapa yang boleh membuktikan air atau produk itu memang terjamin sudah dibacakan sekian-sekian ayat. Dan jika ia sekalipun, adakah menjual ayat-ayat Tuhan sesuatu yang dituntut oleh agama. Malah jika mereka yang menggunakannya tidak mendapat kesan setelah menggunakannya, siapa yang harus dipertanggungjawabkan. Air atau ayat yang harus dituding.

Islam dinilai dengan wahyu & akal yang waras

Walaupun jelas neraca yang digunakan untuk menilai sesuatu kesahihan itu iaitu dengan pertimbangan Al-quran & hadis. Ditambah dengan penilaian akal yang waras, gologan agamawan sewenang-wenangnya boleh memutar semahu-mahunya semua itu supaya menghalalkan tindakan mereka. Eksploitasi atas agama ini sebenarnya lebih bahaya daripada penipuan atas nama politik & lain-lain kerana jika keutuhan benteng agama itu sudah samar-samar & goyah, maka apalah diharap lagi kekuatan Islam yang tinggal.

Renung-renungkan..