What The H*** !

Berbicara tentang hari bapa, saya antara orang yang tak berminat lansung nak menyambutnya. Mungkin di kalangan kawan-kawan saya ramai yang meletakkan pos di wall tentang bapa masing-masing. Berkongsi gambar. Berkongsi cerita. Tapi bukan saya. Dan yang pasti, bukan juga adik-adik saya.

Saya mempunyai pengalaman peribadi tersendiri yang agak buruk. Hubungan antara anak & seorang bapa. Yang mana memberi kesan mendalam kepada pembentukan peribadi saya. Cara saya berfikir & cara saya melihat sesuatu.

Hari ni 21 Jun. Kurang lebih 2 bulan akan datang saya akan menyambut tahun kelahiran yang ke-28. Namun saya kira, soal mendirikan rumah tangga mungkin tidak untuk tahun ke-28 saya. Pengalaman saya dengan seorang ayah, yang mana juga seorang suami menberi sedikit kesan trauma untuk saya. Saya seorang yang positif, optimis & rasional dalam banyak perkara. Tapi tidak dalam memberi pendapat & bicara dalam soal kekeluargaan.

Saya harus akui saya bukanlah seorang anak yang baik. Tapi yang pasti saya juga tidak mempunyai seorang ayah yang baik untuk dicontohi. Dan saya kira bukan saya seorang di dunia ini. Ramai seperti saya.

Namun saya bersyukur kerana pengalaman saya dalam memerhati perjalanan hidup seorang ayah & suami membuatkan saya satu pengalaman spiritual berharga yang mana rakan-rakan saya tak perolehi.

Saya belajar melihat dua sisi dalam berfikir. Sisi positif & negatif.

Saya mempelajari sendiri faktor-faktor bergolaknya sebuah institusi kekeluargaan bila tanggungjawab seorang ketua gagal dilaksanakan. Apa yang menyebabkan sesuatu perkara itu membawa kepada keruntuhan. Saya juga melihat dengan lebih luas & jelas soal tanggungjawab, soal kepercayaan yang patut ada. Pada seorang lelaki yang bergelar ayah & suami. Semua ini saya saksikan sendiri. Alami sendiri.

Mungkin ini salah satu faktor mengapa saya masih tidak mendirikan rumah tangga. Takut. Trauma.

Namun saya percaya sepenuhnya. Soal jodoh, ajal, maut & rezeki semuanya sudah tertulis untuk saya. Siapa saya untuk menidakkan kerja tuhan.

Salah satu impian saya ialah mempunyai keluarga yang bahagia. Satu perkara yang tidak saya perolehi sepanjang hidup saya sebagai seorang anak. Untuk memperolehinya, saya hanya mampu memulakan dengan keluarga saya sendiri. Saya sebagai suami & ayah.

Saya juga mempelajari faktor-faktor yang boleh menyelamatkan sesebuah institusi kekeluargaan dari retak & berpecah belah. Hanya dengan melakukan apa yang bertentangan dari apa yang ayah saya lakukan sebagai suami & ayah.

Saya kalau boleh ingin menggelakkan untuk berbicara soal ini. Tapi saya faham & sangat pasti. Suatu hari nanti saya tetap akan membicarakannya juga. Kerana ini soal yang “commom sense”. Dalam kehidupan manusia. Saya akan melalui alam perkhawinan. Alam sebagai ketua keluarga. Dan apa yang saya lalui satu pengalaman berguna buat saya. Sebagai peringatan buat saya.

Saya kuat percaya. Manusia mempelajari sesuatu lebih cepat dari pengalaman sendiri berbanding belajar dari buku. Pengalaman sendiri berbanding pengalaman orang lain. Dan yang paling pasti. Pengalaman buruk berbanding pengalaman manis.

Saya bersyukur dengan apa yang saya lalui. Mematangkan saya lebih cepat. Membantu saya melihat dengan lebih jelas. Sesuatu perkara dari pelbagai sudut pandang. Dari sudut baik & buruk. Dari sudut  jauh & dekat. Dari sudut seorang anak & seorang bapa. Dari sudut suami & isteri.

Saya berharap suatu hari nanti. Bila tiba masanya nanti. Segala pengalaman ini membantu. Untuk saya dalam mengharungi hidup sebagai seorang ketua keluarga. Sekurang-kurangnya sebagai seorang lelaki.

Semoga kesudahan yang baik-baik buat saya. Dan bakal isteri saya…